TIPS MUNAKAHAT – JAHIL FALSAFAH RUKUN NIKAH PENYEBAB PENCERAIAN

image_pdf
rukun nikah
TIPS MUNAKAHAT – JAHIL FALSAFAH RUKUN NIKAH PENYEBAB PENCERAIANRukun Islam biasa disebut sebagai tiang yang menongkat atau membangun agama. Tanpa memahami dan melaksanakan rukun maka robohlah agama. Begitu juga dengan rukun yang lain-lainya. Tanpa melakukan rukun haji maka batallah haji dan mabrurnya. Tanpa melaksanakan rukun negara maka hancurlah negara dan rakyatnya. Oleh itu jelaslah bahawa rukun itu harus dilaksanakan sepanjang masa untuk memelihara kedaulatan dan kesejahteraan agama dan negara.

RUKUN NIKAH JUGA BEGITU. Ia bukan sekadar untuk dihafal sewaktu majlis pernikahan sahaja. Ia adalah sesuatu yang harus difahami segala falsafah dan fungsinya. Apabila kita berhenti dari berpegang teguh dan melaksanakan fungsi dari rukun nikah itu, maka akan runtuh jugalah rumah tangga.

RUKUN 1 : LELAKI (SUAMI)

KETETAPAN FIRMAN “LELAKI MUKMIN DENGAN WANITA MUKMIN” harus kita ambil berat. Sepintas lalu untuk melaksakan tanggungjawab sebagai suami bagi keluarga Islam ia mesti terdiri dari seorang lelaki Islam yang merijal. Ingat tu..! ada bezanya lelaki biasa dengan lelaki yang bersifat rijal padahal kedua duanya bermaksud lelaki. Hanya fungsi kelelakian itu yang membezakan keduanya. Ini yang dipanggil lelaki yang TERTENTU, yang jelas keupayaan fungsi kerijalannya sepertimana yang kita hafal dalam syarat sah nikah selama ini.

Firman Allah dalam surah 4 An-Nisa’ ayat 34. Rijal (lelaki) adalah pengurus /PELINDUNG keatas perempuan, dengan sebab Allah MELEBIHKAN sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka MENAFKAHKAN daripada harta mereka. Maka wanita-wanita yang salih ialah yang patuh, yang menjaga apa yang rahsia daripada apa yang dipelihara Allah, dan mereka yang kamu takut akan menjadi derhaka (nusyuz), TEGURKANLAH mereka, dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Jika mereka kemudiannya mentaati kamu, maka janganlah mencari-cari jalan MENYAKITI mereka; Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.

Jika kita benar-benar menganggap Allah ini MahaTinggi dan MahaBesar, maka seharusnya kita perhatikan ayat tersebut dan laksanakannya tanpa besar kepala lagi. Perhatikan perkataan yang dihurufbesarkan. Rasanya tanpa kami jelaskan juga anda telah mampu memahami apa tujuan kami besarkan huruf itu. Berapa ramai lelaki yang melindungi wanita? Yang disamakan atau direndahkan tarafnya? Yang memenuhi nafkah keluarga sepenuhnya? Yang mampu mendidik dan menegur isterinya? Yang sering menyakiti isterinya? Dan banyaklah lagi…

ANTARA FUNGSI RIJAL MUSLIM DAN MUKMIN yang telah Allah nyatakan dalam quran ialah mempunyai ilmu agama yang jelas (Qur’anum Mubiin), mampu pula menyampaikan pendidikan dengan jelas (Balaaghul Mubiin) serta mampu menjadi imam atau pemimpin yang jelas dalam keluarganya (Imaamim Mubiin). Di samping itu Allah perintahkan agar lelaki membiayai wanita dari segi nafkah sebagai syarat untuk meninggikan darjat rijal dalam teraju keluarga.

Sewaktu akad nikah dikatakan tidak boleh lelaki yang sedang BERIKHRAM. Ini ada kaitan dengan kesamarataan darjat. Jika ‘pakaian’ dikatakan sebagai analogi ‘sistem’ yang dipakai dalam kehidupan berumah tangga, maka lelaki yang berikhram tidak sah bernikah katanya. Ini juga satu petunjuk yang tiada persamaan taraf, darjat dan fungsi antara lelaki dan perempuan, juga antara mempelai dengan wali dan saksi itu sendiri. Sedangkan dalam ikhram sendiri pun telah membezakan dua pakaian yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Pakaian wanita itu berjahit dan terbatas, pakaian lelaki tidak berjahit dan bebas lepas. Tentulah perempuan ada sistem dan hudud hidupnya, dan lelaki juga ada sistem dalam peranannya.

Dalam kesinambungan perlayaran bahtera rumah tangga juga begitu. Status ini harus dikekalkan sepanjang masa melayari rumahtangga kerana ia akan runtuh jika taraf lelaki dan wanita, taraf wali dan saksi itu juga disamakan sepertimana ketika ikhram. Tidak seperti amalan kita hari ini dengan berbagai bagai hujah dan alasan yang menuntut kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, anak lelaki anak perempuan, juga dengan bapa mertua, dengan saksi nikah dan sebagainya.

Ada banyak lagi falsafah di sebalik rukun nikah yang pertama ini yang tidak difahami bahawasanya ia harus dipelihara dan diamalkan sepanjang masa demi menjaga keutuhan rumah tangga. Akibatnya terlalu banyak perkahwinan berakhir dengan penceraian yang amat menakutkan dan menyulitkan keadaan.

PERHATIKAN SYARAT LELAKI BUKAN MAHRAM dengan bakal isteri. Ini menunjukkan pernikahan itu bukan saja untuk menyuburkan kasih sayang, malah untuk menghalalkan percampuran hidup sampai ke tahap persetubuhan kelamin antara lelaki dan wanita. Kerana itu dijadikan syarat talaq apabila perhubungan kelamin tidak berlaku sekian lama, di mana talaq boleh jatuh dengan sendirinya.

Hari ini berapa ramai lelaki dan wanita yang tidak peduli dengan syarat ini? cuba perhatikan kes di mahkamah syariah… berapa ramai yang telah hidup di bilik bahkan rumah berasingan? tidak bertegur sapa sehingga bertahun-tahun? dan mereka masih hidup sebagai suami isteri. Adakah mereka faham hakikat mempertahankan jodoh melalui konsep takliq? Melalui falsafah rukun nikah? Dan falsafah mahram, di mana apa yang telah jadi halal diharamkan sesuka hati?

Lelaki yang menganggap isteri ibarat ibu sendiri (mahramnya) contohnya harus dihukum di sisi Allah. Lihatlah begitu hebat syarat pernikahan ini yang harus dipelihara sepanjang tempoh perkahwinan. Hari ini berapa ramai yang tahu dan memberitahu? Baik Juru nikah, wali, saksi bahkan pengantin lelaki sendiri pun jahil tentang itu. Maka jadilah amalan perkahwinan jahiliyah yang kian menambah kes cerai masa ke masa.

MENGETAHUI WALI YANG SEBENAR juga menjadi syarat sah nikah bagi lelaki. Wali adalah WAKIL Allah. Bukan sahaja wali pakai cantik-cantik, cari wang banyak-banyak buat kenduri besar-besaran dan pegang mikrofon menjadi tukang lafaz akad nikah dengan bangganya sahaja. Wali adalah pelindung kepada wanita sebelum perkahwinan itu, lalu menyerahkan kuasa perlindungan itu kepada bakal suami anaknya.

HAKIKAT WALI INI ALLAH NUKILKAN dalam surah 2. Al Baqarah 257. Allah satu-satunya Pelindung (WALI) orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya (AULIYA’) ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

INILAH FUNGSI WALI (SATU SAJA) YANG SEBENAR, iaitu menyediakan cahaya petunjuk dari Allah untuk melindungi anak perempuan atau isterinya. Jika lelaki tidak berfungsi sebagai imam yang jelas, maka wanita akan kembali merujuk kepada BANYAK WALI (AULIYAK). Habis semua kawan, boyfriend, ipar duai, wall facebook dirujuknya. Akhirnya merujuklah mereka ke mahkamah…

Wali asal (bapa) seseorang wanita harus mampu mendidik dengan jelas tentang tanggungjawab anak gadisnya sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan. Wali juga harus memberikah tausiah kepada calun menantu bagaimana harus menjaga anak gadisnya selepas berkahwin nanti.

KITA LIHAT PULA KONSEP PELAPIS WALI yang menjadi penyokong kepada kesejahteraan sesebuah rumahtangga. Jika sang suami gagal berperanan sebagai pelindung kepada wanita yang dinikahi, lalu rumahtanga itu bermasalah, maka wali asal wanita itu harus berperanan mendidik dan menasihati menantunya dengan semangat persahabatan dan kasih sayang. Allah sarankan bimbingan ini dilakukan sehingga berumur 40 tahun. Itulah tahap kematangan seorang insan. Praktik ini menjadikan suami rapat dengan mertua. Tapi, Itupun jika mertua itu berilmu, jika tidak suami kenalah cari pedoman dari wali hakim yang arif tentang hukum hakam.

Kerana itulah kami nasihatkan agar menantu bersahabat baik dengan bapa mertua. Rasulullah SAW dahulu ambil masa 3 tahun sebelum membawa isterinya Aishah tinggal bersama. Setiap kali ada masalah, mertua baginda (yang juga sahabat) ini turut memikirkan dan memberi nasihat. Untungnya Abu Bakar a.s. ialah kerana nabi sendiri arif tentang urusan wali kepada Aishah ini. Nabi Musa juga mengabdi diri dan bersahabat, berguru dengan mertuanya nabi Syuaib a.s. sehingga 8 tahun. Para sahabat nabi yang lain juga saling bersahabat dengan mertuanya. Semangat Persahabatan itulah saluran ilmu dan nasihat di kalangan mereka.

KITA BAGAIMANA? Me’Rijal hanya waktu akad nikah sahaja. Lepas itu kita tukar fungsi jantina. Berapa ramai bapa yang mendidik anak gadisnya sebelum berkahwin? Menyenaraikan “Do and Don’s” kepada anak mereka? Pengantin laki-laki pula satu hal… Dengan mertua ramai yang berkelahi dan berdendam. Ini kerana perkenalan dan peminangan kita bukan dilakukan dengan kerjasama murobbi anak gadis sedari awal. Kadangkala kita siap bawa lari anak gadis dari keluarganya. Setiap kali ada perselisihan pula, si isteri juga tidak merujuk terus kepada suami, sering lompat terus kepada keluarga sendiri (Pihak ketiga). Mertua juga begitu, tidak melalui suami anaknya, terus saja lompat bawa lari anak gadisnya yang sudah berkahwin..!

SYARAT-SYARAT SAH NIKAH YANG TERKAIT DENGAN FUNGSI LELAKI ini tidak dapat kami hurai dengan panjang kerana melebihi kuota artikel. Cukuplah kami cetuskan untuk anda masing-masing mendalami hakikat pernikahan melalui penerusan perlaksanaan falsafah dalam setiap rukun nikah. Antaranya, Lelaki harus menikahi wanita dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan. Tidak mempunyai empat orang isteri yang sah dalam satu masa. Mengetahui bahawa perempuan yang hendak dikahwini adalah sah dijadikan isteri, kenal keluarganya dan kematangannya untuk siap membawa peranan sebagai isteri dan sebagainya.

InsyaAllah akan kami sambung untuk rukun nikah yang lain.

Kudap munakahat
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *