Minda Jumaat – Rahsia Kahfi 7

image_pdf
00 GUA 7MINDA JUMAAT – RAHSIA KAHFI 7Dajjal telah sangat berjaya melaksanakan misi mengaburi agama apabila rata-rata umat sudah tenggelam punca. Begitulah yang telah berlaku apabila Adam a.s. yang diketuai oleh Syaitan di Syurga dahulunya sudah tidak lagi kenal nama-nama. Akhirnya KHULDI, buah syurga yang terlarang telah dimakan baginda. Semuanya disebabkan kekeliruan dari segi nama dan hakikat buah yang sebenarnya.

Adam tersilap lalu dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke dunia nyata untuk memahami semula segala yang sudah tidak dikenali selama ini. Langkah pertama di dunia untuk Adam ialah belajar dan diajarkan Allah tentang nama-nama. Proses pemberian dan penerimaan ilmu itu dipanggil TALAQQI (QS 2:37)

Begitulah juga keadaan kita yang telah dihadiahkan Rasulullah saw dengan hazanah syurga berupa ilmu yang terang dan nyata sebelumnya, namun kini jahil semula. Banyak maklumat dan pedoman agama yang hanya kita mampu baca pada teks, namun kita jahil dari segi konteksnya. Pelbagai istilah yang bermain di bibir setiap hari sebenarnya tidak kita ketahui secara tepat dalam konteks kehidupan seharian.

Hari ini ingin kami kongsikan dapatan kajiselidik kami tentang beberapa istilah yang terdapat dalam surah kahfi.

MENGENALI FALSAFAH TALAQQI, LADUNI DAN MURSYID

Sering kita dimomokkan dengan istilah pencarian ilmu yang dipanggil LADUNI. Kemudian kita disaran agar belajar dengan guru MURSYID. Malangnya ramai yang tidak mengetahui dengan jelas apakah konteks sebenar dari istilah-istilah itu.

Ilmu LADUNI ialah ilmu yang dikatakan didapati melalui kaedah semula jadi. Ia didapati dalam bentuk pemerhatian yang panjang dan berulang-ulang oleh mereka yang merendah diri dan fokus terhadap tabiat alam dan manusia. Ia diperolehi secara praktikal atau pembacaan (iqra’/kajian) ayat kasar secara objektif dan konteks, bukan dalam bentuk penceritaan atau tulisan berhuruf (teks).

ILMU juga boleh didapati dan diturunkan melalui proses TALAQQI (pemberian/penerimaan). Inilah juga kaedah pembelajaran orang dulu-dulu di mana para guru adalah insan yang banyak meneliti tabiat alam maya dan manusia. Itulah guru yang mampu menjelaskan kepada muridnya dengan jelas lalu ia dipanggil guru MURSYID, yang mampu menunjuk/menjelaskan dengan jelas.

Inilah hakikat penjelasan tentang kefahaman segala persoalan ilmiah dalam kehidupan yang tidak boleh dicabar oleh orang yang hanya sekadar membaca teks sahaja tanpa meneliti konteks.

Pepatah inggeris mengatakan “you read you know, you do you remember”. Contoh adalah perbezaan yang sangat ketara apabila kita mendapat penjelasan dari orang yang membaca ‘TULISAN LEMBU’ dalam quran, berbanding dengan orang yang setiap hari ‘MENGGEMBALA LEMBU’ di lapangan. Kefahaman tentang lembu itu didapati melalui proses secara LADUNI oleh GURU MURSYID.

MEMAHAMI HAKIKAT HAMBA, TABIAT DAN ASBAB

Hari ini terlalu banyak bahan bacaan, terlalu ramai bijak pandai yang fasih berceramah dan berhujjah dengan lidah dan mata pena. Malangnya kebanyakan ilmuan bergerak sendiri tanpa rumusan secara berjemaah, bahkan tanpa keluar meneliti alam buat mengesahkan kebenaran maklumat dari teks yang dibaca dan dijadikan bahan ceramah. Akibatnya banyak percanggahan isi ceramah atau buku berbanding tabiat alam dalam konteks yang sebenar.

Sementara itu tidak ramai ilmuan yang berbuat seperti guru mursyid zaman dahulu di mana mereka sendiri memperhambakan diri kepada alam dengan ikut meneliti serta mengalami asbab dan tabiat alam. Oleh itu, dalam keadaan umat sudah kembali jahil ini, kita tiada pilihan melainkan harus rajin kembali mencari bukti kebenaran melalui proses penelitian alam dan pembacaan ayat kasar.

Bermula dari ayat 60 dalam surah al-Kahfi, ingin kami petik kisah pengalaman pembelajaran dari Nabi Musa a.s. dalam konteks LADUNI dan guru MURSYID.

Pertamanya ingin kami ajak pembaca meneliti kisah bagaimana Musa a.s. berkelana, berjalan bersama pengikutnya sehingga bertemunya dua lautan, bagaimana baginda mengalami kehilangan ikan sewaktu berehat. Kemudian dikisahkan pula bagaimana baginda bertemu dan belajar dari hamba yang diriwayatkan bernama Hidhir. Itu tidak termasuk penerimaan ilmu melalui pengalaman bekerja dengan bapa mertuanya Syuaib a.s., bertalaqqi secara langsung dengan Allah, belajar dari kepetahan Harun a.s. dan sebagainya.

Dalam ayat seterusnya dikisahkan pula bagaimana Zulkarnain berjalan meneliti ASBAB dalam membantu umat menangani ancaman Yakjuj dan Makjuj, meneliti matahari yang terbenam di lautan berlumpur hitam dan berjalan lagi sehingga bertemu tempat matahari terbit. Falsafah di sebalik misal ini akan kami kongsikan di siri lain insyaAllah.

65. Lalu mereka bertemu dengan seorang HAMBA di antara HAMBA-HAMBA Kami, yang telah Kami berikan kepadanya RAHMAT (ilmu) dari sisi Kami (LADUNI), dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami

66. Musa berkata kepadanya (Khidhr): “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar (RASHID) di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?”

67. Dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup SABAR bersama aku.

78. Khidhr berkata: “INILAH PERPISAHAN antara aku dengan kamu; kelak akan kuberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu TIDAK DAPAT SABAR terhadapnya.

84. Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya ASBAB segala sesuatu,

85. maka diapun menempuh suatu ASBAB/SEBAB (ayat yang berulang-ulang dalam kisah Zulkarnain).

Dari ayat 65 dan 66 sila perhatikan juga harfiahnya di gambar hiasan. Apa yang ingin kami kongsikan ialah kata kunci LADUNI, HAMBA, MURSYID, ASBAB, SABAR dan IKUTI / BERJALAN / TABIAT.

KESIMPULAN


Untuk mendapat ilmu dan kefahaman yang tepat, kita harus banyak merendah dan MEMPERHAMBAKAN DIRI kepada Allah melalui perlaksanaan. Kita harus banyak berjalan dan meniti asbab musabbab, agar dapat menghayati KONTEKS SEBENAR tentang tabiat alam dan manusia. Proses ini mampu menjelaskan dan mengesahkan kefahaman apa saja yang kita baca dari teks.
Segala kekalutan hidup yang kita alami sekarang adalah hasil kerjabuat kita sendiri. SEMUANYA akibat kejahilan kita yang teterlaluan. Cara Allah menolong kita hanyalah dengan membuang kejahilan itu. Itulah ilmu, itulah hidayah yang kita pohon HANYA dari Allah sebagai penolong kita. Kita baca pengakuan itu 17 kali sehari dalam Fatihah semasa solat. Kerana itu juga Allah perintahkan kita agar sentiasa sabar dan khusyuk untuk mendapatkan hidayah itu. Namun itu amat sukar kita lakukan.

“Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’”- QS 2:45

Jelaslah untuk mendapatkan semua ilmu dan petunjuk yang bakal menolong kita dari kekalutan hidup ini kita harus SABAR. Tanpa kesabaran itu kita akan gagal dalam pencarian ilmu. Tanpa ilmu dan petunjuk yang tepat maka segala permasalahan hidup kita selama ini akan tidak tertolong dek kerana kejahilan kita yang berpanjangan.

Inilah serba sedikit disiplin yang ingin kami kongsikan dalam pencarian ilmu yang telah sekian lama hilang dari pegangan umat Islam ketika ini. Semuga kita semua mampu menghayati dan sama-sama ikut mencuba, menghambakan diri dengan rendah hati untuk meneliti.

Ambillah pelajaran dari proses pembelajaran yang dilalui oleh Nabi Musa a.s.. Haidir yang dikatakan Guru Mursyid itu adalah dari GOLONGAN HAMBA yang mendapat ilmu secara LADUNI, secara semulajadi langsung dari Allah, melalui perlaksanaan dan penelitian alam. Guru terbaik ini BERSIFAT HAMBA, tiada nama, pangkat dan harta namun amat fokus dan penuh siyyasah yang strategik, bukan seperti ciri guru-guru hebat yang selama ini kita sangka.

Ilmu itu bersifat seperti air YANG PERLU DITADAH dan yang mengalir mengikut graviti. Ia tidak akan mengalir dari bawah ke atas. Oleh itu kita harus belajar merendah diri dalam menuntut ilmu. Sediakan bekas yang bersih dan kosong untuk menadah ilmu yang bersih.

Selagi kita masih merasakan kita sudah berilmu, berpenyakit hati, keras kepala, suka membantah dan tidak sabar, maka segala rahmat ilmu dari Allah akan terhenti dant terputus. Kekallah kita menjadi golongan yang rugi dan sengsara dengan pelbagai salah laku yang membinasakan. Amal harian kita bakal dipenuhi dengan angan-angan kosong dan fatamorgana selamanya.

Koncakan Minda pagi Jumaat
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *