Ustaz Kutip Derma Untuk Bina Banglo Peribadi

image_pdf

Derma bina banglo ustaz

BANGLO mewah dimiliki seorang ustaz di sebuah kampung terpencil Kampung Cham, Kemboja.
MASJID lebih RM500,000 yang bakal dibina oleh ustaz terbabit.

Phnom Penh:

Dia menjaja konon dirinya seorang ustaz yang hidup miskin dan diamanahkan menjaga sebuah banglo dua tingkat di sebuah perkampungan miskin dan terpencil di sini, sejak beberapa tahun lalu.

Namun rahsia lelaki yang pernah dan masih menjaja sumbangan di Malaysia terbongkar, apabila banglo dilengkapi pelbagai kemudahan bernilai lebih ratusan ribu itu, didakwa miliknya.

Banglo terletak di tengah-tengah ratusan rumah penduduk Islam daif di Kampung Cham, itu dikatakan digunakan sebagai pusat operasi menagih sumbangan warga Malaysia kononnya bagi membina sekolah agama dan masjid baru di kampung itu.

Ustaz lingkungan 40-an itu dikatakan sering menjaja dirinya mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan berlandaskan Islam di negara itu yang dianggotai tidak sampai lima ahli, bagi menagih sumbangan terutamanya daripada warga Malaysia yang sering menjalankan kerja amal di negara itu.

Agak mengejutkan apabila banglo ustaz terbabit dilengkapi bekalan air bersih selain janakuasa bagi menyalurkan bekalan elektrik walaupun penduduk hanya menagih bekalan air hujan untuk keperluan harian, selain menjadikan kegiatan bertani dan menangkap ikan di sungai Mekong sebagai sumber pendapatan.

myMetro 29 Okt 2013

Wanita sumbang RM100,000 hanya dapat foto masjid

Kuala Lumpur: Seorang jurutera pembinaan syarikat swasta yang ingin dikenali sebagai Azizan, meluahkan rasa bimbang berikutan ibu mentuanya juga sudah melabur kira-kira RM100,000 kepada seorang ‘ustaz’ yang kononnya juga diamanahkan untuk mengutip derma bagi membina masjid di Kemboja.

“Selama tiga tahun menderma untuk masjid yang dikatakan ingin dibina itu, ibu mentua hanya pernah mendapat sekeping gambar masjid yang masih dalam pembinaan, itupun selepas diminta berulang kali.

“Saya jadi bimbang apabila terdapat ustaz yang sanggup menyeleweng derma yang diberikan orang Islam yang betul-betul mahu melihat masjid dibina di kawasan yang miskin,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah berjumpa dengan ustaz yang menerima wang derma daripada ibu mentuanya berikutan sibuk bekerja dan duduk jauh daripada ibu mentua.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur dan mentua di Johor. Jadi, saya dan isteri hanya menolong ibu mentua ketika ingin memasukkan wang ke akaun ustaz berkenaan.

“Jika benar terdapat projek membina masjid seperti yang dikatakan, sekurang-kurangnya hantarlah gambar atau bukti lain yang boleh membuatkan kami percaya,” katanya.

Katanya, dia turut memberi sumbangan untuk ibadah korban baru-baru ini kepada ustaz berkenaan di negara itu, namun tiada sebarang gambar dihantar kepadanya yang menunjukkan ibadah itu dijalankan sehingga menimbulkan perasaan curiga terhadap aktiviti ustaz itu.

myMetro 1 Nov 2013

Tunggu masa nak cekup

Kuala Lumpur: Kedutaan Malaysia di Kemboja sudah mengenal pasti seorang ustaz di negara itu yang dikaitkan dengan pengutipan sumbangan dari rakyat Malaysia sebelum didakwa menggunakan wang itu untuk membina banglo ratusan ribu ringgit di perkampungan miskin dan terpencil di negara berkenaan.

Difahamkan, ustaz terbabit berada dalam pemantauan pihak berkuasa di Kemboja dan dijangka ditahan dalam tempoh terdekat untuk siasatan.

Menteri Penasihat Kedutaan Malaysia di Kemboja Raja Saifful Ridzuan berkata, pihaknya memang mengenali ustaz itu yang sebelum ini pernah membawa rombongan warga Malaysia ke kedutaan kononnya mengenali individu tertentu di kedutaan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah memantau senario ‘tidak enak’ itu, malah sudah dihentikan selain tidak mahu ustaz itu bertindak sebagai ‘orang tengah’ seterusnya menjadikan ia sumber untuk mendapatkan wang daripada warga Malaysia yang mahu ke kedutaan.

“Malah, berdasarkan laporan Harian Metro sejak beberapa hari lalu, kami sudah mengenal pasti ustaz yang dimaksudkan dan dipercayai memang gemar menggunakan nama pegawai agensi agama di Malaysia untuk tujuan berkaitan.

myMetro 1 Nov 2013 On October 29, 2013

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *