Tips Munakahat – Suami Makan Gaji Isteri?

image_pdf
00 gaji isteri
Tips Munakahat – Suami Makan Gaji Isteri?

Ekoran dari pencerahan hukum suami makan gaji isteri yang disiarkan oleh Wanita Hari Ini TV3 kami menerima banyak permintaan untuk mengulas lebih lanjut beberapa kontroversi dalam isu ini. Persoalan apakah benar gaji isteri hak suami atau apakah hukum suami memakan harta isteri?

Kami sudah lihat rakaman WHI itu dan tidak nampak sebarang percanggahan secara langsung. Kami lihat ia banyak mencetus rasa tidak puashati yang memang sedang subur dalam banyak rumahtangga moden dewasa ini. Pendekatan hujah lebih bersifat komersial di mana ia lebih mengajak pasangan ke mahkamah. Ini lebih kepada menyuburkan perbalahan antara suami isteri, samada ia membawa penceraian atau tuntutan selepas pasangan bercerai.

Pertamanya ingin kami jelaskan lagi bahawa selepas sahaja akad nikah, dosa pahala, tanggungjawab nafkah seorang wanita adalah menjadi tanggungjawab suami secara mutlak. Itu soal pokoknya.

APA HUKUM ISTERI BANTU SUAMI BEKERJA?

Hal itu sudah dijelaskan dalam siri artikel dilema isteri berkerjaya. Perintah Allah ialah agar isteri duduk dirumah, menjaga rumahtangga, anak dan harta tinggalan suami. Fatimah r.a., Puteri Rasulullah s.a.w. sendiri membantu suaminya membuat roti tetapi tetap dirumah. Ada juga pasangan yang ikut berkerja, tetapi mereka bekerja dengan suami mereka, berniaga dan sebagainya. Pelajarannya ialah selagi rumahtangga tidak terabai dan tiada fitnah nusyuz maka hukumnya harus. Keperluan utama ialah kedamaian dan kesejahteraan rumahtangga.

Jika pendapatan suami mencukupi untuk menyara kehidupan yang sederhana dan ditambah dengan habit berpuasa, maka isteri tidak harus keluar bekerja. Dalam hal ini suami boleh jatuh dayus jika ia masih membenarkan apatah lagi menyuruh isteri keluar bekerja. Ini bagi mengelak fitnah nusyuz dan menjaga kebajikan anak-anak di rumah.

APA HUKUM SUAMI MAKAN GAJI ISTERI?

Asas hujah kami ialah pencarian nafkah itu tanggungjawab suami. Isteri bekerja adalah dengan kebenaran suami. Namun begitu kami juga telah jelaskan bahawa suami yang bermaruah tidak akan memaksa isteri bekerja. Jika terpaksa juga maka ia adalah atas dasar desakan kehidupan dimana pendapatan suami tidak cukup. Ia juga atas persetujuan bersama. Sekiranya suami cukup pendapatan, ketetapan Allah ialah agar isteri kekal di rumah. Tiadalah isu suami makan gaji isteri dalam hal ini.

Semak semula UNTUNGRUGI ISTERI BEKERJA termasuk contoh-contoh yang telah kami beri. Bagi kami perbelanjaan yang tidak seharusnya keluar sekiranya isteri tidak bekerja seperti kenderaan tambahan, belanja perjalanan, maid, taska dan sebagainya BUKAN TANGGUNGAN SUAMI kecuali jika suami mampu dan sukarela menanggungnya. Itu saja fokus kami agar anda kira semula untung ruginya isteri bekerja.

Memang kebanyakkan kes yang diajukan kepada kami adalah isteri ingin berhenti bekerja namun ekonomi keluarga tidak mengizinkan. Dalam hal ini isteri yang bekerja adalah atas dasar perintah suami walaupun tidak begitu rela. Isteri seharusnya berusaha menjaga diri menjauhi segala fitnah nusyuz jika keadaan memaksa mereka bekerja.

Bilamana gaji suami kecil dan tidak mencukupi, hendaklah diatur melalui prioriti perbelanjaan. Segala keperluan asas rumah tangga harus ditanggung oleh gaji suami dahulu. Apabila itu tidak mencukupi barulah menggunakan gaji isteri. Perbelanjaan asas rumahtangga adalah jihad fi-sabilillah bagi seorang suami. Oleh itu Pemberian pendapatan isteri kepada suami menjadi harus atas dasar darurah. Harus diingat darurah itu bersifat sementara, bukan selamanya. Suami harus berusaha keras untuk segera menamatkannya.

Oleh itu jika setelah gaji suami habis namun masih ada yang kurang, disitulah datangnya harus bagi isteri menyerahkan pendapatannya untuk sara keluarga. Isteri pula harus niatkan sebagai infak atau sedekah kepada suaminya yang kekurangan. Suami pula harus ingat itu hanyalah ikhsan isteri dan mereka berhutang MORAL dengan mereka.

BAGAIMANA SUNNAH KHADIJAH RA YANG MEWAKAFKAN HARTANYA?

Inilah pokok hujah yang membolehkan suami menggunakan harta isteri. Namun lihat dahulu untuk tujuan apa? Ia HANYALAH untuk tujuan jihad fi sabilillah, bukan sewenang-wenang untuk memenuhi kepentingan peribadi sang suami semata-mata.

Terlalu ramai kes yang diajukan kepada kami merujuk situasi dimana suami mengambil kesempatan dari keberadaan harta isteri. Begitu ramai suami yang lepas tangan tentang bil semasa dan belanja makan pakai keluarga hanya kerana isteri bergaji dan berharta. Sekali lagi kami ulangi itu bukan yang kami sarankan. Suami begini adalah dilaknat Allah dan isteri yang bersabar dengan suami seperti ini mendapat ganjaran yang sangat besar disyurga jika mereka redha dan terus bersabar.

Lebih malang lagi dimana ada suami yang mengambil mudah akan tanggungjawab mereka. Isteri dan anak diajak duduk serumah dengan mertua. Tambahan pula ibu suami terlalu memanjakan anak lelakinya. Lebih parah lagi bila peraturan Islam tidak berjalan dalam percampuran warga di rumah mertua. Isteri akan tertekan kerana tiada kebebasan mengurus rumahtangga dan terlalu kerap berlaku konflik dengan keluarga mertua. Boleh anda bayangkan bagaimana suami dayus ini mampu membina syurga rumahtangga?

Ramai juga suami yang merokok, kaki mabuk, masih menghabiskan masa berpoya-poya dengan aktiviti clubbing, mementingkan hobi berlebihan seperti bermotor besar, modifikasi kereta, drifting, memancing, golf, berjudi dan banyak lagi. Semuanya menghabiskan wang sendiri dengan mengabaikan tanggungjawab rumah tangga. Bukan sahaja isteri harus memikirkan belanja keluarga, malah suami turut meminta wang untuk memenuhi hobi sendiri.

Lebih menjijikkan lagi bagi para suami yang malas bekerja, tetapi tidak habis-habis menambah isteri yang bekerja, kononnya menyanyikan sunnah poligami. Isteri tua sering menjadi mangsa. Perhatikan kes study yang telah kami berikan.

Kes-kes sebegini amat dikesali dan ia tidak Islamik sama sekali. Tentunya suami begini dalam katagori dayus dan tempatnya adalah neraka jahannam. Apa itu jahanam dalam rumah tangga? Rasanya anda boleh bayangkan sendiri…

HUTANG SUAMI TERHADAP ISTERI?

Soalan ini mudah sahaja. Jika isteri memberi dengan ikhlas kerana kasihan dan sayangkan suami yang baik, ia tidaklah menjadi hutang dan tiada isu lagi.

Apabila isteri tidak redha, suami pula setuju dengan akad ‘pinjam/berhutang’ wang untuk contohnya belanja rakan pejabat makan-makan atau nak beli motor besar, nak kawin satu lagi… maka HUTANG WAJIB DIBAYAR dan isteri boleh menuntut. Jika satu masa suami kembali berakhlak dan isteri redha, hutang boleh dihapus kira oleh isteri atas dasar kasih sayang. Itulah hakikat bahawa perkahwinan itu satu perkongsian. Kerana itu segeralah ajak suami anda kembali kepada cara hidup Islam yang sejahtera.

KESIMPULAN

Apa sahaja harta peribadi yang tidak dari hasil pemberian suami sewaktu bernikah tidaklah menjadi hak suami sama sekali secara hukum. Ini termasuklah wang simpanan isteri sebelum berkahwin, harta pemberian atau pusaka dari keluarga isteri atau apa sahaja. Namun jika ada keperluan yang jelas ada siroot dan jihad sabilnya, bukan atas jalan maksiat lalu isteri mahu memberi dengan rela atas dasar kasih sayang terhadap suami, maka ia menjadi harus.

Pemberian isteri kepada suami atau permintaan mendesak dari suami yang mengabaikan nafkah keluarga, bahkan untuk memenuhi hobi dan nafsu gila suami adalah HARAM. Ini boleh manggalakkan kemaksiatan dan budaya dayus di kalangan suami. Hasilnya pasti NERAKA RUMAHTANGGA.

Kami harap kami sudah menjawab setiap persoalan yang bermain di minda anda yang bertanya. Cetusan kami mengikut apa yang kami kaji dan amalkan. Jika anda ada ketetapan yang lebih baik, sila jangan memberatkan minda untuk mengikuti cetusan kami ini.

PENCERAHAN SEMULA
Warga Prihatin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *