Pelajar tingkatan 1 asrama penuh parah dibelasah 10 senior

image_pdf

Ahmad Hasbullah kini dirawat di Hospital Jempol, lebam di badan selain dikhuatiri mengalami pendarahan dalaman selepas dipukul, disepak, ditendang dan ditampar oleh pelajar senior.

Bandar Seri Jempol, 10 Oktober, 2013: Seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah berasrama penuh dekat sini, cedera parah selepas dipukul, disepak, ditendang dan ditampar 10 pelajar senior sekolah sama, Ahad lalu

 

Ahmad Hasbullah Mohd Yusoff, 13, yang diserang selepas didakwa mencuri dompet mereka kini dimasukkan ke hospital di sini dan dikhuatiri mengalami pendarahan dalaman.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, pelajar senior terbabit turut menyimbah air longkang ke muka mangsa hingga muntah.

 

Ibu mangsa, Suraya Harun, 43, berkata anaknya sedang bersiap untuk mandi apabila didatangi dua pelajar senior dan menuduhnya mencuri dompet mereka.

 

“Apabila dia enggan mengaku bersalah, mereka mengheret anak saya ke sebuah bilik yang dipenuhi pelajar Tingkatan Lima lain.

 

Enggan mengaku

 

“Anak saya kemudian dipaksa mengaku mencuri dompet dan apabila enggan mengikut kehendak mereka, dia dipukul, ditendang dan ditampar bertubi-tubi,” katanya.

Suraya berkata, serangan terhadap anaknya berlanjutan kira-kira 30 minit dan hanya dihentikan apabila pengawal keselamatan sekolah itu mengarahkan pelajar Tingkatan Lima terbabit bersurai.

 

Beliau berkata, pihak sekolah kemudian menghubungi suaminya dan meminta menghantar Ahmad Hasbullah ke Hospital Jempol.

 

“Kejadian itu menyebabkan anak saya kini trauma. Dia enggan bercakap dan berubah menjadi pendiam,” katanya yang turut bimbang apabila doktor memberitahu anaknya mungkin mengalami pendarahan dalaman kerana tidak dapat makan dengan normal dan kerap muntah.

 

“Saya mendapat tahu bahawa ini bukan kali pertama dia dibuli, tetapi sebelum ini menganggap perbuatan berkenaan sebagai perkara biasa di asrama,” katanya yang membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada hari sama.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman mengesahkan kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

 

“Polis mengambil keterangan 10 pelajar Tingkatan Lima dan setakat ini, lima daripada mereka mengaku memukul mangsa,” katanya.

sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Dibelasah10pelajarsenior/Article/

 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *