Sains Haji 10 – BERMALAM, KUTIP BATU & MELONTAR

image_pdf

00 jamrah-lama2.jpg bw

Sains Haji 10 – BERMALAM, KUTIP BATU & MELONTAR

Dalam wukuf kita telah mendapat penjelasan dengan cahaya yang terang di padang yang luas. Manusia seluruh pelusuk dunia dihimpun sebagaimana disatukan Adam dan Hawa.

Taklimat atau hujjah dalam khutbah tahunan tentang maklumat Islam sedunia itu menyedarkan kita dengan terang seterang mentari. Ia menuntut kita untuk reset semula minda melalui hujjah itu dan perbaiki (islah) polisi agama kita agar umat lebih maju mengatasi agama lain. Di situ juga dapat kita mengenalpasti apakah tindakan yang perlu mengikut acuan alQuran dan Sunnah sebagaimana diwasiatkan oleh Nabi dalam khutbah widak baginda SAW..

HASUTAN REGIM SYAITAN

Sepertimana biasa bilamana saja kita mendapat petunjuk dari Allah, syaitan juga akan mainkan peranannya untuk merasuk kita dengan pelbagai hasutan yang meragukan petunjuk itu.

Kalaupun syaitan gagal meragukan petunjuk, ia tetap akan mengganggu perjalanan kita dalam perlaksanaan yang mengikut acuan alquran dan sunnah. Itu tugas khusus syaitan kepada siapa saja yang akan melaksanakan seruan tuhannya. Oleh itu kita harus mampu merejam sebarang bisikan fahaman jahat (regim) syaitan itu dahulu apabila ingin sungguh-sungguh mengikuti jalan yang lurus.

Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah 16. An Nahl 98. “Apabila kamu membaca Al Quran hendaklah kamu meminta perlindungan dengan (hidayah) Allah dari regim jahat syaitan (yang terkutuk)”.

Ya, waktu membaca untuk mendapatkan hidayah Allah saja pun sudah diperintah untuk bertakwuz. Kerana hidayah itu pasti akan dicabar oleh regim syaitan tanpa kita sedar.

HAKIKAT GELAP MALAM & MENGUTIP BATU

Selepas wukuf kita akan bermalam di Muzdalifah mengutip batu, kemudian bermalam di Mina untuk melontar 3 jumrah. Kenapa mesti bermalam?

Kita harus melakukan perjalanan, sengaja bermalam di Muzdalifah untuk mengutip batu-batu kecil untuk digunakan melontar Jumrah di Mina. Tujuh biji batu-batu kecil itu ialah analogi kepada penelitian secara halus menurut polisi setiap 7 ayat Fatihah yang akan kita pegang kemas dalam mengikuti SEMUA perintah Allah.

Perjalanan kita khususnya dalam kegelapan malam itu adalah analogi situasi di mana kita harus mempersiapkan semua kemungkinan hasutan dari fahaman jahat syaitan ini. Oleh itu kita disunatkan membanyakkan zikir, talbiah dan solat malam. Amalan ini adalah supaya di samping dapat menguatkan hujah dan keyakinan atau azam kita, syaitan juga tidak dapat mencelah dari senggang waktu di mana kita mungkin terlalai.

Allah adalah cahaya dan menerangi kegelapan hati kita melalui cahaya kitabnya. Berwakilkan malaikat dan rasul-rasulNya, Allah berikan panduan, penerangan dan penjelasan kepada seluruh manusia. Syaitan pula memang sukakan kegelapan atau kesamaran. Apa yang jelas dan telah diterangkan oleh Allah pasti akan syaitan usahakan untuk menjadikan kita ragu-ragu dan samar samar.

Firman Allah di surah 2. Al Baqarah 257. “Allah Pelindung (wali – satu saja) orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (bingung) kepada cahaya (petunjuk). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya (auliyak – banyak) ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Umat berpecah kini kerana merujuk kepada terlalu banyak (auliyak) sumber sedangkan sudah ada SATU SIROOT dari Allah dan sudah dijelaskan oleh sunnah RasulNya. Kerana banyaknya rujukan yang memberi banyak fahaman itulah terhasilnya banyak SELISIH FAHAM. Inilah polisi “Iyyaka Nakbud Waiyyaka Nasta’iin”… “Ihdina al-Siroot al-Mustaqim” HANYA kepada Allah saja kita pohon hidayah yang lurus.

ANALOGI JUMRAH DAN TIGA BERHALA

Ketahuilah. Setiap hidayah dan azam kita akan pasti dicabar oleh syaitan yang menyediakan tiga sarana yang memberatkan hati dan tangan kita untuk tulus dan ikhlas melaksanakan perintah Allah. Tiga berhala itu ialah al-Latta (tahta), al-Manna (wanita) dan al-Uzza (harta). Itulah gambaran batu Jumrah, analogi kepada kedegilan dan kepala batu sikap kesyaitanan dalam diri manusia.

Ada di antara kita yang terhalang pengabdiannya kerana harta. Sebahagian lain mungkin kerana wanita, manakala ada juga yang kalah kerana pengagungan pangkat dan darjat. Itulah laba dunia yang sentiasa menjadi cabaran kepada pengabdian penuh kita kepada Allah.

Contohnya, seorang penceramah hebat, pemegang ijazah dan PhD yang dipuja puji manusia. Tiba-tiba diberi hujah yang tidak selari dengan fahaman atau ceramahnya. Sekalipun sudah nampak jelas kesilapan itu bercanggah dengan alquran dan sunnah, biasanya mereka tidak akan mengalah. Habis kitab dan rujukan manusia digali untuk mempertahankan hujjah sendiri. Biarpun dengan tahap kekuatan fakta yang tipis tetap akan digoreng semasak-masaknya untuk tujuan itu.

Ada juga penyebab perpecahan bilamana individu terkenal ini telah mengumpul banyak pengikut. Kalaupun idola tadi sudah mengalah, pengikut pula bersilat. Ironinya pengikut terkadang lebih sudu dari kuah.

Berhala besar kita juga boleh datang dari wanita. Institusi Ibrahim yang lumpuh masa ini dikenalpasti menjadi punca kegagalan rumahtangga dan negara. Jelas hukum Allah dilanggar tapi tidak mampu bertegas kerana suami yang takutkan isteri. Contohnya bila anak tidak menutup aurat, anak melakukan maksiat, bahkan isteri sendiri nusyuz juga terpaksa dibiarkan hanya kerana kehilangan kuasa dan ketegasan institusi Ibrahim (suami/bapa).

Berhala harta rasanya tidak perlu dijelaskan. Berapa ramai kita yang terhalang pengabdiannya kerana keterlaluan cintakan harta. Yang Allah larang kita langgar kerana tamakkan harta. Yang Allah perintah kita tinggalkan kerana sayangkan harta.

HAKIKAT GAYA MELONTAR

Orang jahil kita siram air. Lembut sedikit bunyinya. Itu sifat nabi bila berhadapan dengan orang yang jahil dan tidak mengetahui.

Melontar ini bukan untuk si jahil, tapi si degil dan banyak takwil, terlalu banyak alasan.

Syaitan itu bukan jahil, dia sudah tahu tapi tetap tidak mahu. Jadi ia harus direjam dengan gaya rejam tanpa kasihan. Kalau dalam pertuturan dan penulisan ia harus menampakkan ketegasan. Dari sudut negara, ia harus diperangi. Tiada tolak ansur lagi. Itu cara menangani syaitan.

Setelah tiada gangguan syaitan ini barulah kita boleh mencukur kepala dalam Nafar Awal (Rujuk Falsafah Tahlul). InsyaAllah mudah kita melakukan Tawaf dan tahlul Haji dan kembali ke tempat masing-masing untuk melaksana dikalangan keluarga dan negara.

Jelaslah sekarang bahawa apa saja rukun dan wajib haji itu tiada satupun yang terlepas dari unsur HUJJAH & ILMU. Itulah batu timbangan kita yang bakal menumpaskan KEPALA BATU atau kedegilan Syaitan dan regimnya. Itulah dia HAJI dan HUJJAH.

Cetusan iqra
WARGA PRIHATIN

2 Comments

  1. Fatimah

    Saya ternampak persamaan tiang obselick dgn tiang melontar. Tiang ni dikatakan sebagai Salah satu simbol dajjal. Sy yakin ia ada kaitan dan Allah nk sampaikan sesuatu, tp sy x tahu macam mn nk tafsirnya. Mungkin tuan boleh beri pencerahannya. Tk

    Reply
  2. Marhamah

    berapa byk batu yang kita kena kutip untuk sidegil.. adakah perlu ikut pengalaman atau nas alquran atau nafsu sendiri? terima kasih

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *