Rahsia Kahfi 10 – Kitab Yang Sudah Jadi Bengkok

image_pdf

00 Gua 10 kitab bengkokSegala manual kehidupan yang membawa kepada kesejahteraan telah Allah tetapkan dalam kitab yang lurus dan diberikan kepada kita melalui rasul-rasul terdahulu. Setiap kitab diturunkan, para rasul akan berkerja keras mendakwahkannya, mengajak umat memahami, meyakini dan melaksanakannya.

Sebagaimana biasa apabila ia melibatkan tabiat manusia yang bersifat pelupa, maka lama kelamaan, apa saja kefahaman yang telah dijelaskan dan ditunjukkan contoh perlaksanaannya itu akan terpesong DAN dilupakan semula. Segala khilaf dan perselisihan kefahaman itu kemudiannya diterjemahkan pula menjadi pecahan-pecahan umat. Ia menjadikan umat berfirqah-firqah dan saling berselisih faham dan bermusuhan. Itulah kejayaan syaitan dan Al-Masih Dajjal sejak dahulu.

Untuk mengetahui samada kefahaman kita masih betul, masih lurus atau sebaliknya mudah saja. Apabila kefahaman tentang kitab yang satu itu menjadi bersimpang siur, maka percanggahan pendapat yang banyak akan berlaku, samada sesama ilmuan agama, maupun percanggahan fakta tentang ayat-ayat dalam kitab itu sendiri. Percanggahan yang tidak dapat dijelaskan itulah yang menjadi pertanda bahawa ilmu yang hak sudah dicabut dari kita. Kerana itu, para ilmuan akan mula menggunakan pelbagai sangkaan masing-masing yang tidak benar dan penuh kehilafan dalam menjelaskannya.

QS: 4. An Nisaa’ 82. “Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran? Kalau kiranya Al Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat KHILAF/PERCANGGAHAN yang banyak di dalamnya.”

Inilah yang dimaksudkan dengan KEBENGKOKAN yang telah dilakukan oleh manusia terhadap kitab-kitab Allah. Percanggahan perkara asas dalam MEMAHAMI dan MELAKSANAKAN ayat-ayat Allah inilah yang dikatakan bengkok, bukan sifat asal ayat atau kitab itu sendiri yang bengkok.

BAGAIMANA KITAB JADI BENGKOK?

Secara umumnya kebengkokkan boleh terjadi dari KEFAHAMAN. Ini berlaku apabila umat sudah berada terlalu jauh dari sumber asal kitab itu DAN dirasuk pula oleh syaitan dan Dajjal. Kitab-kitab terdahulu iaitu Taurat dan Injil yang telah dijelaskan kefahaman dan perlaksanaannya telah hilang semula penghayatannya di bumi. Saat itu dipanggil akhir zaman bagi umat yang berkaitan. Lalu Allah utuskan rasul selepasnya untuk membangkitkan/qiamkan semula agamanya.

Sekarang ini giliran alquran pula. Kita tidak perlu bersikap defensif untuk menafikan yang kita kini sedang dalam keadaan jahil ditahap maksima dalam urusan agama. Segala kefahaman yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dahulu telah tidak kita fahami lagi. Segalanya sudah berakhir.

Dalam banyak isu, kita semua sudah kembali meraba-raba dan bersangka-sangka tentang maksud sebenar banyak dari ayat-ayatnya Allah, bahkan kupasan tentang hadis-hadis nabi sekalipun. Masing-masing meletakkan buah pelepas HANYA ALLAH YANG TAHU. Sedangkan Allah sendiri telah katakan bahawa agama dan kitab ini telah disempurnakan dan nabi telah istihar bahawa segala risalah atau doktrin itu telah disampaikan kepada sekalian manusia.

Banyak ayat-ayat, terutama dari ‘huruf potong’ yang tidak mampu disampaikan maksudnya melainkan dengan ungkapan HANYA ALLAH YANG TAHU. Bagaimana mungkin Allah melakukan sesuatu yang sia-sia. Allah seolah-olah bergurau dengan menulis SURAT UNTUK KEKASIHNYA tanpa menjabarkan apa maksudnya. Dan sifat wajib bagi rasul itu ialah membenarkan, memikul amanah dan menyampaikan dengan bijaksana. Menjadi MUSTAHIL bagi nabi untuk gagal memahami sebarang isi kandung kitab itu, apatah lagi untuk mengkhianati amanah untuk tidak menjelaskannya kepada umat.

Apabila kefahaman yang jelas dan meyakinkan lalu telah menjadi bengkok itu dilaksanakan, maka pastilah kegemilangan dan kesejahteraan hasil dari perlaksanaan yang tepat itu juga turut BERAKHIR. Banyak sekali tanda-tanda yang dihadiskan oleh baginda tentang AKHIR ZAMAN ini.

CONTOH KEBENGKOKAN PADA KEFAHAMAN

Dari segi kefahaman, kita dapat lihat dalam bahasa melayu sendiri terlalu banyak percanggahan dalam banyak terjemahan alquran. Terjemahan sudah tidak jadi terjemahan lagi. Ia telah diadun menjadi tafsir sehingga skrip asal ayat Allah telah berubah. Anda boleh lihat sendiri maksud asal ayat itu hilang begitu sahaja. Secara tidak langsung kita seolah-olah telah merubah ayat-ayat Allah melalui terjemahan itu, walaupun skrip arab yang asal masih tidak berubah. Kerana itulah kami arahkan anak-anak kembali mengkaji menggunakan naskah terjemahan PER-KATA.

QS 6. Al An’aam 115. “Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat MERUBAH kalimat-kalimat-Nya dan Dia lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

Dari lebih 10 terbitan quran terjemah yang kami kaji, terlalu banyak kami temui terjemahan YANG JAUH MENYIMPANG DARI SKRIP ASAL. Perhatikan beberapa contoh dari terlalu banyak pengolahan terjemahan yang berlaku. Perubahan makna itu jelas membawa maksud yang berbeza.

QS 42, Ash-Shura Ayat 52

 “ وكذلك dan demikianlah

أوحينا Kami WAHYUKAN

إليك kepadamu

روحا WAHYU”.

Fokus kami ialah pada kalimah روحا (RUHAN) yang diterjemahkan sebagai WAHYU. Sehingga ayat itu berbunyi, “Dan demikianlah kami WAHYUKAN kepada kamu WAHYU…” sedangkan terjemahan sebenarnya ialah ROH.

QS 73. Al Muzzammil 2

“قم bangunlah

اليل malam hari

إلا kecuali

قليلا sedikit

Terlalu banyak versi terjemahan yang berbeza untuk ayat ini. Antaranya :“BANGUNLAH UNTUK SEMBAHYANG (TAHAJUD) DI MALAM HARI, KECUALI SEDIKIT DARIPADANYA”. Tiada perkataan SOLAT apatahlagi TAHAJJUD dalam skrip asal. Padahal sepanjang surah itu hanya menekankan keperluan bangun malam untuk membaca alquran dengan tartil. Ini kerana bacaan di waktu malam lebih tenang . Dan lagi di kondisi jahiliyah ini, Allah katakan yang manusia amat sibuk di siang hari mencari harta dan bermacam-macam urusan dunia.

Lagipun ini hanya surah ke 3 dalam susunan turunnya (nuzul) quran. Waktu ini Fatihah belum turun lagi. Solat bagaimanakah itu? Terlalu panjang untuk dijelaskan namun apa yang ingin kami ketengahkan hanyalah sekadar CONTOH KEBENGKOKAN yang banyak berlaku dalam terjemahan alquran. Akhirnya kefahaman yang salah itu memberi hidayah perlaksanan yang salah dan kurang berkesan.

Yang paling banyak kebengkokan samada pentafsiran hadis maupun wahyu ialah apabila melibatkan pencerahan ayat-ayat MUTASYABIHAT yang cuba dijelaskan secara MUHKAMAT. Kami dapati setiap ayat quran itu terselit perintah yang menuntut kita memahami kehendak Allah untuk bangkit melaksanakannya. Apabila ayat-ayat mutasyabihat dijelaskan secara muhkamat, maka ia hanya mampu menampakkan Allah maha kuasa untuk melakukan sesuatu yang mustahil bagi manusia. Ia sekadar jadi satu bentuk KENYATAAN sahaja, tidak sekali-kali dapat disedut strategi dan hidayah untuk kita bangkit melaksana.

KEBENGKOKAN PADA PERLAKSANAAN

Ini tidak perlu kami huraikan kerana ia amat jelas dapat kita lihat dalam kehidupan kita. Banyak perintah Allah yang tersurat dan mudah difahami pun kita langgar sesuka hati sahaja. Dosa besar yang dilarang Allah seperti arak, judi, zina, buang bayi, membunuh, mencuri dan sebagainya sudah seperti biasa tanpa merasa berdosa lagi bagi kita. Bila tertangkap, kita juga bengkokkan penghakiman dan hukuman qisasnya.

Allah minta jangan berbuat suatu apapun tanpa ilmu (QS:17/36), tapi kita semua selamba sahaja melaksana ibadah tanpa ada keinginan untuk mencari kefahamannya dahulu. Paling jelas ialah terlalu ramai yang mengaku mengikut alquran dan sunnah, namun sampai akhir hayat, quran pun ramai di kalangan kita tidak pernah baca terjemahannya.

Allah perintah kita laksanakan apa yang kita kata, namun kita banyak berkata tanpa melakukannya. Kita kata Allah besar, tapi perlakuan kita sentiasa sahaja memperkecilkan Allah. Yang Allah suruh kita abaikan, yang Allah larang kita langgar sahaja tanpa sedikitpun merasa berdosa.

Allah suruh kita pakai tudung sehingga menutupi dada, kita selamba saja berkeliaran di pasar secara ‘free hair’. Ada yang pakai tudung tapi bukan sahaja tidak menutupi dada, malah ada yang bertudung tapi macam selendang, sambil memakai t-shirt singkat nampak pusat, bahkan cukup ketat dengan lengan pendek dan belahan dada low-cut yang mendedahkan pangkal buah dada. Semata-mata mahu tayangkan kalung dan buah dada yang besar menghairahkan.

Masih besarkah Allah? Masih luruskan kitab Allah dalam perlaksanaan harian kita?

Allah perintah lelaki menjadi pemimpin wanita. Allah minta wanita jaga anak dan urus rumahtangga. Sekarang ini terlalu ramai yang selesa dengan fenomena sebaliknya, isteri keluar bekerja dan suami duduk rumah jaga anak dan memasak. Segala keputusan ikut kata isteri sahaja. Ramai suami tidak perduli soal nafkah dan pendidikan anak-anak. Allah suruh jaga adab wanita agar tunduk ketika berbicara, jaga hentakan kaki ketika berjalan, jauhi perhiasan jahiliyah dan banyak lagi. Semuanya kita langgar.

Bagi ahli politik, ahli perniagaan dan pegawai tinggi wanita jauh lebih sedih lagi. Wanita bebas keluar rumah, malah berhari-hari ‘out station’ untuk berkempen, buat marketing dan sebagainya. Di luar isteri makan minum, bersosial, bersenda gurau, bahkan bertepuk tampar dengan bukan muhrim sewenang-wenangnya. Akhirnya selera terhadap suami di rumah menurun, atau selera suami terhadap isteri juga menurun. Maka banyaklah kes tuntutan cerai berlonggok di mahkamah syariah. Anak-anak terbiar dan jadi liar.

KESIMPULAN

Kami tidak boleh teruskan kerana ia akan jadi terlalu panjang dan hilang selera membacanya. Cukuplah dengan seruan agar kita fahami betul-betul ayat 1- 2 Surah al-Kahfi ini. Janganlah lafaz di bibir memuji Allah, namun hakikatnya kita tidak mensyukuri pemberian kitabNya. Sewenang-wenang kita bengkokan kefahaman dan perlaksanaannya dalam kehidupan seharian.

Surah An-Naml, 73:
وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ
Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai “KURNIA YANG BESAR” kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri.

Surah 6, Al-An’am Ayat 161:
قل Katakanlah,

إنني sesungguhnya aku

هديني telah memimpin aku

ربي Tuhanku

إلى kepada

صرط jalan

مستقيم yang lurus/tegak

دينا agama

قيما BENAR/LURUS/TEGAK

ملة agama/Milah

إبرهيم Ibrahim

حنيفا YANG LURUS

وما dan tidaklah

كان adalah dia

من dari/termasuk

المشركين ORANG-ORANG YANG MUSYRIK.

Perhatikan perkataan قيما yang diterjemahkan sebagai BENAR/LURUS/TEGAK dalam ayat ini. Ia dari kata dasar قوم yang boleh juga membawa maksud tegak/berdiri/lurus. Dalam bahasa perlaksanaan, ia boleh dikembangkan kepada ISTIQOMAH dan MUSTAQIM. Itu cara kita meluruskannya dalam kehidupan kita.

MERASA GEMENTARLAH dengan status MUSYRIK yang dikaitkan dengan isu MEMBENGKOKKAN KITAB ALLAH ini. sebelum terlambat, marilah kita baca kitab amalan kita, kita kaji habis-habis dan carilah di ayat mana telah kita bengkokkan kefahamannya, ataupun perlaksanaannya. Atau mungkinkah kita tidak peduli sama sekali untuk membaca dan memahaminya. Tidak kita peduli tentang lurus bengkoknya surat-surat cinta Allah itu sama sekali. Kita selesa seperti sifat Sapi Betina, al-an’am dan sebagainya.

QS: 17. Al Israa’, 14. “Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu.”

QS: 8. Al Anfaal, 2. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah GEMETARLAH hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.

Mari sama-sama kita luruskan apa yang telah bengkok. Kita perbaiki amal kita agar ia mampu membawa ISLAH/perubahan, agar kita mampu mencapai maqom amal SOLEH, amal yang membawa perubahan melalui kefahaman dan komitmen yang tegak lurus dari kitabullah.

Minda Jumaat – Rahsia Al-Kahfi
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *