ISLAM “RAHMATAN LIL-AALAMIN” – SATU RAHMAT BAGI ALAM

image_pdf
00 rahmatan lilalaminISLAM “RAHMATAN LIL-AALAMIN” – SATU RAHMAT BAGI ALAM

KEBANYAKAN artikel kami terasa banyak cilinya, agak pedas dan mengejutkan lena. Isu parenting turut menyentuh pencerahan kontroversi peranan isteri, suami dan anak. Isu politik kami kemukakan pandangan dengan adil, baik menyentuh parti pemerintah, pembangkang maupun raja. Jika cili itu tidak berguna, tiadalah ia dijual di pasar dengan begitu mahal sekali harganya. Cili besar yang merah menyala tidaklah begitu berharga, sekadar hiasan sahaja, tapi cili padi mencecah RM20 atau kadangkala lebih dari itu.

APA ITU RAHMAT DAN RAHMAN?

Kita semua sering membaca Bismillah dan hujungnya ada istilah Ar-Rahman. Hasil kajian kami tidak ramai yang tahu dengan pasti apa itu ciri Ar-Rahman yang MERAHMATI. Supaya kita tahu apa maksud sebenarnya apabila kita kata kembali ke Rahmatullah, mencari Rahmat Allah, Yarhamkallah dan sebagainya, ingin kami kongsikan sedikit di sini.

Besarnya erti dan peranan ar-Rahman dan Rahmat Allah ini ternukil dalam 1 surah khas bernama ar-Rahman, surah ke 55. Tetapi sepertimana bisalah, bila kita baca sepertimana ‘orang’ suruh kita baca, bukan sepertimana ALLAH suruh kita baca maka hasil bacaan itu kurang membuahkan hasil dalam kehidupan. Jadilah kita sekadar pengumpul harta yang dipanggil pahala, ibarat ibadah seorang saudagar jadinya. Bila kita tidak membaca DENGAN kehendak ALLAH maka pastinya Allah juga tidak redha dan nikmat redha tidak akan kita rasa.

Dalam surah ini Allah peringatkan, bahkan mencabar kita NIKMAT bagaimana lagi yang kita cari, yang tergamak kita dustakan? Apa nikmat itu? Kenapa begitu besar sehingga Allah ulang ayat yang sama sampai lebih 30 kali, hampir separuh dari kandungan dalam surah pendek itu. Mari kita singkap sedikit,

55. Ar Rahmaan (yang maha pemurah).
1. Yang Maha Pemurah,
2. Yang telah mengajarkan al Quran.
3. Dia menciptakan manusia.
4. Mengajarkan penjelasannya (tabayyun / bainat / bukti).

PEMURAH (AR-RAHMAN)NYA ALLAH adalah kerana pemberian ILMUnya, yang dihimpun dalam alquran dan Allah mengajarkannya kepada kita. Alquran ini diturunkan untuk memperbetulkan akhlak manusia seperti yang Nabi SAW kata. Akhlak nabi adalah alquran kata Aishah isteri baginda. Nabi adalah alquran yang bergerak kata ulamak Islam pula.

TANPA AKHLAK, yang ciri berakhlak ialah yang mengikut aturan pencipta (al-kholiq), maka kita adalah ibarat haiwan liar yang tiada gembala. Rupa manusia tapi perangai seperti haiwan, ini Allah yang kata. Anak sendiri, adik sendiri, anak saudara sendiri, anak jiran, anak kecil semua kita rogol, wanita tidak brdosa pun kita tembak di kepala, anak kecil kita tuba dengan kimia. Rakan dan saudara sendiri kita tipu, dengki, dan fitnah. Jiran kita lapar, atau tertindas kita biarkan saja. Itulah ciri HAIWAN dalam diri kita.

DI SINILAH DATANGNYA PERANAN AL-QURAN yang mengubah akhlak kehaiwanan menjadi akhlak manusia. Inilah rahmat Allah, yang apabila sifat keprihatinan dari ciri kemanusiaan itu sudah terbentuk, hasilnya sangat nikmat. Itulah hasil persaudaraan dan kasih sayang. Hidup sangat membahagiakan, saling tolong-menolong, nasihat manasihati dan saling menghormati. Ia sangat mensejahterakan. Itulah hasil utama dari sifat ar-Rahmannya ALLAH, itulah cara Allah menganugerahkan kita NIKMAT BERKASIH SAYANG (AR-RAHIIM) hasil dari rahmat ilmu alquran.

SOAL BICARA YANG MENJELASKAN BUKTI. Manusia boleh mengajar kita membaca cara tilawah dan mencipta pelbagai teori. Tapi Rahmat Allah yang paling besar ialah mengajar kita IQRA’, mengajar bagaimana mempraktik sehingga segala kebaikan dari wahyu ini terbukti jelas (terbainat) hasilnya selepas dilaksana kesemuanya.

MENGAPA TERJEMAHAN DIUBAHSUAI? dalam ayat 4 itu kebanyakan terjemahan mengatakan mengajarnya pandai berbicara, sedangkan harfiahnya berbeza? Ya, mungkin ada betulnya juga. Sekadar mencari titik persamaan dan bersangka baik walaupun kami tidak setuju terjemahan itu diubah. Apabila kita telah sungguh-sungguh menggali rahmat Allah dari hazanah ilmunya dalam alquran yang Allah ajarkan perlaksanaannya ini, bicara kita pasti akan sangat berbeza.

Tentu lain rupanya pencerahan dari pihak yang sekadar membaca, berbanding pihak yang telah mengkaji dan melaksana. Tidak percaya cuba bandingkan kesan khutbah dari orang yang BERKHUTBAH terus dari hati, menceritakan PENGALAMAN SENDIRI, berbanding dengan khatib yang MEMBACA KHUTBAH. Atau pensyarah yang mengajar dengan buku tebal, berbanding pensyarah yang mengajar dengan kemahiran sendiri.

Jika kita telah merasai hasil bainat dari perlaksanaan ayat, maka pencerahan dalam ayat seterusnya juga akan menjadi sangat praktikal dan mudah difaham, tidak lagi bersangka-sangka. Contohnya 55:5. Matahari dan bulan menurut perhitungan, 55:6. Dan bintang-bintang dan pokok-pokok bersujud, 55:7. Dan langit – Dia menaikkannya, dan meletakkan Timbangan. 55:8. Janganlah melampaui batas dalam Timbangan, 55:9. Dan timbanglah dengan adil, dan janganlah mengurangi dalam Timbangan. 55:10. Dan bumi – Dia meletakkan untuk semua makhluk, 55:11. Di dalamnya buah-buahan, dan pohon-pohon palma yang mempunyai kelopak, 55:12. Dan biji-bijian di dalam kulit, dan herba yang harum baunya. ….

55:13 Maka pemberian (nikmat) Rabb kamu yang manakah yang kamu mendustakan? Dan inilah yang kami katakan tadi, ayat ini yang Allah ulangi 31 kali dalam surah pendek ini. Begitu bersungguh-sungguhnya Allah dalam hal ini.

SERUAN KEBANGKITAN & KOREKSI DIRI

Kita semua sudah tidur cukup lama dan sewaktu kita terlena banyak yang telah teraniaya dan parah terluka. Kami di sini sekadar kongsikan apa yang kami rasa, setelah kami tersedar akan bahayanya pelbagai bencana kemasyarakatan yang telah melanda. Dengan skala kecil kami cuba ubah cara hidup ini dengan mengambil panduan terus dari quran dan sunnah. Yang mana telah terlihat jelas kebenaran melalui hasil perlaksanaan kami, maka kami kongsikan kepada semua agar lebih ramai turut merasai nikmatnya. Kesilapan silam diri, keluarga terdekat dan rakan-rakan kami serta kes-kes yang dirujuk telah dijadikan bahan asbab yang kami kaji.

Samada kita mahu setuju atau tidak itulah hakikatnya. Agama ini terkait rapat dengan pembinaan keluarga. Kerana itu segala asas doa dan kehidupan berkisar kepada keluarga. Segala petunjuk dan polisi keluarga pula menjadi asas sistem pengurusan sebuah negara. Kerana itu apa yang kami laksanakan di rumah ini diharapkan boleh dikongsikan samada untuk koreksi kepincangan pengurusan keluarga atau pengurusan negara. Kita semua manusia biasa, tidak perlu mana-mana pihak rasa terhina atau curiga.

SERUAN PENYATUAN PIHAK-PIHAK YANG BERTELAGAH

MISI KAMI ADALAH MISI PENYATUAN DAN KASIH SAYANG. Kami tidak memihak kepada mana-mana parti. Kerana itu anda lihat dalam satu artikel yang sama, kami terpaksa telus dan menasihati kedua dua belah pihak. Alhamdulillah sekarang ini tidaklah sangat kami dihentam hangit seperti dulu bilamana ada isu yang melibatkan unsur politik.

Dahulunya kalangan kami suami isteri dan anak sahaja pun sukar bersatu faham. Sesama jiran dan masyarakat apatah lagi. Kini rahmat Allah telah terbukti. Jika kami yang datang dari pelbagai latarbelakang ini boleh disatukan dengan satu faham, kami yakin kita boleh kembangkan asas penyatuan dan kasih sayang ini ke peringkat masyarakat, negara dan dunia. Kami yakin semua insan di dunia inginkan keamanan dan hidup sejahtera. Tanpa peperangan dalam keluarga, negara dan dunia.

KAMI TIDAKLAH BERSIFAT SELFISH ATAU PREJUDIS. Apa yang kami usahakan sekian lama, hanyalah berbekalkan semangat dan dana sendiri mengikut petunjuk ILAHI dan sunnah nabi. Kini kami kongsikan dengan percuma kepada semua yang ingin merasa sejahtera dengan berlapang dada. Tentunya tanpa dipaksa.

KAMI TIDAK SUKA MEMIHAK kepada mana-mana politik dan taraf agama bukan kami talam dua muka, ialah kerana kami sayangkan semua. Talam dua muka adalah bermuka-muka, kami hanya ada satu muka, iaitu memihak kepada yang hak dan menolak yang batil itu saja. Tidak kiralah yang di ulas itu pihak mana sekalipun. Yang baik kita kata baik, yang buruk kita kata buruk. Bukan untuk mencemuh, tapi untuk mengajak masing-masing sama-sama muhasabah.

PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT, tidak kira fahaman politik, agama maupun bangsa telah datang mengambil rahmat, berupa petunjuk yang telah terbukti praktikal (itulah sebenarnya hakikat rahmat). Mereka mahu tumpang guna teknologi alquran untuk bina keluarga mereka saja. Kami tidak paksa mereka masuk agama Islam pun, kecuali dengan keinginan mereka. Jadi tidak perlulah agama lain curiga atau rasa terancam.

InsyaAllah tidak kira pihak mana yang memerintah, bilamana diperlukan, kami juga akan dengan senang hati untuk kongsikan hazanah ilmu dan bainat ini. Oleh itu, tidak perlulah merasa curiga, tercabar atau tertekan. Jika anda masih mampu mengurus hidup dengan aman dan yakin mengikut ilmu yang anda ada sila teruskan, jangan menyempitkan dada dan memberatkan kepala untuk memaksa diri menerima perkongsian kami. Yang penting mohon bersangka baik dan jangan sekali-kali prejudis terhadap kami.

Penyemai Kasih, Pemburu Damai
WARGA PRIHATIN

1 Comment

  1. Marhamah

    surah al rohman ini perlu lagi penyuluhan dari berbagai pihak

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *