Bicara Akhlak – Adab Menegur Pemimpin dan Orang Tua

image_pdf

00 sitiDemi memenuhi permintaan pembaca untuk mengulas isu yang tiba-tiba jadi hangat ini, kami hanya berminat menyentuh soal AKHLAK yang menyentuh teguran menteri terhadap Datuk Jamal Nasir yang seolah-olah dilabel ‘budak suruhan’ FAM. Bukan urusan kami untuk menyentuh soal teknikal kontroversi dalam FAM. Kami bukan penyokong mana-mana parti politik, juga bukan penyokong mana-mana pasukan bola sepak yang bersifat kenegerian.

Setelah membaca isu yang diketengahkan oleh pembaca kami membuat rumusan mudah bahawa bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan menjadi perhatian dan minat ramai orang. Oleh kerana itu sesiapa saja berhak memberikan pandangan, apatah lagi bagi seorang menteri seperti YB Khairi Jamaludin. Sila baca berita ringkas ini jika anda belum mengikutinya sebelum ini. Kami akan mengulasnya di hujung nanti.

TAJUK : SITI BIDAS, KHAIRY MASIH MEMBISU

OLEH : Raziatul Hanum A. Rajak
SINAR HARIAN – 13 November 2013

Nama Datuk Siti Nurhaliza tiba-tiba dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Dek kenyataan Khairy yang disifatkan kurang manis oleh penyanyi nombor satu Malaysia itu, Siti menegur Khairy di laman mikro Twitter, semalam.

Dalam satu sidang media Isnin lalu, Khairy menyelar bekas kapten skuad kebangsaan yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir yang dilaporkan terguris hati apabila ada pihak yang mengkritik secara melulu.

“Jika beliau bukan budak suruhan FAM, bukan pemimpin FAM, jadi jangan masuk campur. Ini antara menteri dengan FAM dan kalau tiada apa-apa jangan masuk campur,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Semalam, Siti menulis di akaun Twitter miliknya, “ sebagai menteri muda dan diperhatikan, rasanya Khairy perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Lantang tak perlu biadab dengan yang lebih tua.”

Status tersebut menerima pelbagai maklum balas dan tidak kurang juga yang mengkritik Siti kerana masuk campur urusan bola sepak negara.

Dalam kenyataan yang dipetik di sebuah akhbar tempatan hari ini, Siti akui teguran tersebut ikhlas terpulang sama ada mahu menerimanya ataupun tidak. “Siti cuma tidak berapa suka dengan pendekatan Khairy kerana beliau menteri muda dan sentiasa dipandang tinggi.

“Perkataan ‘budak suruhan’ daripada seseorang yang muda sepertinya kepada yang agak tua seperti Datuk Jamal memang kurang manis. Ada lagi bahasa yang elok patut digunakan. Siti sekadar menegur, tidak mahu ia menjadi ikutan pula selepas ini. Siti tegur dengan ikhlas, kalau tidak mahu terima, terpulang. Siti hanya rakyat biasa,” katanya.

Sehingga hari ini, isu tersebut masih belum mendapat maklum balas daripada Khairy.

ULASAN KAMI:

SITUASI MENTERI, FAM, DATUK JAMAL NASIR

Kita semua tahu bahawa Khairy yang masih agak baru dilantik menjadi Menteri berkenaan agak terkenal dengan minat dan perhatian beliau dalam bidang bola sepak sejak dahulu lagi. Beliau telah melakukan banyak usaha untuk memajukan bolasepak negara sejak sebelum menjadi menteri lagi.

Sebaik saja dilantik menjadi menteri, beliau menghadapi banyak cabaran untuk menyelesaikan pelbagai kontroversi dan kepincangan dalam persatuan yang berasaskan sukan utama negara seperti BAM, FAM dan sebagainya. Oleh kerana kegigihan Khairy, beliau banyak mendapat sokongan peminat sukan tersebut.

Bagi kepincangan yang telah lama berlarutan, kadang kadang ketegasan memang diperlukan. Jika beliau terus bersikap lunak, maka konflik itu akan menjadi semakin meruncing dan melemahkan organisasi sukan negara itu.

Untuk bersangka baik, istilah `budak suruhan’ yang digunakan oleh YB Khairy itu adalah satu gantinama kepada satu pihak ketiga yang biasanya digunakan untuk bersuara atau mengadu domba. Isu utamanya ialah kurangkan campurtangan berbagai pihak yang tidak berkenaan agar kekusutan segera dapat dileraikan. Itu harus ditekankan dan diambil kira.

Dari segi martabat pula Khairi sebagai menteri yang bertanggungjawab mempunyai martabat dari segi tahta dan Datuk Jamal Nasir seharusnya boleh berlapang dada untuk menerima kesilapannya. Tidak semestinya umur yang tua menjamin kita benar sentiasa. Ambillah pelajaran dari teguran itu secara positif dan berlapang dada tidak kira dari mana dan siapa yang menegurnya.

MELETAKKAN SESUATU BIAR PADA TEMPATNYA

Nabi saw bersabda “Apabila amanah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggu sajalah kehancuran”.

Seperti yang didakwa Khairy, memanglah tidak wajar bekas kapten skuad kebangsaan yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir mencampuri urusan MENTERI dengan FAM sepertimana yang didakwa. Lebih banyak campur tangan, lebih banyak kekusutan.

Datuk Siti juga seharusnya tidak menyulitkan lagi keadaan biar apapun sebab dan alasannya. Ini adalah urusan menteri dan FAM. Jadi bagi kami tidaklah wajar mengeluarkan kenyataan secara terbuka melalui media. Menteri ada pride dan kredibiliti yang harus dijaga. Datuk Siti pula ada maruah yang harus dipelihara. Sekarang ini Datuk Siti dan Menteri kedua-duanya tidak semena-mena telah membuka ruang caci dan maki untuk diri sendiri.

ADAB MENEGUR PEMIMPIN ATAU ORANG TUA

Islam mengajarkan budaya syuro dan bukan budaya was wis. Islam meminta umatnya agar mengesahkan berita yang tidak pasti dari sumbernya. Islam juga menghalang kita menegur pemimpin secara terbuka, sensasi melalui media atau demonstrasi.

Tidak perlulah anda bantah saranan ini dengan pastekan kisah Saidina Umar r.a. ditegur oleh sahabat secara terbuka. Itu kesilapan pengikut, bukan yang diajar nabi. Kami ada Nas dan hasil kajian sendiri untuk memperbaiki peradaban umat, berdasarkan apa yang diajar nabi saw dan quran dalam isu adab menegur ini. Kami yakin ianya benar dan telah kami amalkan dengan baik sekali.

Akal anda pastinya boleh menimbang samada apa yang kami sarankan ini betul atau salah, baik atau tidak kesannya terhadap keharmonian masyarakat. Jika anda menafikan hanyalah kerana anda memang suka kepada gosip dan perpecahan, atau suka memenuhi kehendak nafsu anda sendiri.

Kesilapan Khairy ialah menggunakan istilah yang sebegitu secara terbuka. Sebaiknya ia dielakkan atas faktur usia dan menjaga maruah orang yang lebih tua, walaupun dengan alasan yang kukuh seperti di atas. Lebih baik Khairy menggunakan saluran private sahaja, samada sms, surat, email dan sebagainya untuk meminta Datuk Jamal Nasir agar tidak campurtangan jika terpaksa.

Datuk Jamal Nasir juga seharusnya begitu. Adalah lebih baik jika beliau tidak menggunakan wadah media untuk menyatakan kekecewaan hatinya atas teguran seorang yang bertaraf MENTERI itu. Kami yakin YB Khairy juga boleh mengakui kesilapan dan memohon maaf jika Datuk Jamal Nasir sampaikan rasa hatinya secara berdepan atau secara private.

Teguran Datuk Siti Nurhaliza terhadap YB Khairi Jamaludin adalah kononnya beliau berlaku biadab tidak salah jika itu yang beliau rasakan. Yang menjadi kalut di sini ialah apabila Siti mengeluarkan kenyataan terbuka terhadap ‘kesilapan menteri’ menurut pandangan beliau.

Masing-masing Khairy dan Siti ada pengikut dan penyokong masing-masing. Tidak pasal-pasal Artis dan Menteri kedua-duanya dijadikan bahan caci maki masyarakat. Fitnah ini hanya berlaku kerana Khairy dan Siti mengeluarkan kenyataan di media secara terbuka. Yang membenci Khairy mula melebarkan fitnah berbau politik. Padahal beliau sekadar menjalankan tugas beliau untuk memperbaiki prestasi organisasi sukan negara itu.

Penyokong bolasepak pula mula menfitnah dan mencaci Siti yang mengatakan beliau nak cari publiSITI, beliau perampas laki, beliau jadi bahan bakar api neraka kerana menyuburkan muzik lagho dan mempermainkan agama kerana sekejap pakai tudung ‘betul’ sekejap pakai selendang, sekejap pakai topi dan macam-macam lagi. Inilah fitnah yang terhasil dari kesilapan adab dalam menegur pemimpin.

KESIMPULAN

Islam diturunkan untuk mengatur akhlak manusia. Ikutlah saranan Allah dan Rasul. Serahkanlah urusan kepada ahlinya. Hentikanlah budaya campurtangan dan memihak kepada puak-puak yang berbalah secara terbuka atas alasan apa sekalipun.

Jika terpaksa menegur, lakukanlah dengan adab dan kasih sayang, tidak secara terbuka atau melalui media. Jika ada yang menegur, itu tanda kita disayangi dan diperhatikan. Oleh itu apalah salahnya segera meminta maaf kerana itu adalah akhlak paling mulia dan kita tidak rugi apa.

Pengalaman kami menunjukkan masyarakat akan suka, sayang dan memuliakan orang yang suka mengakui kesilapan dan memulakan permohonan maaf. Bayangkan perasaan anda pada anak, isteri, suami, rakan, atau siapa saja sekeliling anda yang berakhlak begitu. Kami yakin ada juga ada rasa yang sama. Kami kata begitu kerana kami di RPWP merasainya sepanjang masa. Itulah kasih sayang dari amalan atas nama Allah (Basmallah). Itulah sifat pengampunnya Allah yang ditajalikan melalui hubungan sesama manusia. Artikel semalam ini mungkin boleh menjadi contoh paling nyata.

http://prihatin.net.my/2013/11/13/catatan-jumrah-seorang-firaun/

Ulasan ikhlas
WARGA PRIHATIN.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *