PARENTING TIPS : BAGAIMANA MENJAYAKAN KEGAGALAN ANAK

image_pdf

00 gagal.jpgBPARENTING TIPS : BAGAIMANA MENJAYAKAN KEGAGALAN ANAK

EKORAN dari artikel bertajuk antara 2 darjat yang mengulas hadiah Mini Cooper kepada seorang anak yang mendapat 5A, kami diminta pembaca menghuraikan sub-topik yang merujuk apa bezanya 5A dengan beberapa A dan B. Ramai ibu bapa dan guru yang ingin tahu bagaimana memotivasikan anak-anak yang kecewa kerana gagal dapat 5A untuk terus menempa kejayaan.

Sebelum itu ingin kami ambil peluang mengucapkan terima kasih kepada ibu anak ini yang turut memberi komen dan tidak terlalu defensif. Beliau kelihatan tenang dan memahami yang kami sekadar mengingatkan diri sendiri, keluarga beliau dan masyarakat amnya, semata-mata atas dasar kasih sayang.

Mari sama-sama kita doakan agar keluarga muda ini mendapat keberkatan hidayah dari asbab itu. Jika ada sedikit sebanyak kesilapan pun itu sudah adat manusia. Jika kita merendah diri dan memohon ampun, insyaAllah kita akan dapati Allah itu maha pengampun dan pemurah dengan petunjuk dan limpahan kasihNya. Kerana asbab itu, ramai yang mendapat pelajaran walaupun ramai juga yang melontar komen pedas dan kurang sopan. Kami sendiri ingin memohon maaf sekiranya keluarga ini ada terasa hati. Sesungguhnya Allah tahu hasrat sebenar kami.

Kami ingin ambil rumusan dari 11 ayat pendek dalam Surah 93 Ad-Dhuha (matahari pagi) untuk digunapakai secara umum untuk membantu kes anak yang gagal mendapat 5A. Kita ambil analogi cahaya pagi/dhuha itu sebagai petunjuk.

Antara pelajaran surah itu ialah, jangan sekali-kali tinggalkan dan benci mereka yang dalam kegelapan atau gagal. Sebenarnya banyak kes anak yang terbiar tanpa kita sedar. Mereka seolah-olah macam anak yatim yang tiada bimbingan walaupun ibu bapanya kaya dan masih ada. Mereka terabai, ibarat pengemis yang diherdik kerana meminta-minta bimbingan dan kasih sayang dari ibu bapa sendiri.

Ini menyempitkan hati mereka yang tidak puas hati lalu gagal pada awalnya. Kalaupun mereka tidak terjebak dengan jenayah atau gejala sosial, ini tetap menjejas kecerdasan minda dan kreativiti pembelajaran mereka. Setelah kita bimbing dengan semangat kasih sayang berasaskan Basmallah, maka Allah janji bahawa AKHIR hidup anak ini boleh menjadi jauh LEBIH BAIK DARI AWALnya.

Lebih dari itu, Allah minta kita sebarkan atau siarkan teknik yang telah berjaya kita perolehi dan nikmati itu agar lebih ramai akan berjaya bersama anak kita.

APA DIPERLUKAN SELEPAS DAPAT 5A?

Seperti yang telah kami nyatakan, kami sedang mendalami pengkajian module pendidikan dunia. Setakat ini kami dapati sistem pendidikan kita belum cukup baik untuk memanusiakan manusia. 5A tidak lebih sekadar pertanda awal kemampuan menghafal, penggunaan otak kiri anak kita. Biasanya apabila masa dan tumpuan terlalu banyak diberi untuk mencapai kejayaan ini, banyak pula pengisian takwa, jatidiri , kreativiti, sahsiah dan akhlak akan tercicir.

Ibubapa perlu pastikan yang anak sebegini segera dibangunkan sahsiahnya pada setiap ruang masa yang ada. Iringi kejayaan anak dengan ucapan tahniah dan zahirkan kesyukuran yang berpaksikan kesedaran. Ajak anak ini untuk meluahkan kesyukuran dengan kejayaan yang telah dicapai agar tiada timbul rasa riak dan meninggi diri. Didik anak untuk berjumpa dengan rakan taulan yang kurang berjaya untuk berkongsikan kejayaan yang diterima. Elak dari menampakkan sesuatu yang boleh menghiris keluarga dan anak-anak lain yang kurang berjaya, khasnya anak yatim dan fakir miskin.

Seterusnya ajar anak untuk membentuk kerjasama dengan rakan taulan, mengharungi cabaran masa depan dengan berjemaah. Buang sebarang sikap sombong dan pupuk semangat belajar secara koperatif, bukan terlalu kompetitif. Jika perlu, minta anak kita untuk membimbing rakan sebaya yang lemah. Jika kita kaya, ajar anak kita untuk berpuasa, ajar anak untuk belajar berperikemanusiaan, menabur jasa kepada manusia sejak kecil lagi.

Ini akan insyaAllah mampu membentuk jiwa prihatin anak-anak kita, belas kasihan dan sangat bertimbang rasa. Jangan takut rugi dan berlumba-lumba menjadikan anak kita untuk meninggikan sosial status dalam keluarga kita. Orang kaya yang tawaduk adalah penghulu syurga. Orang pandai yang tunduk merendah diri sangat dihormati manusia. Dalam kajian sosiologi Islam, kita akan disayangi bila mengamalkan sifat belas dan mengasihani.

Inilah kesan psikologi dari amalan orang kaya dan orang pandai terhadap masyarakatnya. InsyaAllah dengan kerja berjemaah, anak kita yang pandai akan lebih sempurna dan bahagia. Jika kita kaya, anak yang pemurah akan memberikan keberkatan dan keselamatan terhadap harta dan keluarga kita. Orang kaya yang dihormati wajar menjadi penghulu syurga kerana dia bukan saja akan disayangi dan dilindungi Allah, bahkan juga oleh setiap lapisan manusia. Inilah hakikat sejahtera bagi anak yang pandai atau ciri sikaya penghulu syurga.

BAGAIMANA PULA YANG TIDAK MENDAPAT 5A UPSR?

Janganlah guru dan ibu bapa lekas panik dan bertindak negetif. UPSR hanyalah satu ujian penilaian. Ia bukan satu kejayaan mutlak anak anak ini. Umur 12 tahun hanyalah satu tahap peralihan menuju proses keremajaan dan kematangan. Mendapat 5A itu mudah. Untuk mengekalkannya yang susah.

Amalan hidup Islam bercirikan islah, seharusnya semakin hari semakin baik. Jika kita tidak segera membina akhlak dan sahsiah dengan pencapaian awal itu, maka segalanya akan musnah. Samada dari segi akademik, maupun sahsiah, ia seharusnya semakin baik. Itulah yang dinamakan amal soleh. Jika kita tidak saling menasihati, lalu anak yang dapat 5A terabai dan menjadi tidak ketahuan. Ini akan menjadikan umat ini rugi (QS:AL-ASR).

Meneliti statistik KASAR Peratusan pelajar 5A UPSR yang berjaya mendapat 8A PMR dan SPM tahun 2012 adalah amat rendah sekali. 33 % dari mereka tidak berjaya dalam PMR, dan 65% dalam SPM. Bahkan banyak kejayaan PMR dan SPM dicapai oleh pelajar yang bukan 5A dalam UPSR. Jadi, janganlah terlalu bangga dan selesa anak dapat 5A, sehingga memberi hadiah yang boleh membuatkan anak leka dan terlalu berbangga. Kebanggaan melampau yang tidak bersandarkan rasa tawaduk kepada Allah itu riak namanya dan ia akan menghapuskan amal kita.

Bagaimana amal kita terhapus dengan riak itu? Ialah kerana sifat keji itu akan membuatkan Allah murka dan manusia benci. Kebencian Allah yang diterjemahkan oleh perasaan manusia itu akan menyempitkan rezeki kita. Riak juga menampakkan pelbagai aset kita dan itu akan memerangkap kita untuk menjadi mangsa jenayah. Manakala anak yang telah terbentuk sifat ini pula akan jauh dari rakan taulan dan orang sekitarnya. Nanti mereka akan terbiasa melakukan sesuatu tidak kerana Allah, hanya kerana laba dunia dan menunjuk-nunjuk saja.

Cara pengajaran yang kurang keratif dan berkesan, hilang atau tidak minatnya anak pada subjek tertentu boleh menyebabkan anak kurang cemerlang. Gejala meniru, soalan bocor, salah spot soalan, gangguan kesihatan dan emosi anak di hari peperiksaan yang telah ditetapkan itu juga turut memainkan peranan. Oleh itu, jangan terlalu kecewa bagi yang tidak mendapatkannya, kerana kekecewaan melulu akan mematikan semangat dan membunuh jiwa anak kita. Segala yang berlaku ada hikmatnya jika mahu ambil pelajaran dan mencari kaedah pembaikannya. Kejayaan selepas gagal jauh lebih bermakna.

Kami ada banyak kes akhlak dari anak 5A yang dirujuk. Tidak cukup ruang untuk kami ceritakan di sini. Cukuplah kami katakan ia amat menyedihkan dan kita semua wajib merasa rugi. Kes-kes ini turut bermata rantai sehingga ke peringkat PMR, SPM bahkan universiti. Semuanya atas kelalaian ibu bapa yang gagal mendidik anak untuk memanusiakan manusia. Ramai anak kita lulus cemerlang dalam ujian atas kertas tetapi gagal total dalam ujian tangan dan hati. Melalui kajian antarabangsa kita duduk di tangga ke 57, Singapore No. 2 dan China No. 1 – Sila rujuk artikel berikut di blog kami,

http://prihatin.net.my/2013/11/09/kekangan-sistem-pendidikan-merugikan-negara/
http://prihatin.net.my/2013/11/09/pemesongan-fakta-sejarah-dalam-teks-sekolah-seruan-kajian-semula/
http://prihatin.net.my/2013/11/18/parenting-tips-peluk-anak-anda-walaupun-upsr-mereka-corot-sn/ .

KENALI POTENSI ANAK YANG SEBENAR

Seperti yang telah kami terangkan, bagi yang tidak mendapat 5A, namun masih dapat sebarang A atau B harus kita ucap tahniah dengan yakin. Iringi ucapan tahniah itu dengan kucupan dan dakapan sayang serta kata-kata semangat. Tuding diri kita dulu di mana kurangnya kita dalam mendidik anak anak ini. Hadiahkan mereka dengan aliran energi dan semangat kita melalui AURA tutur bicara yang lebih positif, melalui sentuhan hangat badan yang istiqomah dan penuh aura kasih sayang.

Kemampuan anak untuk mendapat sebarang A, B atau C sudah CUKUP UNTUK MEMBUKTIKAN ANAK INI MEMPUNYAI KEMAMPUAN AKAL yang berpotensi. Anak begini tiada kurangnya kerana mereka masih ada kemampuan ‘membaca’ dan ‘mengira’. Itulah kemampuan “iqra’ dan perkiraan furqon” yang sangat fundemental untuk bekalan kejayaan masa depannya. Dengan memiliki ciri ini tidak mustahil mereka akan lebih cemerlang dari kita. Apa yang perlu kita lakukan di sebalik ‘kegagalan’ mendapat 5A itu ialah mengkaji di mana kelemahan, kelebihan dan minat anak-anak kita.

Terimalah hakikat alam di mana kebanyakkan orang yang berjaya melangit adalah orang yang sederhana tapi pandai ‘membaca’ dan ‘mengira’. Itulah kemampuan ‘iqra’ dan furqon’ namanya. Kebanyakan mereka juga dari keluarga susah, bukan yang berjaya dengan menghafal dan mengharapkan ganjaran sahaja.

Kejayaan yang terhasil atas dasar mengejar habuan dunia inilah sebenarnya yang sedang menjadi punca gejala bangsa. Ini boleh menggalakkan penipuan, penindasan dan runtuhnya nilai kemanusiaan. Yang paling penting akhir hidup anak sebegini mudah untuk berubah menjadi buruk, khasnya apabila diperlukan berbuat sesuatu tanpa ganjaran sebarang laba. Selain contoh anakku Sazali, banyak sekali kes anak yang dimanjakan dengan harta meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua atau di wad hospital.

Pelajarilah kaedah rahsia bagaimana ramai manusia hebat seperti Bill Gates, Sultan Muhamad Al-Fateh, Mark Zuckerberg, BonSiew, Lim Goh Tong dan ramai lagi yang sebaris dengan mereka mencapai kejayaan tanpa budaya 5A. Mereka ini berjaya ‘membaca dan membuat kira-kira’ dari segi konteks, bukannya teks. Mereka tahu apa yang mereka minat lalu mereka fokus untuk membajanya menjadi potensi kerjaya yang luar biasa.

Di kalangan founder RPWP sendiri ramai yang sangat berjaya dalam pelajaran, pekerjaan dan perniagaan padahal UPSR mereka ada yang tiada A walau satu pun. Kretiviti dan kepintaran akal dan tangan mereka sangat luar biasa. Ingatlah, akademik bukan segala-galanya. Selain tokoh-tokoh di atas, kejayaan agama oleh para Nabi juga hasil pembelajaran otak kanan, hasil talaqqi mereka dengan Allah melalui pemerhatian alam. (QS 2:37).

Kudap-kudap UPSR
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *