LARANGAN PEMBUKUAN ARTIKEL WARGA PRIHATIN

image_pdf

00 buku

LARANGAN PEMBUKUAN ARTIKEL WARGA PRIHATIN

Melalui siri artikel yang membahaskan tentang kontroversi isteri bekerjaya telah menimbulkan persoalan khusus seperti ‘Haram suami makan gaji isteri’? Isu ini telah dipetik oleh TV3 dalam program ‘Wanita Hari Ini’. Juga pencerahan tentang falsafah disebalik IKHLAS dari kata pokok KHOLAS dalam ‘Motivasi pagi’. Ia dikatakan sama tepat dengan isi video “Ulasan Puan Zaiton – Pegawai Khas EXCO ADUN Negeri Selangor” yang diupload 4 tahun dulu. Walhal selama ini tidak pernah ada sesiapa yang mengulas sebegitu rupa. Begitu juga halnya dengan banyak isu-isu lain.

Ramai yang bertanya adakah Prihatin ditaja atau ada link dengan media perdana, TV3 dan RTM? Ini kerana terlalu banyak artikel Prihatin yang turut dibincang di media itu sebaik saja ia disiarkan di blog prihatin. Banyak juga fakta hujah yang memang tidak pernah kita dengar sebelum ini dikatakan telah digunakan, seolah-olah mereka mencedok hujah dari artikel prihatin.

Subhanallah, sekali lagi ingin kami tegaskan yang kami tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Jika pun ada individu dari mana-mana PARTI yang bersedekah lalu terakam gambar atau berita mereka, maka itu adalah bersifat peribadi. Kami juga tidak mencedok dari mana-mana sumber selain dari sumber alquran dan penggalian sunnah. Oleh itu kami tidak berbuat untuk siapa-siapa selain dari memenuhi perintah Allah dan Rasul. Kami kaji dan pelajari kesemuanya kerana kami sedang mencuba untuk melaksana keseluruhannya untuk islah keluarga dan anak jagaan kami sendiri.

Mana-mana hasil kajian yang kami telah rasakan yakin SIROOTnya dan berhasil pula SABIL perlaksanaan dari hasil kajian itu, maka kami kongsikan kepada umum. Kalaupun memang ada pihak lain memetik isu dan fakta hujah yang kami paparkan, itu adalah wajar kerana kami menulis memang sebagai bahan dakwah, bahan seruan untuk disebarkan seluas mungkin.

Mungkin juga isi siaran itu sekadar satu kebetulan. Kami tiada masalah untuk itu bahkan bersyukur kerana ada pihak lain yang turut fokus kepada isu yang sama dalam masyarakat kita.

ISU ROYALTI & SEKATAN HARTA INTERLEK

Ada yang mengaitkan dengan royalti cetakan atau siaran. Sekarang ini pun banyak ustaz-ustaz ternama selalu menasihati audien agar tidak membeli rakaman cetak rompak dari ceramah mereka. Mereka menyatakan bahawa Prihatin seharusnya mendapat royalti dari hasil kajian itu. Bahkan tidak mustahil setelah mereka cetak atau siarkan, ia bakal menjadi harta intelek mereka. Pembaca bimbang nanti Prihatin pula yang dikatakan mencedok dari mereka…

Insyaallah, Itu semua juga kami tidak kisah. Kami yakin ilmu hanya milik Allah dan tidak layak kita mengambil kredit samada dalam bentuk royalti atau bentuk apa jua sekalipun. Kami tidak sampai hati memaksa masyarakat membayar ilmu yang Allah kurnia itu kerana ia milik semua. Jika satu hari nanti kami dilarang menggunakan fakta cetusan kami sendiri, kami ada bukti tarikh publikasi awal kami di blog dan facebook. Bahkan syuro keluarga kami juga kami rakam. Terlalu mudah untuk membuktikan siapa cedok siapa.
Itulah hakikat Kajian & Pembangunan (R&D) yang sebenar. Kami cuba bangunkan hasil kajian kami sendiri untuk memastikan KEBENARAN & KEBERKESANANNYA. Bukan hasrat untuk kami menulis kitab atau membuat video yang bertujuan meraih royalti.

Ilmu Allah ini tidak boleh dijadikan hakmilik sendiri. Orang yang ikhlas akan menyatakan dari mana sumber hujahnya, terutama jika belum pernah dicerahkan oleh sesiapa sebelumnya. Penulis lain menamakan itu sebagai kredit. Tetapi bagi kami, itu bukan kredit kerana kami tidak mengharapkan kredit. Segala kredit milik Allah. Ia seharusnya dilakukan untuk memberi ruang bertalaqqi, agar pembaca boleh bersoal jawab jika ada kekeliruan. Itu satu dari banyak cara memelihara kesucian ilmu.

Dalam proses penjabaran ilmu ini, artikel kami hanya bersifat PERANTARAAN KALAM sahaja. Kami rasa ia lebih selamat untuk ditulis di blog kerana ia dalam bentuk ‘soft data’ yang boleh diperbaiki bila-bila masa jika ada keperluan. Ia sekadar cetusan yang mengocak minda dan menanam minat cintakan ilmu kepada semua untuk turut membaca dan mencerna.

BAHAYA MEMBUKUKAN AGAMA

Nabi telah jelas menetapkan agar tidak sewenang-wenang menulis kitab di lembaran kertas. Walaupun ramai yang mengatakan itu hadis lemah, namun kami dapat mengesan mengapa hadis ‘selemah’ itu dijadikan mukadimah naskah terjemahan alquran. Lebih meyakinkan kami apabila Allah sendiri memberi amaran yang sama dalam surah 2 Baqarah ayat 78. Kami nampak jelas impak kepada sesebuah buku yang dinamakan KITAB yang akhirnya dijadikan satu KETETAPAN oleh manusia. Itu bahaya kerana KETETAPAN hanya pada KITAB alQuran sahaja.

Sudah banyak kali kami nyatakan kami tidak berani melanggar perintah Allah dan rasul itu. Namun sampai hari ini masih ramai yang menghantar mesej bahkan diruang komen terbuka, masing-masing meminta agar kami bukukan semua cetusan artikel kami. Kami yakin amalan itu akan mematikan proses percambahan ilmu. Penjabaran penuh secara bertulis juga boleh membuatkan alquran dilupakan kerana ia akan membuatkan orang terus lompat kepada konklusi dan hilang minat mengkaji.

Jika kami langgar perintah itu maka penyakit masyarakat akan bertambah. Habit orang kita sekarang ialah malas mengkaji. Mereka hanya suka membaca (mengaji) dan menelan bulat-bulat apa yang dibaca. Allah dan Rasul sendiri minta kita guna akal dan wadah syuro untuk memikir dan meneliti segala sesuatu, sekalipun apa yang didengar dari mulut baginda. Para Imam besar kita turut memberi pesan yang sama, jangan bertaklid buta, jangan belajar HANYA dari perut buku/kertas.

Bagi kami, perlanggaran ini adalah punca jelas terjadinya terlalu banyak mazhab dan pecahan umat Islam waktu ini. Masing-masing mengambil perselisihan pendapat sebagai suatu yang negetif. Mereka menggunakannya sebagai satu ikutan yang membabi buta dengan menutup pintu rundingan dan toleransi dalam beragama. Nampak hebat sikit sahaja, terus kita lompat dan menolak yang lain buta-buta. Itulah jumud namanya.

Sebenarnya kita akan menjadi lebih hebat jika percanggahan pendapat itu kita ambil dengan cara positif. Jika kita ingin merejam syaitan, baca dulu dakyah atau regimnya. Jika kita ingin mengelak neraka, kenali sifat dan kondisi neraka itu dulu. Jika ingin menolak dakyah kristianiti contohnya, kita kena baca injil juga, kerana Kitab itu juga dari Allah asalnya. Tugas kita ialah mencari di mana espek penyelewengannya. Jangan harap kita akan mampu menolaknya jika kita sendiri masih bersangka-sangka. Ironinya kita mahu menolak Bible dengan alquran, tapi Quran dan Injil sendiri kita tidak suka baca dan kaji.

PERTIMBANGAN MENJILID MELALUI E-BOOK

Tidak dapat dinafikan artikel kami saling terkait antara satu dengan yang lain. Untuk memenuhi keperluan mereka yang ingin mengulangkaji, kami boleh terima permintaan mereka agar kami menjilid dan menyusun semula untuk memudahkan mereka membaca. InsyaAllah akan kami usahakan cadangan ini, samada kami susun chapter mengikut katagori di blog, atau dalam bentuk PDF dan e-book sahaja.

Apa yang kami harapkan untuk pembacaan khusus begini ialah, anda harus minta izin dan download ia secara berakad untuk mendapatkan keberkatannya. Berkat bermakna cukup dan bermanafaat kefahamannya. Sekurang-kurangnya kami kenal anda dan anda tahu di mana nak merujuk ketika mana ada kekeliruan di belakang hari nanti. Disitulah keberkatannya. Insyaallah jika kami sudah tiada, anak-anak kami akan mampu membantu pencerahan itu sedikit sebanyak. Tidaklah nanti pembaca teraba-raba.

POLISI BASMALAH UNTUK SEDEKAH ILMU

Ya memang ramai yang sanggup membayar harga buku dan bahan dakwah. Nabi bersabda “ASSOLAATUDDU’A”, “Solat itu Doa”. Doa bermakna seru. Bahan dan usahanya dipanggil dakwah. Penyerunya dipanggil Daie.

Allah pula berfirman “WASTA’INU BISSOBRI WASSOLAH. Minta tolonglah dengan sabar dan SOLAT”. Hakikatnya solat itu ialah satu proses TARBIAH yang sangat besar, satu kaedah PERHUBUNGAN kita dengan Allah. Ia adalah proses pemberian dan pencarian pertolongan melalui dapatan hidayah Allah. Masalah kita boleh selesai dengan melaksanakan hidayah itu.

Soalnya sekarang, di mana saja ada seruan solat, disitu Allah susul dengan seruan zakat. “AKIIMUSSSOLAH WA’ATUZZAKAH”. “Dirikan solat dan keluarkan zakat”. Di manakah falsafah di sebaliknya?

Jika anda nampak ada serba sedikit unsur kebenaran (siddiq) dari cetusan ilmu itu, jika anda rasa ia berguna dalam usaha dakwah atau penyelesaian masalah anda dan keluarga, maka pasti terdetik dihati untuk anda zahirkan nilaiannya. Untuk itu, terserah pada anda untuk membenarkan kebenaran dan keperluan ilmunya setulus hati anda dengan pemberian zakat atau sedekah (siddiq > sodaqoh).

Kita semua akur bahawa KEBENARAN dan KEBAIKAN hanya datang dari Allah. Kita selalu bayar tiket mahal untuk menonton teater atau konsert berdasarkan kehebatan artis atau kualiti persembahannya. Kita juga bayar yuran motivasi atau sedekah kepada penceramah agama yang kita hadiri mengikut kemampuan poket dan kelegaan hati kita selepas ceramah itu disampaikan.

Konsepnya sama saja. Cuma yang satu kita membenarkan (siddiq>sedekah) untuk program maksiat yang menjerumus kita ke jurang neraka. Yang satu lagi untuk membenarkan (siddiq>sedekah) program ilmu yang membawa kita kesyurga.

Terkait dengan hal itu, seruan kami biarlah sedekah IKHLAS anda nanti menjadi tanda anda benar-benar ingin membainatkan (to prove) pujian anda terhadap ungkapan SODAQOLLAH dan SODAQO-RASULULLAH, sebagaimana anda menyebutnya setiap kali usai membaca firman dan hadis. Itu pertanda anda merasa berterima kasih atas nikmat ilmu dan pedoman yang diperolehi darinya.

Mudah-mudahan sedekah anda akan melancarkan lagi pengembangan usaha R&D kami untuk kesinambungan pembangunan ummah seterusnya.

NILAIAN IKHLAS

Ikhlas bermaksud maksima (kholas) mengikut kemampuan diri dan penilaian ilmu yang anda perolehi. Founders RPWP telah melihat nikmat ilmu dan amal, lalu mereka mewakafkan SELURUH HARTA & DIRI. Ini adalah kerana mereka ingin menzahirkan nilaian kebenarannya melalui sedekah/wakaf/zakat mereka. Itu nilaian yang menunjukkan tahap kenikmatan yang mereka rasa. Ia terlalu bersifat peribadi, sangat bergantung kepada nilaian iman dan hati.

Jika dicetak dikertas, maka harganya menjadi tetap. Kaya miskin akan membayar dengan harga yang sama. Nanti akan ada orang yang tidak mampu namun sangat memerlukan ilmu tidak berpeluang merasa nikmatnya sama sekali. Itu pasti akan menyukarkan usaha menerapkan keadilan dalam sebaran ilmu Islam.

Ikhlas itu bermaksud, orang yang mampu bersedekah mengikut kemampuan. Ada orang bersedekah rm10 atau rm100 mendapat nilai ikhlas 100% kerana itu saja yang ada dalam poket dia. Tambahan pula jika mereka itu kurang noda dan dosa. Ada orang bayar rm1,000 tetapi tidak mendapat keberkatan ikhlas kerana dalam poketnya ada RM yang berjuta-juta. Apatah lagi jika mereka hidup resah gelisah kerana penuh dengan dosa dan noda. (sila baca QS: 9 At-taubah, 103)

Begitulah juga nilai syurga dan neraka. Kerosakan yang berlaku akibat dari kejahilan orang miskin mungkin bernilai RM100, tetapi kerosakan yang dapat diselamatkan dari secebis ilmu bagi orang kaya mungkin bernilai jutaan RM. Subhanallah.

Pencerahan dari
WARGA PRIHATIN.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *