Saiful Nang Travelog Haji – 2

image_pdf
00 tl2
Saiful Nang Travelog Haji – Hari Ke-2

Penulisan pena travelog saya teruskan. Dalam hati masih terasa bahang panas dalam hati yang dipendam dan tidak dikeluarkan. Perangai petugas Arab yang malas bekerja dalam urusan Muassasah yang menguruskan bas dari Jeddah ke Mekah menyebabkan kami terpaksa menunggu tanpa sebarang pembayang berapa lamakah lagi kami akan terus menunggu. Pertukaran syif jam 11 malam, maka tiada passport yang mereka mahu proses sekitar satu jam sebelum 11 malam itu.

Mereka tidaklah sibuk sangat, mereka menjalankan kerja itu sambil lewa dengan telefon bimbit sentiasa di telinga berbual dan ketawa tanpa rasa bersalah mebiarkan tetamu-tetamu Allah yang sudah sangat uzur terbiar.

Akhirnya, dari jam 6 petang kami mendarat di Jeddah, ketibaan kami di Mekah disambut dek azan Subuh. Dalam kepenatan itu, saya hanya sempat meletak beg di bilik sementara dan terus bersiap untuk mengerjakan umrah dalam rangka haji Tamattuk saya.

Padang tawaf sudah berubah kini. Mataf bertingkat yang dibina oleh jurutera-jurutera Malaysia telah tersedia bagi mereka yang menggunakan kerusi roda dan juga yang mempunyai keuzuran. Saya perhatikan, bagaimanakah manusia dari seluruh dunia mempraktiskan pelbagai kepercayaan mereka. Mengucup batu Hajarulaswad itu hanya sunat sahaja, tetapi mereka sanggup melakukan yang haram dengan sengaja. Hari ini, beberapa kali saya disiku, dipijak kaki dan diasak oleh sekumpulan Jemaah Indonesia yang menggunakan cara bulldozer (bertautan tangan bahu membahu dan menolak sesiapa sahaja di laluan mereka).

Saya terkuis keluar dari kekerasan lapangan tawaf lalu saya bertawaf di bahagian terluar sekali agar saya tidak menjadi sasaran mereka. Dalam hati, saya tak mampu menipu diri sendiri, adakah ini Islam? Atau Islamnya telah luput? Jika Islam, mengapa sampai jadi begitu sekali. Mengapa tiada kasih sayang? Mengapa perlu tolak menolak?

Sebelum masuk mengerjakan Saie, saya mengambil nafas sedikit berdiri dan memerhatikan gelagat manusia di lapangan tawaf itu. Di situ, saya belajar bahawa dalam pengembaraan mencari Tuhan di Bumi Anbia ini, saya melihat banyak perkara telah lari maksud utamanya walaupun ritual masih berjalan terus seperti dahulu. Jika dahulu haji mampu menyatukan manusia, hari ini haji di hadapan mata saya mampu membunuh tanpa ada rasa kasihan.

Usai Saie saya segera bertahlul dan terus meninggalkan Masjidilharam melalui pintu menghadap masjid baru. 150 meter dari pintu itu, sebuah papan iklan gergasi terpampang akan pembangunan masa hadapan Kota Mekah. Menakjubkan, akan banyak lagi pencakar langit, banyak lagi hotel mewah, banyak lagi kawasan bersejarah akan diroboh.

Semasa saya melalui tapak rumah Saidina Umar Al-Khattab r.a saya tersentap, ia dibangunkan menjadi sebuah hotel mewah. Kawasan hotel murah di sisi kawasan Saie telah bersih dirobohkan. Semua akan dibangunkan menjadi hotel mewah. Saya bertanya dalam diri sendiri, adakah satu hari nanti, haji itu hanya layak untuk orang yang sangat kaya sahaja? Adakah wukuf nanti akan menghimpunkan orang-orang kaya seluruh dunia?

Saya masih lagi mencari, di mana silapnya sehingga Islam pada hari ini dinilai dari angka yang mereka miliki dalam akaun bank dan bukan pada adab yang membentuk peradaban.

Salam haji

7 Okt 2013
Mekah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *