Saiful Nang Travelog Haji – 1

image_pdf

00 tl1

Buat sahabat-sahabatku di kampung. Catatan travelog saya di sini.

Malam semalam, saya diraikan dengan keraian penuh rasa kekeluargaan. Keluarga kandung saya dan juga keluarga saya di Rumah Pengasih Warga Prihatin meraikannya secara sederhana sahaja. Sempat juga jumpa rakan facebook Warga Prihatin yang agak aktif sekali, Abu Zafirah. Majlis dimeriahkan juga dengan kehadiran rakan-rakan sekerja, rakan kongsi yang sebahagian mereka baru pertama kali mengenali “shareholder” syarikat mereka iaitu anak-anak yatim dan asnaf RPWP.

Tahlil dipimpin oleh Anakanda Nik Harraz Nik Mat dan bacaan doa selamat dipimpin oleh Anakanda Haziq Amri Baharuddin. Apa lagi yang saya mahukan dari anak-anak ini selain dari doa mereka mengiringi saya.

Semasa memberikan ucapan, hati jadi sebak. Di hadapan saya ialah sahabat-sahabat saya yang sama-sama berlumpur dan bersimen membangunkan rumah ini sejak 8 tahun lalu. Sahabat itu juga yang basah bersama-sama semasa ribut yang menerbangkan kepingan zink yang kami pasang dan masih belum sempat kami pakukan dengan lengkap. Di hadapan juga sahabat yang menggalang ribut itu dengan badan sendiri memegang kepingan zink yang sedang berkibas-kibas ditiup angin kencang sebelum suara jeritan beliau didengari oleh sahabat lain yang membantu. Suasana pilu, kerana sahabat ini yang saya jumpainya setiap hari bakal saya tinggalkan selama sebulan. Bukannya tidak biasa pergi ke luar Negara, tetapi perjalanan kali ini tidak sama langsung dengan perjalanan yang lain. Perjalanan ini ialah perjalanan mencari Tuhan.

Majlis ringkas itu berakhir dengan solawat dan marhaban mengiringi saya dan keluarga ke kereta kami. Saat itu hati sayu melihat dari jendela kereta yang saya pandu. Mereka melambai dan saya bakal berjumpa lagi dengan mereka lebih kurang dalam 1 bulan lagi.

Pagi ini, saya dihantar oleh bapa dan keluarga saya ke Kompleks Tabung Haji. Saya tiada masalah, tetapi saya ingatkan mereka bahawa saya hanya seorang petugas musim ini. Tak perlulah ada bunga manggar, tak perlu ada tepung tawar, tak perlulah berkompang. Cukup sekadar menghantar saya sahaja dan mendoakanlah semuanya akan baik sahaja.

Anak, isteri, adik-adik, bapa dan ibu tiri saya menghantar sahaja. Walaupun mereka mahu menunggu, saya rasa itu bukan idea yang baik. Saya bukan seperti Jemaah haji yang lain yang pergi memasuki ruang perlepasan dengan lambaian. Semasa mereka masuk di ruang perlepasan, saya sudah berada di merata-rata tempat untuk merakamkan foto-foto Jemaah haji. Dalam hati rasa bersalah, tetapi saya minta ampun banyak-banyak kepada keluarga saya kerana saya bukan seperti yang lain. Sekiranya mereka tunggupun, takut saya tak terlayan dan tiba-tiba hilang dalam melaksana tugas tanpa sempat melampai selamat tinggal.

Penerbangan dengan Kapten Rosli agak berlainan. Kali pertama menaiki pesawat dengan pengumuman kapten yang membuat seluruh penumpang tak kering gusi. Tetapi keadaan berubah setelah mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Jeddah. Proses dan sistem imigrasi mereka ternyata tidak pernah berubah semenjak dahulu. Kemasukan mengikut pesawat demi pesawat. Jika pesawat sebelum kami ada 1 jemaah yang masih tersangkut, keseluruhan pesawat kami perlu menunggu.

Kesabaran mula tercabar ketika ini. Penantian sangat lama dengan tempat menunggu di lapangan terbang yang khusus untuk jemaah haji. Lapangan terbang itu dari pesawat kelihatan sangat gah dan tersergam indah malangnya tidak pada sistemnya. Kelihatan beberapa kelibat Jemaah tua yang Nampak seperti bermasalah. Arab oh Arab, mereka tak pernah berubah. Dalam umrah yang lalu, sampai saya bertengkar dengan pegawai immigresen di Riyadh kerana menyuruh saya keluar dari pesawat hanya kerana kesilapan cetakan tiket sedangkan rombongan saya yang lain masih ada di dalam pesawat. Selepas meninggikan suara dengan bahasa Inggeris yang agak “berabuk” itu, beliau baru belajar bercakap dengan baik.

Di sini, kami tidak dilayan seperti Jemaah ataupun tetamu Allah. Kami semua dilayan seperti kambing yang mahu masuk ke kandang. Cara pengendali haji memujuk kami hanyalah dengan menetapkan dalam hati dan tubuh yang berihram yang itu semua adalah ujian Allah kepada tetamunya. Tetapi, apakan daya kerana salah satu kesalahan undang-undang juga jika mengkritik pegawai-pegawai mereka ini. Sebab itu barangkali, mereka tak pernah menjadi lebih baik. Mereka hanya seperti Anjing-Anjing yang mengejar kambing biri-biri untuk masuk ke kandang.

Sehebat manapun mereka, peranan dalam cerita ini ialah mereka tetap anjing. Tetapi yang malangnya ialah kami yang jadi seperti kambing biri-biri yang dihalau dan terpaksa mengikut anjing-anjing itu. Saya mengurut dada untuk bersabar kerana di sisi Allah, baiklah jadi kambing biri-biri dari jadi anjing yang najis.

Jauh di sudut hati, saya sedih apabila warga emas selayaknya berpangkat ibu dan bapa saya diherdik oleh mereka ini. Tiada kemanusiaan, tiada penghormatan apabila mereka merasakan mereka adalah golongan pewaris nabi. Tanpa sedar, mereka lupa bahawa Nabi diutus kepada bangsa mereka kerena bangsa mereka adalah bangsa paling teruk atas muka bumi pada ketika itu. Mereka juga lupa, mereka telah kembali kepada perangai jahilliyah mereka sedang diri masih merasa maksum yang tak sudah.

Perjalanan bersambung lagi menuju ke Mekah. Tunggu sahaja sambungan semasa dalam perjalanan ke Mekah nanti. Apa lagilah cabaran yang bakal dilalui nanti.

SAIFUL NANG
6 Okt 2013

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *