Perkongsian Ilmiah Misi Kemanusiaan Memanusiakan Manusia

image_pdf

00 repair.jpegbPerkongsian Ilmiah Misi Kemanusiaan Memanusiakan Manusia

Alhamdulillah seharian misi kemanusiaan yang dirangka akhirnya berjaya dijalankan semampunya. Perjalan pergi balik konvoi 13 kereta/van/MPV misi ini selamat. Namun sampai entri ini dimuatkan, masih ada 3 buah kenderaan yang belum sampai rumah, tersangkut semalaman dan masih di lebuhraya akibat kerosakan kenderaan. Yang lain terpaksa bergegas meneruskan perjalanan kerana terpaksa masuk kerja semula pagi ini. Ya kebanyakkan mereka sudah hampir 48 jam berjaga.

Banyak pelajaran yang dapat dikongsikan dari program kemanusiaan ini. Apa yang ingin kami ceritakan adalah kerosakan rumah yang jauh lebih teruk dari apa yang dapat kami bayangkan. Bukan hanya rumah tengah yang hancur bumbungnya, rupanya dahan dan ranting pokok besar itu turut memusnahkan bahagian depan dan juga dapur rumah itu. Kami tidak membuat lawatan tapak sebelum datang untuk merepair sepertimana amalan lazim kontraktor lain. Segalanya hanya berdasarkan gambar yang ada sahaja. Oleh itu tentunya kapasiti kami tidak mampu menyiapkan rumah itu dalam masa sehari dengan baik sekali. Cukuplah untuk memastikan tiada air yang mencurah-curah ke dalam rumah. Tiada hembusan bayu dingin yang menyiksakan kerana terdedah akibat dinding yang musnah.

Untuk perkongsian tarbiah ini, kami petik sedikit dari seorang peserta yang tidak mahu disebutkan namanya. Bakinya kami paparkan di blog. Luahan isihati tuan rumah yang tidak kami kenal secara nyata, hanya pembaca setia blog kami di alam maya dengan nama CHENTA KASIH DAYANA. Juga sedikit ulasan seorang lagi pembaca setia Warga Prihatin yang dikenali dengan nama ABU ZAFEERAH yang berkesempatan turutserta dalam misi kemanusiaan kali ini. Sila klik link berikut jika anda sudi membaca perkongsian ini.

http://prihatin.net.my/2013/11/27/terima-kasih-allah-chenta-kasih-dayana/

http://prihatin.net.my/2013/11/25/misi-bantuan-kemanusiaan-membantu-ibu-tunggal-dan-warga-emas/ 

TUGAS BERAT UNTUK MEMANUSIAKAN MANUSIA – ANONYMOUS

Saya sangat bersyukur dapat berada dalam rombongan ini buat pertama kali. Masih terkesima dengan ketabahan Dayana menghadapi kesulitan hidup selama ini. Berhenti kerja yang selesa di bandar untuk hidup di desa menjaga 2 orang warga Emas yang sakit, tidak berupaya dan dimakan usia. Ditambah dengan penceraian rumahtangga dan dibiarkan tanpa pembelaan manusia yang dipanggil ahli keluarga dan jiran tetangga.

Kini keluarga Dayana diuji lagi. Saya terkejut melihat kerosakan rumah yang menempatkan orang yang lemah tidak berdaya. Jauh lebih teruk dari apa yang dapat dilihat dalam gambar. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana harus menjalani hidup. Seminggu dibanjiri air hujan yang mencurah ke dalam seluruh ruang rumah.

Tilam dan tempat tidur terpaksa dibiarkan basah. Dingin hujan dan angin malam menghembus terus ke dalam rumah, akibat bumbung dan dinding yang turut musnah. Hati masih menangis pilu mengenang kesejukan anak kecil dan warga tua. Hati tidak boleh membayangkan bagaimana perasaan seorang ibu tunggal yang menjadi tempat bergantung buat kesemua mereka satu-satunya.

Dalam pada hati sebak, merintih memikirkan sikap manusia yang tak punya rasa. Manusia yang Nabi katakan tidak sempurna Islam dan imannya membiarkan yang daif tidak terbela. Tiba tiba tersentak dengan suara orang desa yang berkata “ Amboi cepatnya YB hantar orang baiki rumah… sempat siap dalam 1 hari..!’. pada masa yang sama seorang lagi terpinga-pinga bertanya “kamu semua ini datang dari mana?”.. Allah saja yang tahu perasaan di hati.

Ya… Desa itu ada ramai penduduknya. Ada masjid dan balai raya. Ada banyak kereta mewah dan juga jentera. Ada logo PAS, PKR dan UMNO juga. Ke manakah fungsi masyarakat dan aktiviti kemanusiaan mereka.? Di manakah fungsi JKKK? Imam? Rukun Tetangga? RELA? Di manakah tukang kempen pilihanraya yang selalunya beriya-iya menabur jasa menjelang PRU? Di mana Jabatan Kebajikan Masyarakat? Di mana Baitulmal dan Pusat Zakat? Kenapa keluarga daif ini sempat dibiar tersiksa?

Maaf saya tidak mampu meneruskan luahan hati. Mata saya semakin kabur dipenuhi air… nafas semakin sesak tak habis memikir. Ampuni aku ya Allah yang selama ini banyak menipu Mu. Banyak berdoa, menyeru hanya dengan kata-kata tapi tidak bangun melakukan sesuatu. 

Astaghfirullah… Ampuni daku wahai tuhan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *