Minda Jumaat – Sains Al-Kahfi 2

image_pdf

00 gua. 2Minda Jumaat – Sains Al-Kahfi 2

Minggu lepas telah kami kongsikan serba sedikit tentang falsafah Jumaat dan keterkaitannya dengan surah al-Kahfi yang Rasulullah SAW minta kita bacanya pada hari JUMAAT. Kami juga telah kongsikan serba sedikit pelajaran dari ayat 1-2 dan ayat 18 yang menampakkan situasi semasa kita. Sila baca dahulu siri 1 dari link berikut jika anda belum membacanya. http://prihatin.net.my/2013/11/22/minda-jumaat-ashabul-kahfi-1/

Dalam ayat 18 telah kami kongsikan ketatapan Allah bahawa kondisi Islam akan berada dalam bentuk pusingan kejatuhan dan pembangunan semula seperti malam dan siang. Kondisi ini berlaku atas fitrah Allah yang menetapkannya begitu tanpa kita sendiri sedar bagaimana dan bila ianya berlaku. Apabila kita sedar, kita telah ratusan tahun ketinggalan sehingga kefahaman dan perilaku kita telah jauh lari dari Islam yang sebenarnya.

Minggu lepas telah kami kaitkan “WALYATALLATTOF” (“Dan hendaklah kamu berhalus/hati-hati”) yang biasanya berwarna merah dan letaknya di tengah-tengah Musyhaf alquran. Hari ini kami ingin kongsikan secara khusus ayat ke 19 dari surah Al Kahfi ini.

“Dan/DEMI demikianlah Kami bangunkan mereka agar mereka saling bertanya di antara mereka. Berkatalah seorang yang berkata: Sudah berapa lamakah kamu berdiam?.” Mereka menjawab: “Kita berdiam sehari atau setengah hari.” Mereka berkata: “Rabb kamu lebih mengetahui berapa lamanya kamu berdiam. Maka suruhlah salah seorang di antara kamu dengan membawa Wang perakmu ini pergi ke Madinah (kota), maka hendaklah dia perhatikan/cari manakah makanan yang lebih baik/suci, maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu sebagai rezeki dari sebahagiannya, dan hendaklah ia berhalus/ hati-hati /lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menberitahu halmu kepada seorangpun.

HAKIKAT LENA – FITRAH PUSINGAN JATUH BANGUNNYA AGAMA

Sebagai janji Allah untuk memastikan agamaNya sentiasa terpelihara, kita yang lena dalam kegelapan gua dunia ini tetap akan terjaga semula. Itu menjadi sumpah dan janji Allah yang dizahirkan dalam kata sumpah “WAW QASAM” di awal ayat ini. Kebangkitan ini berlaku dengan sendiri atas kuasa dan gerak dari Allah jua.

Harus kita teliti juga scenario tidur dan bangun dari ayat ini. Apabila saja kita terjaga dari lena yang panjang, pastinya kita akan terpinga-pinga. Pertama yang kita biasa tanyakan ialah berapa lama kita terlena. Dalam ayat ini dijelaskan hanya Rabb sahaja yang tahu berapa lama Islam telah terlena, telah sangat statik, tidak bergerak atau pesat berkembang. Jawapan sebenar hanya akan diketahui setelah mereka iqra’ semula atas nama Allah. Kaji semula bila bermulanya pemansuhan sistem Allah dimuka bumi dengan mengurut semula faktur sejarah yang panjang.

ANALOGI MAKAN DALAM URUSAN DAKWAH

Menjadi kebiasaan juga untuk kita LAMA TERLENA terus terasa lapar dan ingin mencari makanan sebaik saja kita terjaga. Makan minum inilah yang memberi TENAGA kepada kita.
Selama ini kita tidak melihat keperluan untuk makan kerana kita sedang lena.

Agama Allah ini hidup dan berkembang dengan aktiviti dakwah. Dalam program dakwah ada yang dimakan dan ada yang memakan, ada yang minum dan memberi minum. Kerana itulah aktiviti makan dan minum di masjid ini menjadi arahan Allah dalam quran. Ia sebanarnya satu analogi kepada program dakwah.

Sabda baginda “ASSOLATUDU’A” (“Solat itu adalah DOA / SERU”). Itulah hakikat dakwah yang Nabi SAW terapkan melalui aktiviti SOLAT yang diwajibkan Allah.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat (silah) kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawat (silah)lah kamu kepadanya dan Islamlah kamu, Islamkanlah (Islam yang sebenar-benarnya).” (Surah 33 Al-Ahzab: 56).

Wahyu dan petunjuk Allah telah pun disampaikan melalui malaikat kepada Nabi SAW. Umat pula harus berusaha mendapatkannya daripada baginda. Ini adalah asas selawat yang menjadi jamak kepada kata pokok solat. Inilah matarantai perpindahan ilmu, iaitu kaedah bagaimana ilmu dihubungkan dari Allah melalui malaikat kepada Rasul dan kepada umatnya. Asas perhubungan ini dipanggil SILAH yang dikembangkan menjadi SOLAT dan SOLAWAT.

Solat yang membawa misi tarbiah dan pengembangan ilmu inilah yang akan meningkatkan darjat dan mencegah perbuatan keji dan mungkar. “ASSOLATUL MIKRAAJUL MUKMINIIN” yang bermaksud “Solat itu adalah peningkatan darjat (Mikraj) bagi orang Mukmin”. Inilah hakikat makanan rohani bagi orang Islam yang telah lama tidak diamalkan dengan berkesan.

ANALOGI MAKANAN

Apa yang nak dimakan dengan dakwah ini ialah kejahilan dan kemungkaran yang ingin dihapuskan (dimakan). Semasa jahiliyah, di mana progress dan kefahaman agama sudah lama terdiam, ramai umat telah kembali jahil. Kejahilan itu telah menimbulkan terlalu banyak kecelaruan dan kemungkaran dalam kehidupan.

Peringkat awal proses kebangkitan selepas umat terjaga dari lena, akan ada yang mampu menerima bahawa benarlah agama ini telah lama tertidur dan perlu dibangunkan. Jadi mereka yang benar-benar ingin kembali memartabatkan agama inilah yang ingin menimba ilmu yang asal dan ingin menghentikan segala amalan kemungkaran yang telah berleluasa. Inilah calun yang dinamakan makanan yang baik, iaitu orang yang benar-benar mahu dimakan kejahilan dan kemungkarannya.

FALSAFAH WANG PERAK & PENDUDUK KOTA

Wang adalah sesuatu yang berharga untuk membeli makanan. Ia juga merupakan analogi nilai ilmu dan tarikan agama. Dalam alQuran Allah sebutkan nilai ilmuNya jauh lebih mahal dari emas sepenuh bumi. Dengan ilmu yang mahal ini, manusia berminat untuk menyatu, hidup teratur dan sangat berkasih sayang. Ini yang akan membeli hati-hati umat manusia untuk tertarik dan memeluk Islam.

Oleh kerana terlalu lama agama ini terlena, maka hazanah ilmu YANG MAHAL ini hanya tersimpan di gua-gua belantara oleh orang lama yang sudah tidak berupaya sahaja. Penjelasan dari kefahaman dan praktikal dari ilmu agama sudah tiada progresnya. Apabila kita sedar dan cuba memahamkan manusia dengan ilmu yang asal itu, ramai sudah tidak lagi mengenalinya.

Orang awam, khasnya warga kota sibuk dengan urusan dunia penuh pancaroba. Mereka lebih suka sajian dari ceramah pelbagai individu tertentu yang menjadi idola masing-masing dari sumber internet, majalah, blog dan media. Tiada lagi budaya talaqqi penuh hormat, budaya dipan-dipan, sapa menyapa, tanya menanya dan perguruan agama cara lama yang penuh semangat kasih sayang.

Pembacaan berupa iqra ilmu dari alquran yang diturunkan dari Allah sendiri sudah kurang diminati. Kita selesa membaca quran tanpa usaha memahami makna dan maksudnya. Bahkan kita bacanya dalam solat tanpa memahaminya walaupun itu sudah jelas Allah larang. Lazim kita membaca teks tanpa konteks pembacaannya.

Oleh itu, ayat ini menuntut kita menggilap hazanah ilmu purba. Inilah analogi wang perak sebagai petunjuk yang paling tua (petua) yang sudah tidak laku lagi. Inilah ilmu yang telah memberikan kejayaan kepada dakwah Nabi SAW dahulu. Setelah digilap semula, Allah minta kita tunjukkan kepada orang yang ikhlas dan meminati hazanah lama ini. Itulah orang yang ikhlas mencari Ilahi dan ingin berserah diri. Inilah analogi “makanan yang baik dan suci”.

BAWA MAKANAN SUCI DAN MAKAN DI MASJID

Agama ini terlalu unik dan sangat banyak rahsianya. Tidak semua boleh disampaikan melalui tulisan atau media elektronik. Kerana itu penyampaian secara bertalaqqi, secara personal atau kumpulan kecil yang terkawal jumlahnya menjadi laluan yang tertutup. Dengan jumlah yang kecil ini ilmu dan kefahaman agama boleh diulas secara dekat dan mendalam untuk memantau kefahaman dan perlaksanaannya.

Peranan Masjid adalah terlalu besar dalam proses pengaliran ilmu. Di sinilah jemaah setempat dikumpulkan dan ditarbiah setiap minggu. Kerana itu orang yang musafir diharuskan untuk tidak ikut solat jumaat. Banyak rahsia agama yang fundamental, samada menyentuh isu setempat, nasional maupun global yang harus disampaikan dalam kelompok jemaah yang terkawal di dalam khutbah jumaat itu. Pekej 40 orang untuk satu wali atau wakil dalam khutbah jumaat dikatakan lumrah untuk mendapatkan keberkesanan tarbiah semasa khutbah.

Mudahnya khutbah jumaat itu seharusnya disampaikan secara tertutup. Itulah rahsia dari perintah dalam ayat 19 al-Kahfi ini, iaitu jangan kamu siarkan hal agama mu kepada sesiapapun di luar. Kaedah inilah yang akan membuat semua rijal sayang dan rindukan masjid, kerana hanya di situ mereka dapat maklumat terkini secara terus dari pucuk pimpinan agama kepada rakyat jelata. Hari ini seluruh dunia dapat mengetahui rahsia Islam kerana semua khutbah dari mimbar disiarkan secara langsung. Itu tidak termasuk media, internet, video, penulisan dan ceramah yang disampaikan secara individu dan tidak terkawal. Kekeliruan tidak dapat dijawab secara berdepan dengan kaedah itu.

Semuga sedikit sebanyak perkongsian berat ini dapat membuka minda dan menyedarkan kita akan situasi agama kita sekarang ini. Jika berat, ikutlah sunnah iqra’ Nabi iaitu dengan ulangan 3 kali. Pentingnya kita memperkemaskan jemaah dalam khariah masjid masing-masing melalui mekanisma solat jumaat ini dan mengajak umat yang benar-benar inginkan ilmu dan petunjuk agama untuk hadir menimba ilmu dari perkongsian khutbah jumaat.

Ini hanya cetusan minda. Sekadar menanam minat untuk kita sama-sama mengkaji dan membuat penyucian sendiri. InsyaAllah bersambung dengan siri berikutnya jumaat depan.

WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *