Sains Haji 7: FALSAFAH AIR ZAMZAM

image_pdf
00 zamzam
Sains haji 7: FALSAFAH AIR ZAMZAM

Dari hentakan kaki Ismail a.s. seorang bayi yang masih minum susu ibu tadi mampu memancarkan banyak air untuk kegunaan masyarakat seantero dunia. Ia berlaku ketika ibunya Siti Hajar berlari lari bergegas mencari air untuk minumannya agar mampu menyusukan bayinya. Ia berlaku disaat mereka hanya bergantung kepada bantuan Allah dan malaikat semata mata tanpa kehadiran sebarang manusia.

Air zamzam ini tiada di tempat lain selain di Mekah tetapi airnya sampai ke seluruh dunia dari dahulu hingga kini tidak pernah berhenti. Inilah bukti kebesaran Allah yang tidak diceritakan kisahnya dalam quran, namun DIKEKALKAN IA UNTUK DILIHAT sendiri oleh manusia yang masih sangsi dengan kekuasaan Allah yang berkuasa membalas ketaatan manusia terhadap perintahNya. Mereka bertiga adalah ‘role model’ kita.

KEJADIAN ALAM SEBAGAI BERITA BESAR – MUKJIZAT KENABIAN

Banyak lagi perkara lain yang luarbiasa bahkan seolah olah mustahil diminda manusia yang telah berlaku zaman dahulu Allah ceritakan dalam Quran. Ramai manusia tidak mahu percaya kerana masing masing tidak pernah alaminya sendiri ATAU kerana tiada kesan dan penemuan yang mampu dicapai akal mereka. Ramai juga yang tidak percaya kerana tiada manusia perawi yang mampu meriwayatkan dengan tepat kejadian yang Allah telah ceritakan itu.

Kita lebih yakinkan cerita manusia dari nukilan Allah yang mencipta. Inilah yang terjadi kini, banyak hadis yang baik secara praktiknya, yang ada pengesahan fakta dalam quran pun kita tolak kerana kegagalan perawi yang memang sedari asal telah Nabi cegah menulis perawiannya. Sebaliknya, kerana malas berfikir, kita letak satu hukum yang ayat quran harus disahkan oleh perawian manusia sedangkan ianya telah disahkan oleh Rasulullah s.a.w. Akhirnya tidak banyak rahsia quran itu kita dapati, kebanyakkannya kita biarkan sampai mati kerana tidak jumpa kebenaran perawi.

Sebenarnya semua kejadian alam itu mudah sahaja bagi Allah yang MahaTahu di mana, bila dan bagaimana ia akan terjadi. Allah tunjukkan kuasa itu sekali sekala untuk menunjukkan kekuasaannya, untuk menundukkan ego manusia. Atas dasar itu jugalah, Allah kekalkan zam zam ini untuk disaksikan manusia yang menunaikan HAJI. Allah mahukan manusia berfikir segala HUJAH disebalik agamaNya dan menambah usaha dalam mengabdi diri kepadaNya.

Banyak peristiwa besar seperti ini menjadi penumbuk rusuk kepada kesombongan manusia yang suka memperkecilkan Tuhannya. Bila terjadi saja maka mengangalah manusia, beristighfarlah mereka, bertakbirlah dan berimanlah semuanya untuk seketika. Namun kebanyakkannya tidak ada guna, sudah terlambat. Itulah yang berlaku pada Fir’aun yang lemas di belahan laut. Itu juga nasib anak dan isteri Nabi Nuh a.s. yang dilanda Tsunami terbesar dahulu serta banyak lagi contoh-contoh seperti ini yang dikisahkan dalam alQuran sendiri.

Hari ini kita sendiri telah menyaksikan fenomena kuasa alam yang luarbiasa seumpama ini. Depan mata kita ada Tsunami yang memanjat bumi, ada belahan bumi ditengah laut, ada gempa bumi, ada gunung berapi, ada ribut taufan yang luarbiasa bahkan juga ura ura perlanggaran planet dengan bumi seperti yang dinukilkan dalam quran. Hari ini semuanya telah di kaji dengan ilmu yang berkaitan akan logiknya segala kejadian itu, namun macam biasa kita tetap tidak mahu beriman dan ingin lagi menunjukkan kuasa dan ego kita selagi tidak berlaku didepan mata.

ZAMZAM – MUKJIZAT YANG KEKAL DIZAHIRKAN

ZAMZAM ini juga adalah sebahagian dari kejadian alam yang sangat luarbiasa bagi kita. Tetapi ia terlalu mudah sahaja bagi Allah yang mencipta alam ini. Tugas kita yang jahil dan lemah ini ialah menjadikan ia satu petanda (bainat) yang mendorong keimanan. Ia telah dijadikan satu lagenda dan penunjuk BUKTI kekuasaan Allah s.w.t bagi seluruh umat manusia dari dulu hingga kini. Ya, ia masih ada lagi sebagai BUKTI, boleh dilihat dan dirasa di Masjidilharam itu bagi orang yang MAHU BERIMAN. Oleh itu, berhentilah memperkecilkan ketetapan apa saja dari Allah.

Inilah dalil tentang kekuasaan Allah yang Mahatahu bila dan di mana air dari telaga zamzam itu akan terpancar. Allah tahu mengapa dan ke mana Ibrahim a.s. harus menghantar isteri kesayangan dan bayinya itu. Allah ingin menunjukkan kepada manusia akan kuasa agung Allah itu sebagai reward kepada orang orang yang bertakwa dengan perintahnya. Dalam kes ini Allah khususkan untuk institusi ibu (Siti Hajar) dan anak (Ismail a.s.) yang patuh kepada suami dan bapanya (Ibrahim a.s.) yang telah mendapat wahyu.

Semua perintah dalam urusan ini hanya Allah hidayahkan kepada institusi bapa (Ibrahim a.s.) yang cukup gigih berusaha mencari tuhannya dan menolak KESEMUA BERHALA. Legasi keluarga inilah yang di enkripkan sebagai KIBLAT dalam ritual solat dan Haji kepada manusia Islam lainnya. Inilah motivasi para isteri agar galakkan suami pergi menuntut ilmu agama. Bila suami telah berilmu patuhilah arahannya selagi ia tidak kearah mungkar. InsyaAllah rumahtangga akan bahagia dan anak anak yang soleh akan tercipta untuk menjadi watan yang menggalang kepentingan agama dan negara.

FENOMENA MUTASYABIHAT & MUHKAMAT ZAMZAM

Sementara Siti Hajar bergegas mencari air meninggalkan anak, akhirnya Si Anak yang tertekan dan kehausan itu ikut berusaha secara semulajadi dengan segala kemampuan yang ada pada dirinya. Sudahnya ia mampu menghasilkan cetusan yang LUARBIASA dan tiada batasannya. Hentakan kaki Ismail a.s. itu satu analogi kepada gerak kerja dan usaha sekuat tenaga institusi anak yang taat dan mulia. Akhirnya mereka mampu mencetuskan air / ilmu terbaik yang tidak putus-putus dari perut bumi untuk kegunaan manusia zaman berzaman.

Pada sekitar tahun 1993, Ada kisah seorang Doktor di Mekah mengeluarkan kenyataan kononnya air zamzam adalah air terkotor kerana ia terletak di bawah sebuah lembah batu yang menakung segala kekotoran sanitasi penduduk Mekah itu sendiri. Selepas itu, beliau ditulah dengan kudis buta yang biasa saja namun tidak sembuh dengan segala macam ubat-ubatan dan hanya sembuh setelah beliau menggunakan air zamzam yang beliau cela.

Ada juga dikisahkan oleh penduduk Mekah bahawa air zamzam itu surut dan tidak menyentuh paip ketika kontraktor bukan Islam yang diamanahkan untuk melakukan kerja pembaikan telaga zamzam di Masjidilharam itu memasukkannya. Air itu hanya kembali setelah tangan orang Islam yang memasukkannya sendiri. Demikian Allah yang ghaib menunjukkan kuasanya bagi menunjukkan martabat mukjizat yang dianugerahkan kepada nabi kita untuk menjaga dan meyakininya.

Baiklah, jangan lihat pada sudut muhkamat saja. Mari kita kaji sudut mutasyabihatnya bagaimana fenomena telaga zamzam itu. Apa yang Doktor itu katakan nampak macam benar dari segi muhkamatnya. Masjidilharam itu terletak di lembah terendah Kota Mekah yang terletak di atas bongkah batu-batu yang sebahagiannya ditutup pasir sahaja sebelum ini. Lihat gambar tambahan di katagori Sains Haji di Blog kami. Batu dan pasir memang tidak menyerap air hujan melainkan hanya mampu menapisnya sahaja. Segala jenis air hujan dari langit yang turun bercampur air-air yang dibuang dari rumah-rumah yang tidak diuruskan sanitasinya akan meresap ke bawah lalu berkumpul di lembah terendah mengikuti graviti.

SECARA MUTASYABIHATNYA, AIR itu adalah analogi tentang cetusan ILMU. Batu di tempat tinggi ini analogi mereka yang berkedudukan tinggi namun berkepala batu. Pasir juga sifat manusia yang kita berikanlah apa-apa ilmu sekalipun, tetapi basahnya sebentar saja dan ia akan kembali kering. Orang Melayu kata ini ibarat ‘Daun Keladi’, tak guna siram air. Namun Si KEPALA BATU dan PASIR inilah LALUAN ILMU dan penuras air sehingga air itu menjadi tulin. Analoginya, kita tidak akan benar benar yakin akan hidayah Allah sehingga kita lihat bencana yang terhasil akibat kedegilan puak puak ini.

Sepertimana biasa, kerana cetusan itu dari orang di lembah yang hina dina maka akan dikatakan ia tidak suci oleh orang ternama dan besar kepala. Jika Allah tegaskan jangan izinkan Musyrik mendekati Masjidilharam kerana mereka itu najis (Surah 9, At-Taubah, 28) maka kami percaya kisah zamzam surut kerana kehadiran Musyrik itu BENAR, bahawa kisah musibah kudis buta pada Doktor itu juga BENAR secara prinsipnya.

KESIMPULAN

Dari kedegilan dan kelalaian manusia itulah, institusi anak mampu belajar banyak ilmu yang tidak putus-putus. Tugas kita hanya untuk mendedahkan sahaja kisah kebejatan orang batu di atas atau pasir di lembah sana. Soalan soalan dari mereka menampakkan keperluan pola fikir yang membuka matahati kita. Tidak boleh lagi kita duduk senang lenang dengan mengharapkan orang lain mengurus minda. Berapa banyak pelajaran kita ambil dari kebodohan dan kedegilan orang lain pada hari ini? Jika Nampak Mat Rempit, kita pun sama merempit maka kita tergolong dalam golongan BATU tadi. Tetapi jika Nampak orang merempit kita jadikan CETUSAN untuk berpendirian tak mahu ikut melakukannya, maka itulah cetusan zamzam secara mutasyabihatnya.

Sumber air yang sebenar ialah dari langit. Tetapi Zamzam bukan jenis air yang datang secara lansung dari langit (wahyu). Ia air yang keluar dari pengumpulan dibahagian lembah bumi secara graviti. Di lembah ini jugalah merupakan bahagian bumi yang tertekan dan diinjak-injak manusia. Air dari langit itu telah melalui pelbagai batu dan pasir, yang sudah masuk ke rumah manusia atasan dan dibuang semula. Ia lalu terkumpul di lembah dan membawa berbagai mineral dari laluannya. Oleh itu air zam zam dikenali dengan air yang mengandungi kandungan mineral paling tinggi. Rasanya juga agak sedikit kemasinan atau payau tidak tawar seperti air hujan yang segar. Kerana itu orang yang meminumnya mampu membina ketahanan dan mencegah banyak penyakit rohani maupun jasmani.

Secara mutasyabihatnya, air zam zam ini adalah ilmu dari cetusan manusia / ilmu sekunder / terbitan dari olahan pengumpulan air yang asalnya berupa hujan juga. Ilmu ini terbit dari cetusan segala permasalahan manusia. Jika manusia ini diciptakan dari tanah, maka secara analoginya, kebanyakkan kaedah penyelesaian masalah manusia ini adalah dari bahagian bumi yang di lembah. Dari analisa dan usaha gigih golongan marhaen yang sudah berada di keadaan paling bawah, yang sangat tertekan dan tertindas inilah pelajaran yang penuh berperisa (mineral) akan tercetus.

Masalah yang berlaku pada orang tua PENYEMBAH 3 BERHALA UTAMA waktu ini adalah kerana kejahilan atau kedegilan. Ia berpunca samada mereka tidak dapat air atau tidak mahu memegang air. Apabila keadaan sudah mencapai tahap maksimum, tidak mustahil anak anak kecil mampu berfurqon untuk memberi cetusan penyelesaian kepada masalah orang tua. Dalam isu zam zam ini, tatkala tiada manusia untuk memberi air, tatkala sang Ibu bergegas dan berusaha mencari air, Ismail a.s. memberikan cetusan untuk meringankan beban ibu. Air inilah menjadi penghilang dahaga juga sebagai UBAT paling berkesan bagi merawat penyakit sosial dalam keluarga dan seluruh masyarakat manusia.

Bagi seorang ibu, anak yang taat dan berakhlak mulia adalah penawar derita paling utama. Itulah dia Ismail a.s., model anak yang agung, yang telah Allah rangkumkan dalam HUJJAH disebalik KIBLAT manusia yang ingin menikmati hasil hidup dengan agamaNya. Kami berbangga dan sanjung tinggi golongan ibu yang merendah diri seperti Siti Hajar, yang dari golongan abdi ini.

Cetusan yang kami kongsikan ialah hasil kajian & pengalaman sepanjang perlaksanaan kami sendiri. Bagi yang masih baru dengan siri artikel kami dan lambat nak hadam, silakan buat ulangkaji dan bersoal jawablah dengan hikmah. InsyaAllah bukansaja team admin kami, bahkan ramai rakan Likers Prihatin yang berilmu dan dah ikuti artikel kami dari awal juga boleh membantu.

Bacalah dengan tenang. InsyaAllah kita jumpa pada artikel seterusnya tentang TAHLUL. Mengapa 3 helai rambut? Mengapa kita bergunting? Mengapa kita tak boleh gunting rambut, tidak boleh bersongkok atau berkepiah semasa ihram? Dan sebagainya.

Iqra dari
WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *