Kanak-kanak 2 tahun dibunuh kejam di Paka, Terengganu

image_pdf

Dungun : Tuesday, January 21, 2014 at 1:30 PM

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lingkungan dua tahun ditemui mati dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Permint, Seri Paka Fasa Dua Dungun, jam 3.20 petang tadi.

Mayat mangsa ditemui seorang pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan perumahan itu, sebelum terhidu bau busuk dari arah rumah berkenaan.

Pengawal keselamatan itu yang memasuki rumah berkenaan kemudian terkejut menemui mayat kanak-kanak berkenaan yang tidak berseluar dan berlumuran darah berhampiran tandas rumah berkenaan.

Pengawal kesekamatan itu kemudian melaporkan kepada majikannya sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaakob mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

00 mati suspek

Mayat busuk budak

Oleh Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham – MyMetro

Dungun: 2014/01/22

Bau busuk dari sebuah rumah kosong di Taman Permint Seri Paka Fasa Dua di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia dua hingga empat tahun, disyaki mangsa bunuh, semalam.

Sumber berkata, ketika ditemui di dalam tandas rumah kosong itu, sekitar mayat mangsa dipenuhi darah dan separuh bogel dengan pakaiannya tersingkap hingga ke paras dada.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui jam 3.20 petang oleh seorang pengawal keselamatan yang membuat pemeriksaan selepas terhidu bau busuk dari rumah itu.

“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung dan berbau busuk, mangsa dipercayai mati antara dua hingga tiga hari lalu dan polis turut mengambil kira kemungkinan mangsa dibunuh,” katanya.

Sumber itu berkata, terkejut melihat mayat kanak-kanak perempuan itu yang berlumuran darah, pengawal keselamatan terbabit segera memaklumkan kepada majikannya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Paka dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Menurutnya, mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Paka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan seorang wanita yang tinggal di kampung berhampiran tempat kejadian, ada membuat laporan polis mengenai kehilangan anak perempuannya yang berusia dua tahun, dua hari lalu.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada mangsa yang mati itu adalah kanak-kanak yang hilang.

Ibu, teman lelaki ditahan kes bunuh kanak-kanak

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata teman lelaki ibu kanak-kanak itu yang merupakan suspek utama ditahan kira-kira 1.30 tengah hari semalam di Kuala Paka, Dungun.

Katanya susulan itu, dua rakan suspek utama masing-masing berusia 25 tahun serta ibu kanak-kanak itu yang berusia 28 tahun diberkas antara 10.30 malam tadi hingga 1.30 pagi ini di sekitar Paka.

“Sebelum itu (semalam) kita telah menahan teman lelaki ibunya untuk membantu siasatan berhubung laporan kehilangan kanak-kanak yang dibuat ibunya pada Sabtu lalu (18 Januari).

“Selepas penahanan suspek utama itu barulah mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui pada hari yang sama dan sejurus itu, kita menahan dua lagi rakannya serta ibu mangsa bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mayat kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan separuh bogel ditemui seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baharu itu kira-kira 3.30 petang semalam.

Bapa kandung kanak-kanak malang itu masih ditahan di penjara berhubung kesalahan dadah.

Manoharan berkata ketika ditahan suspek utama berumur 25 tahun itu dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.

Katanya hasil siasatan mendapati laporan dibuat ibu mangsa berhubung kehilangan anaknya itu pada Jumaat adalah palsu kerana dipercayai telah dipaksa oleh teman lelakinya untuk membuat laporan itu.

Dalam laporan itu, ibu kanak-kanak itu memaklumkan anaknya itu hilang selepas ditinggalkan bersendirian dalam sebuah kenderaan semasa dia dan teman lelakinya berjumpa rakan di Dungun.

Manoharan berkata siasatan juga mendapati suspek utama adalah individu terakhir bersama-sama mangsa selepas ibunya membenarkan kanak-kanak tersebut keluar dengan teman lelakinya kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lalu.

Namun kira-kira pukul 11 malam hari yang sama, suspek memaklumkan kanak-kanak itu telah hilang dan memaksa ibunya membuat laporan polis, katanya.

“Kesemua yang ditahan ini merupakan penagih dan pengedar dadah. Justeru kita masih menyiasat sama ada ibunya terlibat dalam kes kematian ini atau sebaliknya,” katanya.

Manoharan berkata polis juga telah merampas kenderaan yang digunakan suspek untuk membawa keluar mangsa sebelum ditemui mati dibunuh.

Polis percaya dapat menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya keempat-empat suspek dan mengetahui motif sebenar kanak-kanak itu dibunuh, katanya. – Bernama

Rabu, 22 Januari 2014

#Polis kesan penyebar gambar kematian kanak-kanak di laman sosial

KUALA TERENGGANU – Polis sedang berusaha mengesan individu yang menyebarkan di laman sosial gambar seorang kanak-kanak perempuan separuh bogel berusia dua tahun yang mati dibunuh.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di sebuah rumah kosong di Taman Perumahan Permint Seberang Paka, Dungun pada petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K.Manoharan (gambar) berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana pihak terbabit sewenang-wenangnya menyebarkan gambar tersebut tanpa memikirkan sensitiviti keluarga mangsa.

“Kita akan menyiasat kes ini di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan di bawah Akta Kanak-kanak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang melakukan rondaan di kawasan perumahan baru itu kira-kira 3.30 petang selepas terlihat pintu utama rumah berkenaan terbuka serta terhidu bau busuk.

Curiga dengan bau itu, pengawal keselamatan itu masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu dalam keadaan terbaring di bilik air.

Dalam pada itu, Manoharan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian kanak-kanak terbabit. – Bernama

3 thoughts on “Kanak-kanak 2 tahun dibunuh kejam di Paka, Terengganu”

  1. Salam. Mohon pihak warga prihatin buang gambar kanak2 tersebut. Gambar ini mungkin akan diambil oleh blog2 lain, dan kemudiannya tersebar meluas di alam maya. Kesian jenzah dan ahli keluarga terbabit. Thanks.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *

Rumah Asnaf & Anak Yatim | Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akhlak | Kajian Pembangunan Tamadun Islam Moden