Minda Jumaat: Rahsia Al-Kahfi 3 – Melawan Ujian & Fitnah Al-Masih Ad-Dajjal

image_pdf

00 gua.3Minda Jumaat: Rahsia Al-Kahfi 3 – Melawan Ujian & Fitnah Al-Masih Ad-Dajjal

Cerita tentang Ashabulkahfi dan juga cerita tentang Dajjal sebelum ini sangat popular kepada kita sebagai cerita sebelum tidur dan juga bahan ceramah sebahagian pendakwah. Cerita dalam alquran sekiranya kita sekadar baca bukan secara kritis, kita hanya dapat kulitnya sahaja tetapi tidak isinya. 

Betulkah momokkan tentang Dajjal yang mempunyai fizik manusia bermata satu yang sangat besar? ataupun ia sebenarnya berbentuk satu kesatuan / organisasi / kuasa yang sangat besar ATAUPUN Dajjal itu ada dalam diri kita sendiri dan ia menguasai ruang terpenting manusia iaitu hati. Sila baca terus artikel ini untuk satu lapahan dalam sudut yang jarang dibincangkan oleh daie-daie yang sebahagiannya juga menjadi instrumen Dajjal. 

Sepanjang zaman bermula dari awal kebangkitan Islam, pusingan jatuh bangun agama Allah ini adalah menjadi rutin. Sezaman ia dibangkitkan, dan sezaman ia jatuh semula di atas mukabumi ini. Walaubagaimanapun, Allah awj telah menetapkan hak Nya untuk menjamin agama ini terpelihara dari terus lenyap dari mukabumi. Sewaktu terputusnya wahyu dari amalan dunia, Allah simpan ia di tempat rahsia bernama GUA. 

Jangan dicari dalam gua batu kapur di mana-mana secara TERUS tetapi ia satu konsep kerahsiaan untuk melarikan Islam dari musuh Islam sendiri. Ada yang ambil secara terjemahan langsung, maka mereka mencari tuhan dalam gua. Jika anda berada di dalam gua, anda mampu lihat dari dalam itu apa yang berlaku di luar gua. Jika anda berada di luar gua, anda tidak nampak apa yang berlaku di dalam gua. Konsep ini juga yang digunakan oleh beberapa gerakan yang telah diwartakan sesat di Malaysia tetapi maksudnya telah lari dari apa yang Allah mahukan.

Dalam siri 1 telah kami kongsikan hakikat jumaat dan keperluan memperkemaskan saf dan ukhwah dalam berjemaah. Juga telah kami kaitkan rahsia al-Kahfi yang terkait dengan Jumaat penghulu hari. Dalam ayat 1 dan 2 surah al-kahfi telah disentuh tentang situasi di mana hidayah Allah telah dibengkokkan dan perlu diluruskan semula. Kami kaitkan juga ayat 18 al-Kahfi yang menerangkan situasi di mana kejatuhan tidak akan kita sedari sehingga ke satu saat kebangkitan semula yang ditentukan Allah. Liciknya, apabila kita telah bangkit maka akan ada rasa selesa. Apabila selesa, kita akan tidur (leka dan lena) sehingga mampu musuh Islam buat kerja dan meragut kedaulatan Islam itu semasa tidur. Sedar-sedar bila bangun, semua khazanah di tangan sudah tidak laku lagi. 

Sebab itu Allah tidak pernah tidur dan kerana itu Islam mampu dipelihara. Jika Islam tiada di permukaan, Allah simpannya dalam sistem gua hanya dengan segolongan kecil sahaja memiliki khazanah itu. 

Dalam siri 2, telah kami kongsikan tentang situasi tersedarnya kita dari lena yang panjang. Terasa Islam dalam keadaan lapar dan tidak bermaya kerana sudah terlalu lama tidur dalam gua. Mahu kita beli makanan namun terpaksa menggunakan wang perak yang sudah tidak dikenal. Oleh itu kita terpaksa berhalus dan berlemah lembut menerangkan nilai wang yang telah digilap itu untuk membeli makanan yang baik. itulah prospek yang tahu menilai wang purba untuk menjadi makanan buat kita.

Sila baca dahulu siri 1 dan 2 untuk lebih memudahkan anda memahami siri 3 ini,

http://prihatin.net.my/2013/11/22/minda-jumaat-ashabul-kahfi-1/
http://prihatin.net.my/2013/11/25/minda-jumaat-sains-al-kahfi-2/

DAJJAL DAN KEJATUHAN ISLAM

Kejatuhan Islam adalah angkara Fitnah Dajjal dan syaitan yang menjadi bala tenteranya. Ini adalah ketentuan Allah untuk memberi ujian kepada keimanan manusia, samada untuk mempertahankan agamaNya atau untuk membangunkan semula.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: Baginda SAW telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir…Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.

Hari ini ingin kami kongsikan beberapa situasi yang bakal mengiringi Dajjal dan syaitan untuk memusnahkan iman manusia dan menghalang kebangkitan agama. Syaitan, malaikat, para nabi dan Dajjal ini juga makhluk Allah belaka. Semua mereka diciipta untuk membawa peranan masing-masing demi menguji keimanan manusia terhadap tuhannya.

FALSAFAH AL-MASIH DAN PERTEMBUNGAN ANTARA MEREKA

AL-MASIH bererti ‘YANG DIPERCAYAI’. Kehadirannya adalah dalam bentuk analogi dan kepercayaan sebenarnya, bukan secara fizikal. Al-Masih Ad-Dajjal ialah analogi MAKHLUK BERMATA SATU, memandang perintah dan larangan Allah hanya dengan satu mata saja. Syurga dikatakan neraka dan begitulah sebaliknya. Namun si Dajjal ini jugalah yang memberitahu manusia bahawa mereka akan turun dengan pelbagai bayangan rupa. Ini agar manusia tidak menyangka bahawa mereka telah berumahtangga dengan si Dajjal sekian lama.

Begitu juga halnya dengan kisah al-Masih Isa Putera Mariam dan al-Masih Mahdi. Kesemua mereka juga kehadiran yang berbentuk analogi, bukan secara peribadi yang amat diketahui oleh si Dajjal. Namun Dajjal jugalah yang memberitahu kita bila, di mana dan bagaimana meraka ini akan hadir melawan Dajjal. Ini semua terungkai dalam al-Kahfi. Begitulah liciknya Dajjal.

Al-Kahfi itu sendiri merupakan satu analogi. Oleh itu segala tanda kemunculan Dajjal harus dibaca secara analogi atau mutasyabihat dalam membaca al-Kahfi.

DUNIA ISLAM KEMARAU SEBELUM DAJJAL MUNCUL

Analogi kemarau adalah kaitan dengan ketiadaan air sebagai analogi ilmu. Dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT dengan kemarau panjang di mana umat akan dilanda kebuluran dan kegersangan. Ini menyebabkan umat Islam menjadi jahil dan berada dalam keadaan panas (Ramadh). Masyarakat hidup tindas menindas, berselisih faham dan bermusuhan.

Ketika inilah diperlukan kita berpuasa, solat malam yang panjang, mencari lailatul Qadar dan NuzulQuran. Dengan petunjuk kehidupan dari Allah itu kita mampu kembali menfitrahkan semula kesejahteraan hidup beragama. Hasil puasa dapat melentur jiwa untuk saling bermaafan dan bersama mengumpul dana untuk membangun semula fitrah agama (Eidulfitri).

DAJJAL MUNCUL TATAKALA MANUSIA KEBULURAN

Diriwayatkan, penyokong Dajjal akan memiliki bergunung makanan sedangkan orang-orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan.”

Terlalu banyak analogi hidangan berbagai rupa sajian dari barat, dari ahli-kitab dan musuh-musuh agama untuk santapan dan minuman kita yang sudah berpecah belah waktu ini. Sajian dari Allah (al-Maidah) sudah tidak laku lagi (ayat 19). Aktiviti dakwah yang menjadi analogi makan (kejahilan/kebatilan/kemungkaran) dan minum (menimba ilmu) digantikan dengan zikir tersebut secara istiqomah untuk memelihara akidah dan keimanan. Ia menjadi analogi menggilap wang perak di dalam gua.

SYAITAN BERKUMPUL BERTEBARAN MEMBANTU DAJJAL 

Ringkasan Sabda Nabi saw dalam satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: 

Allah SWT mengerahkan kepada Dajjal para syaitan yang ada di timur dan di barat bagi menunjukkan kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua perintah Dajjal. Mereka pergi kepada semua manusia untuk meyakinkan bahawa Dajjal adalah tuhan mereka dengan membawa untuk mereka syurga dan neraka acuan Dajjal.

Dengan bilangan yang sangat banyak, syaitan bertebaran di mukabumi dan masuk ke rumah-rumah manusia, lebih dari 100 syaitan untuk sebuah rumah. Mereka menjelma dalam bentuk ayah, ibu, anak, saudara-saudara, hamba-hamba, guru-guru, orang alim dan sahabat-sahabat tuan rumah itu. 

Apabila tuan rumah berkata: “Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal telah muncul.” Syaitan menjawab: “Janganlah engkau terburu-buru berkata demikian. Dajjal itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah”.

Ini adalah analogi anasir syaitan tentera Dajjal yang berupa-rupa. Sementara kita menunggu makhluk khusus bernama Dajjal yang direka-reka rupanya, sebenarnya watak mereka telah berada dalam rumah kita. Fungsi rumah sebagai syurga sudah berubah jadi neraka. Masjid dan majlis ilmu yang menjadi taman dan sungai syurga pula berubah menjadi neraka pada kita. Buktinya kita seronok berjam-jam dalam pesta dan kelab hiburan tapi sangat letih dan tersiksa hanya 30 minit dalam majlis ilmu di masjid. Prospek Dakwah sebgai analogi makanan untuk Islam sudah tiada kerana minat manusia semuanya menjadi makanan syaitan belaka.

DAJJAL ADA SYURGA DAN NERAKA TERSENDIRI

Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Neraka itu sebenarnya syurga sedangkan syurganya itu adalah neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksa dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk”.

Inilah hakikat air, analogi ilmu yang menyejukkan jiwa dan memberi kekuatan kepada manusia. Bastotanfililmi wal jismi.

DAJJAL MUNCUL DI ANTARA SYAM DAN IRAQ

“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.”

Kita sedang benar-benar melihat kecelaruan yang sukar dirungkai di wilayah itu. Anda dapat lihat bagaimana musuh Allah begitu berjaya memutarbelitkan fakta sampai kita sendiri terbelit sehingga sanggup berbunuhan sama sendiri. Anak kecil, orang tua, wanita hamil dibunuh dengan senjata dan dituba dengan kimia sesuka hati. Puluhan mayat sanggup ditolak dengan buldozer dan dibakar dengan sengaja. Berbagai ulamak timbul, melantik diri sendiri dan mengeluarkan fatwa itu dan ini. Ironinya banyak yang jauh lari dari pesanan nabi dan perintah Allah itu sendiri. 

DAJJAL MENGAKU SEBAGAI NABI

“Pada mulanya Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu dia mengaku pula sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan yang baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.”

Analogi dari hadis ini ialah tidak perlu bijak pandai untuk mengenal Dajjal, sibuta huruf pun mampu jika mahu. Yang penting gunakan kedua-dua belah mata, pendengaran dan hati, itu sahaja. Hari ini begitu ramai Dajjal yang mengaku rasul dan nabi, bahkan sudah ada yang mengaku tuhan pun. Mahu tunggu apa dan bila lagi untuk Dajjal itu mampu kita kenalpasti? 

DAJJAL MENGHIDUPKAN AYAH DAN IBU YANG TELAH MATI

“Di antara tipu daya Dajjal juga dia berkata: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”

Dalam isu ini, Dajjal menghidupkan sentimen ajaran nenek moyang yang sudah mati ke dalam jiwa manusia. Nostalgia amal orang tua menjadikan perubahan menjadi sangat sukar dilakukan biarpun sejelas mana bukti fitnah Dajjal itu dinampakkan. Inilah kejayaan Dajjal, menghidupkan orang yang mati dan mematikan orang yang hidup. QS 6/122, 36/6, 36/70, 2/170, 11/87. Kerana itu jugalah Allah kirim al-Masih Isa dan al-Masih Mahdi untuk melawan Si al-Masih yang satu ini.

Ini hanya beberapa contoh sebagai pembuka minda. Ada banyak lagi riwayat yang merujuk kepada ciri dan fenomena kehadiran Dajjal dalam hidup kita. Kami tidak mampu tuliskan semua kerana ini sekadar cetusan untuk membuka minda sahaja. Tanamkanlah minat untuk sama-sama mengkaji dan menggali.

Sempena jumaat ini, rapatkan diri dengan jemaah setempat untuk memperbaiki hubungan keIslaman kita. Jadikan masjid dan solat jumaat sebagai wadah gua yang penuh rahsia dalam usaha membangunkan masyarakat dan pelbagai urusan agama. Ini kerana tidak semuanya boleh kita bincang secara terbuka dalam situasi semasa agama kita yang sudah lama tidur lena.

QS: 18. Al Kahfi, 10. Tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami.” 

Jangan terima bulat-bulat cetusan ini. Nasihat kami agar kita ramai-ramai baca alquran yang masih lagi dalam tulisan asal itu, dengan terjemahan bahasa kita sekurang-kurangnya 3 kali. Itulah asas iqra’ yang menjadi sunnah nabi saw. InsyaAllah selepas itu mudah untuk kita mengenal kawan dan lawan, Al-Masih Isa dan Dajjal, Al-Masih Mahdi dan Regim Syaitan. Semuga kita mampu membezakan antara hak dan batil, yang mana perintah dan larangan, syurga dan neraka, dosa dan pahala dan sebagainya.

Bersambung … INSYAALLAH

CETUSAN JUMAAT
Warga Prihatin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *