TIPS MUNAKAHAT – KONFLIK MERTUA & IPAR DUAI

image_pdf

00 mertua.jpegB

TIPS MUNAKAHAT – KONFLIK MERTUA & IPAR DUAI

Artikel kali ini sekadar menjawab soalan-soalan yang berkisar dengan kegagalan suami mengatur keluarga sehingga timbul pelbagai konflik keluarga. Biar kami ulas mengikut kes yang diutarakan. Kami tidak kenal anda dan hanya mengulas mengikut pandangan dari hasil kajian kami sahaja, tidak berminat untuk tahu atau campur sebarang gosip atau politik dalam keluarga anda.

TANGGUNGJAWAB SUAMI PADA MERTUA

Kami rasa harus dijelaskan dahulu polisi diri suami dalam hal ini. Sebelum menikahi seorang wanita kita harus tahu bahawa wali kepada isteri kita itu adalah wakil Allah yang telah menyerahkan tanggungjawab mereka terhadap anak gadis kepada kita. Hubungan kita dengan mereka terikat dengan hukum. Sebaik saja kita menikahi isteri kita, maka ibu mertua menjadi mahram kita, tidak batal pun wuduk kita dengan ibu mertua. Bahkan selepas selepas kita ceraikan isteri kita juga mereka masih tetap ibu mertua kita.

Orang dahulu mengenali atau memikat keluarga calun isteri terlebih dulu sebelum meminang. Sebahagiannya tidak kenal pun calun isteri mereka. Kita sekarang masing-masing cari jodoh sendiri. Jika kita ingin mengikut sunnah nabi, maka kita harus mengambil pendekatan orang tua dahulu, iaitu bersahabat mesra dengan mertua. Dengan rasa hormat dan kasih sayang semua urusan jadi senang.

Sila perhatikan bagaimana Musa a.s. mengambil hati bapa mertuanya Syuaib. Baginda mengabdi dengan bakal mertuanya selama 10 tahun sebelum menikahi isterinya. Rasulullah dengan mertuanya Abu Bakar a.s. juga saling bersahabat. Begitu juga sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin.

KONFLIK SARAHIDUP:
ISTERI KIRIM BELANJA KEPADA KELUARGA?

PENDIRIAN KAMI, adalah harus bagi seorang isteri yang bekerja untuk mengirim belanja bagi menolong keluarga sendiri jika diperlukan. Syaratnya ia harus dilakukan dengan izin suami, bukan secara bersembunyi. Amalan kami dalam hal ini ialah biarpun wang itu dari isteri, adalah lebih bijak dan murni jika ia disampaikan kepada ibubapa oleh suami kita. Pasti ia lebih merapatkan lagi hubungan suami dengan ibu bapa kita.

Kebiasaan konflik yang berlaku ialah isteri melakukannya secara bersembunyi kerana hubungan suami tidak bagitu murni dengan keluarga mertua. Dalam hal ini, kaedah SYURO antara suami isteri adalah arahan ALLAH untuk mencari punca masalah dan menyelesaikannya. JANGAN SUKA MERUJUK KE MAHKAMAH kecuali anda memang hendak bercerai.

SUAMI SARA KELUARGA INDUK – MEMBIARKAN ISTERI YANG BEKERJA MENYARA KELUARGA

Kes ini merujuk kepada suami yang bertindak membantu adik-adik dan keluarga besarnya. Dikatakan ketahap mengeluarkan modal berniaga untuk adik-adiknya. Akhirnya isteri terpaksa menanggung seluruh nafkah keluarga. lebih teruk lagi habis wang sendiri, minta pula wang isteri untuk menanggung adik-adiknya. Ini telah membuatkan isteri makan hati dan memendam rasa. Masalahnya anak-anak sendiri sudah besar dan memerhatikan kepincangan itu lalu timbul rasa kurang senang si anak pada keluarga suami.

Pendirian kami dalam hal ini ialah sebagai suami, kita harus memikul tanggung jawab penuh terhadap nafkah keluarga kita sendiri. Itu jihad kita. Jika ada lebihan, pastinya baik untuk kita membantu keluarga kita sendiri. Tapi perhatikan juga desakan hidup keluarga isteri. Biarlah adil dan berpada-pada. Kalau sampai adik nak berniaga pun kita kena bantu juga, sedangkan keluarga sendiri isteri yang tanggung, itu teramat aneh dan tidak fitrah sama sekali. Tambahan sampai minta wang isteri untuk bantu adik beradik sendiri, itu amat keterlaluan DAYUSNYA. Lainlah jika memang isteri sangat suka dengan adik beradiknya dan ingin menghulur bantukan atas dasar sayang dan rela.

BAGAIMANA NASIB IBU ISTERI ATAU SUAMI YANG PERLUKAN BANTUAN:

JIKA kita mampu memang amat baik membantu mereka bagi mengenang jasa. Itu juga mendidik anak-anak kita agar ikut melakukannya bila kita sudah tua. Tetapi jika keluarga kita sendiri belum kecukupan, kita harus mengutamakan keluarga sendiri. Selebihnya sulam cara hidup dengan amalan jimat cermat dan jadikan itu motivasi untuk kita mencari pendapatan tambahan untuk memberi rahmat kepada semua. Itu paling murni.

Jika ibu sendiri atau mertua kita adalah ibu tunggal dan memerlukan sara hidup, rasanya tidaklah banyak mana kos yang harus kita tanggung. Lebih baik jika kita boleh ajak mereka tinggal bersama agar dapat kita jaga mereka di hujung usia. Dengan itu anak kita juga dapat ikut belajar dari kita bagaimana mengenang jasa dan menghargai orang tua. Tidaklah nanti mereka tenggelam punca bagaimana merawat kita bila kita sendiri sudah tua.

Jika memang kita benar-benar tidak mampu, dan ibu bapa kita dalam katagori fakir, Islam ada cara tersendiri melalui Baitulmal untuk menangani masalah itu. Mohonlah dengan telus.

KONFLIK TINGGAL DI RUMAH MERTUA

Ini adalah antara masalah besar yang banyak dirujuk kepada kami. Ada juga yang memutar fakta bahawa kita tidak harus membawa mertua tinggal serumah. Bukan itu yang kami maksudkan. Kami sendiri menggalakkan, suka sangat jika mertua kami sudi tinggal di rumah kami. Akan kami didik anak-anak agar menghormati dan melayani mereka selagi ada usia. Lihat kes berikut,

DALAM kes yang ringan, ada isteri yang mengadu serba salah dan bingung dengan sikap suami yang membawa mereka dan anak-anak tinggal bersama keluarga suami. Alasannya untuk menjimatkan belanja. Ibu mertua pula jenis cerewet dan bengis. Susun atur rumah jangan sentuh. Suaminya pula sangat dimanjakan dengan belanja dan sangat pemalas dalam urusan kerja dan joli melayan bermacam-macam hobi. Lebih teruk lagi jika suaminya anak tunggal. Segala urusan nafkah isteri yang tanggung.

Akibatnya Kreativiti isteri akan terhakis dalam hal ini. Emosi tertekan dan akhirnya retak membawa belah. Anak-anak jadi keliru, nak dengar cakap ayah atau nenek dan atuk mereka? Akhirnya berlaku konflik kepatuhan dan ini sangat menyukarkan anak-anak. Jika memang ibu bapa sudah tua dan memerlukan pengorbanan kita tinggal bersama untuk menjaga mereka, itu lain cerita.

DALAM KES BERAT, ada beberapa pasang keluarga mendiami rumah yang sama. Bukan sahaja isteri jadi serba salah, malah orang tua dan adik beradik suami yang masih bujang juga menjadi bengang. Rumah sebuah menjadi kediaman banyak kelamin dan menimbulkan banyak fitnah di kalangan ipar duai.

Sesetengah orang tua suka rumahnya dipenuhi anak cucu. Ada juga sebahagiannya yang ingin tenang dan menyendiri, menumpukan ibadah dihujung usia. Hendak mengusir anak tidak sampai hati. Jadi kita harus RETI BAHASA dalam hal ini.

ULASAN KAMI dalam hal ini agak pedas. Suami yang begini memang jelas kedayusannya. Orang tua kata “biar banyak rumah, jangan banyak serumah”. “Jauh bau bunga, dekat bau tahi”. Rumahtangga kita adalah aurat dan rahsia kita. Ia ibarat MEMBINA MASJID, wadah kita selaku IMAM mendidik kepatuhan isteri dan anak-anak kepada kita. Itu hakikat sujud dalam masjid rumahtangga.

Jika kita duduk bercampur aduk begitu… Bagaimana kita nak bina masjid dalam rumah tangga kita sendiri? bila kita nak didik isteri dan anak-anak kita untuk sama-sama membina rumahku syurga ku (baiti jannati) mengikut acuan kita sendiri? siapakah abal hakam yang harus dipatuhi anak-anak dalam keluarga di rumah sebegitu?

Berapa banyak kes sumbang mahram telah berlaku? Bapa mertua rogol menantu.! Sepupu meniduri sepupu..! Bapa saudara merogol anak sedara..! Abang ipar meniduri adik ipar sampai sedawa..! Semua itu berlaku dalam rumah sendiri. Tiada pencegah maksiat akan membantu. Ini semuanya akibat dari percampuran ipar-duai yang tidak mengikut hukum Allah. Jika mana-mana ketua keluarga (abal hakam) membenarkan ia berlaku, itu sudah jelas mereka tidak faham hukum-hakam. Batas hukum dalam kehidupan harian selepas itu tentu sekali lebih teruk lagi.

Kami amat sedih bila dirujuk dengan kes sumbang mahram yang sudah lebih teruk dari haiwan ini. Anak perempuan kita yang belum tahu apa-apa, seusia 5 tahun sudah diperkosa beramai-ramai bertahun-tahun oleh saudara-mara sendiri. Semuanya kerana kelemahan Abal Hakam pengatur keluarga. Dapat anda lihat neraka dunia hasil dari kedayusan seorang lelaki? Sudah boleh yakini sabda nabi bahawa “lelaki dayus tidak akan cium bau syurga”? Inilah salah satu contohnya.

Kami tidak boleh menjawab terlalu panjang kerana lebih banyak menulis lebih panas telinga kita semua. Sila jenguk juga artikel Jahiliyah Moden (gambar lembu) gambaran hidup kita sekarang. Semuga kami dapat memenuhi keperluan yang bertanya dan semuga dapat menyedarkan kita yang masih alpa dan leka.

TIPS MUNAKAHAT
Warga Prihatin.

1 Comment

  1. Refni YERTI

    Tulisan yang sangat bermanfaat, semoga para suami tidak menjadi dayus. Suami itu pemimpin terhadap istri dan anak-anaknya, dan akan ditanya tentang kepemimpinannya di akhirat kelak

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *