Meninggal ketika duduki SPM

image_pdf

Meninggal ketika duduki SPM

Oleh Rokaid Chik | bhnews@bh.com.my
2013/11/07

Sempat jawab satu perenggan

Pasir Puteh: “Allahyarham pernah mengadu sakit dada, belakang dan sesak nafas, namun saya tidak mengesyaki sebarang penyakit kronik kerana selepas menerima rawatan di hospital minggu lalu, keadaannya pulih.

“Malah, Allahyarham Nur Syazwani, kelihatan ceria pagi semalam, sebelum ke sekolah untuk menduduki kertas pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sempat mencium tangan saya dan ibunya, Wan Noriah Wan Deris,” kata ayah Nur Syazwani, Ariffin Deraman.

Ariffin, 48, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada pengawas peperiksaan pada jam 8.45 pagi memaklumkan Nur Syazwani pengsan dan terus bergegas ke Sekolah Menengah Ugama (SMU) Maahad Saniah.

Rebah tiba-tiba

Dalam kejadian jam 8.25 pagi semalam, arwah Nur Syazwani yang baru saja mula menjawab soalan Bahasa Melayu 1, tiba-tiba rebah ke lantai dari tempat duduknya menyebabkan keadaan dewan peperiksaan itu gempar seketika.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke di Hospital Tengku Anis (HTA) bagi mendapatkan rawatan kecemasan dan dipercayai meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi ketika dalam perjalanan.

Ariffin, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut berkata, malam kelmarin, Allahyarham tidur agak lewat kerana sibuk mengulang kaji pelajaran dan tidak ada sesuatu yang ganjil pada dirinya.

“Kami sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa dan akan terasa kehilangan anak keempat daripada enam beradik itu yang bercita-cita hendak menjadi pensyarah. Allahyarham adalah antara pelajar harapan sekolah berkenaan untuk memperoleh 10A dalam SPM nanti,” katanya ketika ditemui di HTA, di sini, semalam.

Mudir sekolah berkenaan, Rusdi Ariffin, berkata kejadian berlaku sebaik 25 minit peperiksaan berjalan.

Kelihatan sihat

“Allahyarham dipercayai baru menjawab satu perenggan sebelum jatuh dari tempat duduknya. Bagaimanapun selepas kejadian itu, peperiksaan berjalan seperti biasa,” katanya.

Rakan arwah, Nur Izwani Mohd Razali berkata, beliau terkejut dengan kejadian menimpa rakan karibnya kerana ketika berjumpa petang kelmarin, Allahyarham kelihatan sihat.

Nik Nadhirah Nik Mohd Zain pula berkata, beliau duduk agak jauh dari arwah dalam dewan peperiksaan.

“Saya terkejut apabila keadaan tiba-tiba gempar apabila mendapati Allahyarham jatuh di atas lantai dan diangkat pegawai peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Mohd Kamal Zainal, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Arifin pada jam 11.15 pagi.

“Punca kematian mangsa belum diketahui kerana masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *