PUNCA GEJALA APABILA ABAL HAKAM (BAPA) DAH HILANG HUKUM

image_pdf
00 abal hakam.jpg B

 

PUNCA GEJALA APABILA ABAL HAKAM (BAPA) DAH HILANG HUKUM

Suami ialah pemimpin dan Abal Hakam dalam sebuah keluarga. Bengkok lelaki, bengkok juga isterinya maka bengkok juga anak-anaknya. Ingat, Mat Saleh panggil pemimpin ini RULER. Bila terjemah dalam bahasa Melayu ia bermaksud Pemimpin dan boleh juga PEMBARIS kan? Itulah juga fungsi Abal Hakam yang membawa isteri dan anak-anak ke jalan yang lurus yang diredhai Allah.

Pada saat artikel ini kami tulis, kami lihat satu trend yang sangat menyakitkan hati. Universiti dipenuhi anak-anak perempuan. Ramai anak lelaki kita sedang mendominasikan jalanraya dengan kerjaya “Mat Rempit” mereka. Yang ada disekolah pun sedang direkrut oleh kongsi gelap sehingga Polis kena masuk Sekolah semula. Ramai sekali dilonggok di pusat-pusat pemulihan narkotik, penjara atau terhoyong hayang di kaki lima.

Sebahagian sahaja yang terselamat untuk sampai ke universiti. Itupun, jika dibandingkan dengan pencapaian pelajar perempuan, masih lagi yang lelaki keciciran. Sampaikan ketua Platun ROTU pun dipilih dari pelajar wanita. Yang jantan sikit dah mengaruk pulak, terikut ikut trend SAWAN demonstrasi dan berpolitik sana sini. Belum lagi masuk golongan JENTAYU, yang susah nak diharapkan KEJANTANANnya.

Apabila masuk ke alam pekerjaan, wanita lebih komited dengan kerja dan banyak juga yang mampu sehingga ke peringkat kepimpinan. Di manakah Lelaki yang sepatutnya menjadi Abal Hakam.? Ramainya meneruskan sikap malas dan ke arah rasuah dan penipuan dalam kerja.

Itulah fenomena yang menjadi salah satu sebab utama mengapa Si Isteri terpaksa bekerja. Kerana Si Lelaki dalam spesis PEMALAS. Sama macam Pak Belalang yang kerjanya tidur sahaja. Anaknya pula yang kena mencari nafkah. Tidak hairanlah Si Isteri lebih Berjaya dalam kerjaya berbanding Si Suami. Ini semua SYNDROME yang semakin menjadi jadi.

SUAMI ROMANTIK, BUKAN TEGAS

Ini MENJADI IDAMAN SEMUA WANITA. Katanya, Nabi juga romantik dengan isteri-isterinya. Hadis tentang Nabi memanggil Siti Aisyah dengan panggilan manja Umaira (Pipi kemerahan) sangat popular di kalangan wanita. Tetapi tidak pula popular hadis yang menunjukkan ketegasan Nabi Muhammad S.A.W. semasa Siti Aisyah ketinggalan rombongan pulang dari medan perang kerana tercicir seutas kalung. Sudahnya, Siti Aisyah RA pulang ‘menumpang kenderaan’ lelaki lain. Hanya kerana itu Nabi tak bertegur dengan Siti Aisyah, diriwayatkan sehingga lebih 3 bulan, ada yang kata 40 hari.

Tetapi Hadis Tentang KETEGASAN NABI Ini Sangatlah TIDAK POPULAR kerana ia tidak menggembirakan hati isteri-isteri yang sedang membaca artikel ini sekarang. Begitu sekali tegasnya Nabi terhadap isteri yang baginda sangat cintai. Anak nisak Nabi sendiri disuruh masuk bilik bila ada lelaki buta datang bertandang, padahal sibuta tak nampak pun anak Nabi..! Bagaimanapula suami/ayah hari ini? Boleh pula dengan yakin tanpa cemburu dan SENTIASA FIKIR POSITIF tanpa sekelumit prejudis membenarkan isteri dan anaknya ditumpangi rakan lelaki. Kononnya mereka sepejabat dan nak memudahkan urusan.

Satu lagi ayat Al-Quran yang paling menarik hati wanita ialah apabila Nabi Muhammad s.a.w. dikatakan memasak. Tetapi dalam ayat itu, Nabi MEMASAK DI DALAM BILIK TIDUR baginda. Bagaimana pula memasak di bilik tidur? Masakan apa yang nabi sedang masak? Ya baginda memasak hidangan ilmu, Al-Ma’idah. Ada penjelasannya bukan? tetapi ramai wanita suka sahaja untuk tidak dengar penjelasan, sebaliknya memegang firman Allah itu bagi membenarkan dan memaksa suami turun sama-sama ke dapur memotong bawang, mengupas telur, memanak nasi. Kalau betul nak ikut sunnah, kenapa tidak dimasak sahaja di dalam bilik tidur?

Gejolak api yang besarpun bermula dengan sepercik api sahaja. Lelaki dan perempuan ibarat petrol dan api. Bagi mengelakkan kedua-duanya saling menyambar dan membakar, hanya ada satu cara sahaja iaitu MENJAUHKANNYA. Allah sendiri pesan, Jauhi zina dan bukannya jangan berzina. ‘Hampir’ sahajapun dah Allah tegah, kalau dah sampai terlanjur tu, silalah bawa-bawa pakai kain kapan siap-siap. Suami jenis ini juga tergolong dalam pasukan lelaki DAYUS.

SUAMI HILANG FUNGSI

Prinsip orang yang memimpin biasanya dilebihkan dan ditinggikan oleh Allah. Jika khalifah Islam itu Allah tinggikan ilmu dan amalnya. Jika pemimpin keluarga pula, Allah tinggikan juga ilmu dan amalnya. Tetapi jika Si Isteri yang lebih berilmu dan beramal sementara yang lelaki lebih suka tidur dan tengok bola, wajarlah berlaku CONFLICT OF LEADERSHIP. Secara semulajadi, apabila seseorang mempunyai kelebihan akan mula wujud satu dominan. Dan dominasi itu adalah punca Queen Control. Queen control berpunca dari King yang lembik dan dayus, maaf cakap kadangkala BACUL.

Semalam kami keluarkan artikel tentang isteri bekerjaya. Ramai juga yang naik darah katanya kami berat sebelah. Mari kami beritahu terus terang. Artikel manakah dalam dunia ini yang mampu merangkum segala sudut isu? Ada yang marah-marah katanya kami sexist dan suka menyalahkan wanita sahaja dan lelaki tak pula kena usik.

KAABAH ITU KIBLAT PENENTU POLISI KELUARGA IBRAHIM

Mari kita sorot uswah nabi-nabi. Kita ni tak sempurna, dan nabi sudah tunjuk cara mereka berbuat. Kehebatan Ismail A.S disebabkan didikan oleh Siti Hajar. Kehebatan Siti Hajar datang dari pendirian keatas ilmu Nabi Ibrahim AS. Jangan pertikaikan mengapa kami ambil contoh ini. Inilah LEGASI KELUARGA yang Allah abadikan dalam Islam melalui falsafah qiblat. Semuanya telah kami terangkan dalam falsafah haji, malangnya tak ramai yang minat baca artikel ilmiah. Jika nak koreksi keluarga, lihat contoh mereka dan kiblatkanlah polisi keluarga mengikut contoh dan aturan mereka.

Inilah masalah terbesar banyak unit institusi keluarga dalam Negara kita. Umumnya dalam kalangan umat Islam sendiri. Ramai isteri kini jadi KING dan suami jadi QUEEN dalam rumahtangga. Suami mulai malas apabila isteri menjadi rajin dan berdikari.

Di Universiti tempatan sahaja, peratusan antara lelaki dan wanita sangat membimbangkan. Wanita lebih ramai dan lebih komited dalam segala hal. Wajarnya, mereka yang komited begini akan diberikan segala jenis peluang seperti company trip, kenaikan pangkat dan banyak lagi. Sudahnya, Si Suami yang malas itu akan menjadi inferior apabila isterinya berpendapatan dan berpangkat lebih tinggi darinya. Wanita jadi pemimpin ni berlawanan dengan fitrah, tapi bagi kita dah jadi lumrah. Sampai Muftipun nak lantik dari kalangan wanita.

Berapa ramai hari ini perceraian berlaku disebabkan suami gagal menyara kehidupan keluarganya. Suami tak mampu kuasai isteri dan tak mampu kuasai anak-anak. Itulah sebenarnya DAYUS.

ABAL HAKAM MEMASUKKAN BUKAN MUHRIM KE DALAM RUMAH.

Paling mudah dan paling tipikal sekali ialah apabila suami yang patutnya menjadi Abal Hakam mengizinkan pula orang gaji untuk berada dalam rumah. Itu tak termasuk lagi tukang kebun, pemandu, hatta adik beradik ipar duai sekalipun. Ini turut menyebabkan kekacauan dalam pengaturan hukum. Dah ada ramai orang dalam satu keluarga, perkara seterusnya ialah kekacauan sistem rumahtangga yang telah terlalu ramai ahlinya yang tak termaktub dalam aturan Abal Hakam pun.

Tolong jangan cabar kami jika kami katakan terlalu banyak kes abang ipar yang meniduri adik ipar, suami meniduri maid, rakan suami meniduri isteri dan lain lain suka sama suka. Sedangkan kes ayah rogol anak sendiri, abang rogol adik sendiri pun sudah berlambak. Semua itu kerana DAJAL yang melihat sebelah mata saja larangan ALLAH. Semua itu kerana sikap DAYUS Sang Abal Hakam.

HASIL ISTERI TADBIRAN SUAMI

Kami petik hartawan Khadijah r.a. yang melabur leburkan semua hartanya itu kepada suaminya dengan sukarela dan penuh keimanan. Itu kerana beliau tahu suaminya adalah seorang al-Amin yang amanah. Itu bukan untuk BMW nabi, tapi untuk urusan ALLAH.

Ada juga yang cepat melatah semalam kerana tidak setuju dengan perkara ini. Habis segala ceramah ustaz dikaitkannya. Padahal ada juga kaum ibu yang ceritakan pengalaman dan pesan ibu ayah mereka yang mengatakan nak beli jarum sebatang pun kena minta izin suami, sekalipun dengan duit gaji sendiri. Bagi kami inilah contoh isteri yang terbaik, kerana datang dari keluarga yang Abal Hakamnya sangat hebat dan berprinsip. Namun hujungnya masih kabur juga.

Perkara ini agak sedikit komplikated kerana ada ‘nasah dan mansuh’nya. Konsep Nasah dan mansuh pun ramai orang tidak tahu. Sebab itu membaca Quran dan Hadis pun akan keliru jika tak baca keseluruhannya. Iaitu melihat dalam dua perspektif, satu sudut mengesahkan, satu sudut memansuhkan. Contohnya prinsip yang MENGESAHKAN bahawa segala yang berlaku, biarpun gugurnya sehelai daun itu “Allah tahu, kehendak Allah belaka.”, Satu sudut lagi MEMANSUHKAN statement pertama, Allah kata Allah tidak akan ubah Nasib suatu kaum melainkan “kaum itu sendiri mengubahnya”.

Selepas akad nikah, isteri dan segala yang ada pada isteri adalah di bawah tadbiran penuh seorang suami. Dalam masa yang sama juga, seorang suami yang bermaruah tidak makan hasil dari isteri kecuali dengan kesedaran isteri yang menyerahkannya dengan sukarela dan kasih sayang, terutama untuk urusan JIHAD Sang Suami, bukan kegunaan peribadi.

Apapun, kuasa pentadbiran tetap ada pada suami. Jika Si Isteri berniat nak kepit sahaja pendapatan mereka, apa yang suami boleh lakukan dan ia sah di sisi undang-undang Allah ialah dengan MENARIK BALIK KEIZINAN BEKERJA kepada isterinya. Anda ambil alih semua kos rumahtangga sebagai suami yang bermaruah dan mengikut perintah ALLAH. Si isteri pula, apapun alasannya, apabila sudah dititah oleh suami untuk berhenti kerja, maka berhentilah tanpa dakwa dakwi lagi.

Kita cerita soal hukum itu dan ini, tapi ramainya suami sendiri yang suruh isteri bekerja,… ermmm sedih!

KONFLIK PENGATURAN DENGAN MERTUA

Itu juga menjadi salah satu tajuk yang utama isu perceraian. Yang betulnya, jika telah bernikah sahaja maka semua tanggungjawab beralih kepada Si Suaminya. Hormati dan sayangi MERTUA tanpa syak lagi, tetapi jangan sampai mereka pula yang mengatur dan mencatur hidup dalam rumahtangga.

Isteri itu macam kanak-kanak juga, bila suami tak setuju nanti dia akan pandang ibu bapa dia pula. Bila ibu bapa tak setuju dia pandang suami pula. Hujungnya cuma nak ambik keputusan yang mereka mahukan sahaja. Konflik ini membuatkan semua isi rumah akan keliru, yang mana satu adalah pengatur sebenarnya. Adakah neneknya? Atuknya? Atau Sang Suami / Bapa?. Suami pula akan hilang kuasa dalam rumahtangga. Akan berlakulah fenomena apabila isteri meminta izin kepada suami dan suami tidak izinkan, nanti mereka minta dari ibu bapa mereka pula. Maka syndrome campurtangan kuasa rumahtangga ini akan berpindah generasilah jawabnya.

Kita hanya baca kisah nabi yang indah indah saja. Tahu tak nabi juga hadapi masalah pada wanita? Ingat-ingat sedikit cerita tentang Abu Bakar Assiddiq yang memukul kepalanya sehingga berdarah kerana bengang Siti Aisyah r.a berbicara biadab terhadap baginda dengan memepertikaikan kononnya “Nabi (suaminya) sedang perasan yang baginda itu seorang rasul”. Itu sahaja yang mampu Abu Bakar Assiddiq lakukan dan tidak boleh langsung Abu Bakar masuk campur dalam urusan itu. Padahal beliau ingin campurtangan kerana ingin mempertahankan Nabi s.a.w., baguskan tu? Tapi tetap Nabi s.a.w. halangnya.

Hormati dan sayangilah mertua, tapi jangan izinkan mereka campuri urusan pengaturan rumahtangga anda. Sang Isteri pula janganlah suka mengadu domba. Rob anda, pendidik dan pengatur anda adalah suami anda. Syurga neraka, susah senang dan redha Allah untuk anda ada di situ.

ABAL HAKAM SENDIRI BERMASALAH

Mengajar anak ketam berjalan memanglah tak mungkin berhasil. Begitu juga hal dengan Abal Hakam / bapa yang menyuruh anaknya berbuat kebaikan tetapi mereka sendiri melupakan diri mereka sendiri. Contoh paling biasa ialah bapa yang melarang anaknya menghisap rokok tetapi diri mereka sendiripun masih berkepul-kepul saban hari. Ini perkara asas juga yang semua perlu ambil kira. Pasti ada kelebihan lain pada anda jika anak anda mampu melakukannya.

Ada juga bapa yang berselingkuh, berkaraoke, berparti liar, hobi gila-gila, berkeliaran sana sini, anak siap terserempak bapa bersama girlfriend lagi, tetapi mahukan anaknya menjadi sebaik Malaikat. Tak mungkin acuannya bulat hasilnya menjadi bersegi. Jika pembaris dah bengkok, apa sahaja yang dilukiskan dengan pembaris itu juga tidak akan lurus.

Terlalu ramai isteri tertipu dengan lenggok suami. Terlalu banyak kes suami yang selengkoh, simpan gundik, ada afair atau ada bini baru sekalipun akan berperangai sangat rajin dan romantik. Yang lazim sekali ialah bila suami memang tak kerja dan hidup atas hasil isteri. Jadi suri rumah jaga anak dan masak saja. Atau suami yang nak pinjam kredit kad isteri, ada udang sebalik batu sebenarnya. Sebab suami yang baik di sisi Allah bukan begitu.

Bagi Warga Prihatin, mereka suka suami yang tegas. Kami tercabar jika sampai suami ke dapur ambil air sendiri untuk minum kerana kelalaian kami melayan pulangnya mereka. Sang suami pula rasa tercabar jika isteri kena ambil tangga panjat siling untuk tukar mentol. Yang lain tu anda fikirlah sendiri

SOAL POLIGAMI pun banyak menyakitkan hati, ini akan kami cerita nanti. Ramai isteri tertipu dengan poligami ni. Tidak pasal-pasal Allah dan Rasul kena caci gara-gara Poligami. Padahal kita yang tak betul.

DAYUS TIDAK MENCIUM BAU SYURGA.

Berapa ramaikah lelaki dayus sedang bersenang lenang tanpa ada rasa bersalah dan berdosa?. Ada lelaki yang warak dengan solat yang tak pernah ditinggalkan tetapi membiarkan isteri dan anak mereka keluar dari rumah tanpa MENUTUP AURAT DENGAN SEMPURNA. Isteri pula menjawab, memang bidang tugasnya untuk bergaya dengan dandanan rambut yang menarik dan berkebaya ketat sampaikan Si Lembu yang meragut rumput di tepi jalan pun boleh terangsang. Suami yang ranggi jangan ceritalah.!

Berapa ramaikan lelaki dayus yang tak mampu bertegas dengan isteri mereka sendiri.? Sanggup mereka pikul dosa-dosa dari Allah semata-mata memenuhi nafsu isterinya yang mahu melaram menayangkan aurat-auratnya. Suami buat apa? Suami senyap sahaja kononnya isteri mereka BELUM SAMPAI SERU lagi…!

SERU DAH LAMA SAMPAI DALAM AL-QURAN. Cuma sengaja mereka tak mahu membaca seruan yang telah diturunkan lebih 1400 tahun lalu lagi. Inilah Abal Hakam yang dah hilang hukumnya dan itulah juga SUAMI DAYUS. Padahal MAHAR paling utama dari seorang suami ialah al-Quran itu sendiri, itulah seruannya.

Itu belum lagi masuk isu si DAYUS yang melihat saja anak gadisnya balik lewat, kadang tu tak balik lansung, siap terserampak anak daranya di GONGGONG Mat Rempit lagi. Semuanya nak harapkan isteri yang memang jika suami sudah begitu, pastinya kekentalan iman isteri pun jauh lagi lemahnya. Tau tau video lucah anak bersepah di internet. Bayi anak tersumbat di lubang tandas.

ABAL HAKAM PERLU BERHATI KERING

Abal Hakam itu satu tanggungjawab, dan sebagai Abal Hakam kita mesti berhati kering. Jika tidak, kita akan selalulah kalah dengan pujuk rayu dan berkompromi dengan kebejatan di hadapan mata di kalangan isteri dan anak-anak. Lihat bagaimana ayahanda kepada Sultan Mehmet al-Fateh melayan baginda sewaktu kecil? Bagaimana seorang ahli istana kena hidup sengsara dulu atas matalamat pendidikan dan membina jatidiri sehingga mampu memimpin tentera untuk menawan Constantinople pada umur 18 tahun. Lihat bagaimana Sulaiman a.s. yang ikut Nabi Daud a.s. perang sejak kecil sehingga mampu memimpin pada umur 9 tahun.

Nabi Ibrahim tu hati keringlah tu sampai boleh dapat anak seorang nabi. Mahu tidaknya, dahlah baginda berhati kering tinggalkan Siti Hajar bersama Ismail yang masih kecil di padang pasir, tiba-tiba kembali semula selepas Ismail A.S sudah besar hanya untuk menyembelih anaknya (peristiwa Qurban). Datang lagi suruh pula Ismail ceraikan isterinya. Tapi semua itu anak dan isteri baginda patuh saja, mengapa?

Itulah contoh dari Ayahanda utama agama kita Nabi Ibrahim. ‘No favour no fear’ jika bercakap soal hukum dan prinsip dalam melaksanakan titah Allah. Nauzubillah, banyak kan sudut yang menunjukkan kedayusan seorang suami? Tak mencium bau syurga untuk lelaki-lelaki dayus ini. Neraka dunia, ‘the living hell” pun dah jelas hasil dayus.

ABAL HAKAM TAK MENGHUKUM DAN TAK MENGHUDUD

HUDUD dalam bahasa Arab bermaksud BATAS. Seorang suami perlu mengenalkan batas- batas ‘boundaries & limitation’ kepada isteri dan anak-anak mereka.

Masalahnya suami sendiri pun tak endah langsung tentang halal haram, tentang kerja dan gaji. Tanpa batasan ini anak-anak akan terbiar dan brutal. Isteri pula boleh main cilok-cilok bertemu janji malah melakukan “projek maksiat” lagi bersama rakan pejabat, pelanggan mahupun majikan. Apa nak ditakutkan? Asalkan makan dan pakai cukup, yang lain semuanya OK sahaja. Berapa ramaikah antara kita sudahpun memperkenalkan had-had atau hudud ini dari rumahtangga lagi?

HATI-HATI DENGAN SUAMI YANG ROMANTIK.! Tambahan jika ia berlaku dengan sekali sekala atau tiba-tiba. Biasanya ada udang sebalik batu. Kajian kami mendapati, KEBANYAKAN suami yang tiba-tiba berubah menjadi penyayang mungkin memiliki affair atau ada masalah lain di luar. Samalah juga dengan perangai anak yang tetiba buang tabiat begini. Adalah salah buat dia di mana mana. Romantik mereka kepada isteri mereka itu menjadi satu ketenangan pada diri beliau sendiri, atau nak senangkan hati isteri supaya tidak ganggu projek mereka. Sayang-sayang cik abang sayang, baiknya abang tolong potong bawang, rupanya dah ada cawangan sayang baru cik abang…!

Apa yang kita mahu jarang sama dengan apa yang Allah mahukan. Allah beri apa yang kita perlukan melalui aturannya. Kita hari ini memilih untuk ambil sebahagian dan tinggalkan sebahagian hanya kerana kita ikut apa yang kita suka sahaja, bukan apa yang kita PERLU.

KESEMUA PERKATA DI ATAS PUNCA GEJALA QUEEN CONTROL

Apabila seorang wanita sudah turun menyingsing lengan dan mendapat pendapatan lebih dari suaminya, wajarnya isteri akan mula menjadi dominan dan itulah QUEEN CONTROL. Apabila queen control berlaku, nasib suami dan juga anak tergantung atas budi bicara isteri. Itu sangat dayus.

Deduksinya, cubalah kembali kepada fitrah yang LELAKI mampu menjadi suami yang berprinsip Islam dan berpendirian. Sang Isteri pula terus menerus mencari jalan mendidik anak menjadi yang terbaik. Barulah ‘output’nya nanti merupakan anak-anak yang terhebat melangkaui generasi. InsyaAllah.

Ini hanya cetusan dan perkongsian, bukan ketetapan. NAK CARI KETETAPAN, RUJUK ALQURAN. Jika anda rasa baik, sila pakai, jika tidak, anda bebas ikut cara sendiri, syurga neraka itu hasil kerjabuat kita sendiri.

Hidup ini hanya sekali. Jika boleh sekali kawin kami tak mahu kawin lagi dan lagi dan lagi selagi isteri pertama kami hidup lagi. Kami malu dengan tok kadhi dan anak isteri kami. Kami sendiri nak cuba ikut cara Allah dan Rasul sepenuh penuhnya kerana kami ingin sangat merasai nikmat yang mereka telah rasai.

Cetusan
WARGA PRIHATIN

2 Comments

  1. zue

    Ilmu yang bermanfaat..perlu disebarkan..terbaik!!!

    Reply
  2. lyn

    Tq!

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *