Budaya Islamik JAWA Beraya

image_pdf

BUDAYA JAWA BERAYA

Wak Kobri menghulur tangan, menggenggam erat tangan Pengetua RPWP Dr Hj Masjuki. Sambutan hangat yang mengikat jiwa.
Wak Kobri menghulur tangan, menggenggam erat tangan Pengetua RPWP Dr Hj Masjuki. Sambutan hangat yang mengikat jiwa.

Orang Jawa beraya SATU BULAN SYAWAL PENUH. Bukan kerana mereka ini kaki raya sangat pun tetapi budaya sebegitu  telahpun ada sejak turun temurun lagi. Tertib beraya pada Minggu-minggu Syawal amalan  Orang Jawa yang anda perlu tahu.

Pertama : Anak dan cucu pulang melawat Orang tua mereka.

Kedua : Orang tua yang dilawati cucu dan anak akan ke rumah ibu bapa mereka pula

Ketiga : Pangkat-pangkat atuk akan mula menziarah moyang-moyang pangkat ibu bapa mereka atau ibu bapa saudara mereka.
Keempat : Atuk nenek & moyang mula menziarah sesame beradik dan sepupu yang masih hidup.

Kaedah beraya cara ini kami rasakan sangat santai dan meresap di jiwa. Tidak sangat menyantap makanan sewaktu beraya, kadang kala hanya secawan teh `O’ sahaja dan bersembang sejam dengan air kosong itu. Tidak kalut dan hiruk pikuk seperti budaya yang berlaku di bandar-bandar kini. Memang sajian di rumah terbuka agak istimewa, tapi mustahil kita dapat merungkai silatulrahim secara peribadi dan mendalam jika dalam beberapa jam tuan rumah terpaksa melayan ribuan yang hadir.

JAWA SG PELEK

Dakapan erat, seerat kasih sayang dan kemesraan hidup bersaudara.
Dakapan erat, seerat kasih sayang dan kemesraan hidup bersaudara.

4 bulan lagi, cukup setahun kami bercawangan di Kampung Ulu Teris, Sungai Pelek Sepang. Keberadaan kami di sana lebih hangat diterima atas dasar persaudaraan yang sangat intim walaupun baru 8 bulan bersama mereka. Satu kampung Jawa yang uswah silaturrahimnya perlu diambil contoh oleh semua lapisan masyarakat. Kami sudah 8 tahun di Kajang dan berada dalam sebuah kampung yang agak moden, tetapi keintiman 8 bulan di Kampung Ulu Teris lebih hangat berbanding yang sudah 8 tahun. Bukannya kami nak buat perbandingan dengan sengaja, tetapi bukankah baik jika kita mampu jadi bersaudara dari hanya berjiran.

BARAAN RAYA

Baraan raya atau dalam bahasa Melayunya ialah ziarah raya dari rumah ke rumah saudara mara, jiran tetangga SECARA BERKUMPULAN itu seakan diambil alih dengan kehebatan program-program khas raya di televisyen, ipad, smartphone, game, PSP atau setidak-tidaknya hanya suka tidur sahaja di hari raya. Di Kampung Jawa, usai sahaja solat Raya, masing-masing akan kembali ke rumah masing-masing untuk anak dan isteri bersalaman dan bermaaf-maafan. Biasanya selepas itu terus mereka berkumpul semula dengan kumpulan motosikal dan kereta untuk menziarah satu persatu rumah ahli qariah Masjid. Mereka berselawat dan bertakbir di setiap rumah. Bukan untuk makan sangat pun, tetapi itulah kemeriahan RAYA JAWA. Ya, Kampung Jawa disatukan qariahnya dengan aktiviti Masjid. Dari ziarah menziarahi itu pula mereka mengenali lebih dalam siapakah ahli keluarga rakan-rakan mereka yang lain.

Di kampung Jawa, Jika seorang kanak-kanak melintas di hadapan rumah pun mereka kenal siapa ibu bapa mereka. Ditegurnya budak itu dan jika mencurigakan terus ditelefon sahaja orang tua mereka. Dengan baraan itu mereka kenal mengenal, dengan masjid itu mereka bersahabat dan keseluruhan keluarga mereka dengan keluarga yang lain saling jaga menjaga.

Kemesraan yang terpapar sewaktu bergambar kenangan beramai ramai sebelum anak-anak berangkat pulang.
Kemesraan yang terpapar sewaktu bergambar kenangan beramai ramai sebelum anak-anak berangkat pulang.

ORANG JAWA BERSAUDARA / SEDULUR

Bukan nak rasis, tetapi Jawa juga sebahagian dari komponen kaum dalam keseluruhan Bangsa Melayu Nusantara sejak ratusan tahun dahulu lagi. Melayu agak sinonim dengan Islam. Hatta, Wali Songo juga kebanyakannya adalah orang Jawa. Mereka mampu bersatu atas dasarnya Agama Islam. Mengambil konsep Islam yang bersaudara, Orang Jawa benar-benar mempraktiskannya alam sistem hidup mereka dalam komuniti kampung. Mereka merantau seluruh Nusantara dan mereka BERSATU. Bersatunya mereka atas persaudaraan sangat kami kagumi. Dalam pemerhatian kami, jarang ada sebuah kampung Jawa yang mempunyai 2 puak besar. Untuk Kampung Ulu Teris, mereka sepakat menyokong PAS dan hampir keseluruhan mereka menyokong PAS walaupun tanpa dikempen. Satu hal yang kami perhatikan, walaupun ada yang tidak menyokong PAS, namun mereka tidak lansung dilihat fanatik dalam politik, masih bertegur sapa,  bekerjasama & bergotong royong. Hanya satu kesepakatan yang mereka persetujui melalui konsep sedulur / persaudaraan.

Itu agak mirip dengan apa yang telah kami kongsikan sebelum ini tentang Orang Cina. Mereka merantau dan mereka asalnya tidak kuat kerana bilangan mereka yang sedikit. Apa yang membuatkan mereka hebat ialah kerana solidarity mereka yang bersatu dalam apa jua urusan. Sehinggakan tanpa apa-apa kempen yang mega, Orang Cina boleh secara solid berhijrah dari menyokong BN kepada DAP. Jika orang Cina ada institusi Persatuannya, Orang Jawa ada institusi Masjidnya (sebenarnya Orang Islam seluruhnya pun ada institusi Masjid cuma orang Jawa kami perhatikan lebih aktif).

Gambaran Kemesraan yang tulus.
Gambaran Kemesraan yang tulus.

Di situ anda boleh lihat bagaimana institusi Masjid orang Jawa menjadi wadah perpaduan dan mencari penyelesaian. Rumah kami di Kampung Ulu Teris juga sering menjadi topik perbincangan ahli qariah masjid. Mereka prihatin dengan keberadaan kami di sana.

Dalam keraian Hari Raya itu sendiri kita mampu lihat kemuafakatan mereka. Hari raya kali ini hanya sebagai pembuka bicara untuk kita mengenali budaya orang Jawa yang positif yang sepatutnya dicontohi oleh yang lain juga. Bukan nak kata suku kaum lain tidak bagus, cuma kami kisahkan untuk menunjukkan sisi baik suku kaum ini. Kami juga percaya setiap suku kaum ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Bukan sekadar hanya di Kampung Ulu Teris, kami telah menjalankan pemerhatian dan kajian sendiri dari komuniti Jawa di Johor (Rengit & Panchor), Selangor (Kampung Bukit Kerayong, Parit Mahang, Jaya Setia, Meru dan banyak lagi) dan kami mperhatikan struktur social mereka sangat mengutamakan kemuafakatan. Menurut Wak Sanip Haji Sirat, Pak Bilal Kampung Bukit Kerayong mengatakan Orang Jawa menjadikan masjid pusat komuniti sosial mereka. Seakan-akan semua yang menetap dikampung itu mampu dikenali setiap satunya dengan menghadirkan diri bersolat Jemaah di masjid qariah mereka.

Ketua Kampung Ulu Teris, Tuan Haji Sobirin yang kami temui dalam majlis hari raya yang berlangsung Sabtu lalu menyatakan yang mereka menjadi SANGAT mesra dengan anak-anak di Rumah Pengasih Warga Prihatin dengan cepat sekali kerana mereka datang ke masjid setiap waktu Maghrib dan Isya.

Tuan Haji Sobirin yang mesra di panggil Wak Sobirin menyatakan yang Orang Jawa mengutamakan tetamu melebihi diri mereka sendiri. Kegembiraan tetamu adalah satu yang mengembirakan Tuan Rumah. Majlis mereka ringkas tetapi yang membuatkan kita tak lupa adalah layanan sedulur (persaudaraan) mereka sendiri. Alhamdulillah, itulah juga budaya yang kami terapkan di RPWP sejak dulu.

Menurut sebahagian kami di sini yang juga dari suku Jawa, jika tetamu (Dayoh) datang bertamu, segala makanan yang sedap-sedap dimasak. Kita yang jadi anak-anak ni pun terkulat-kulat tengok tin-tin sardin yang dah kosong sedangkan kita menunggu bila nak dimasak. Sekali mak ayah masak untuk tetamu. Sebab itu jugalah, ada tips jika bertandang ke rumah Orang Jawa, jangan habiskan lauk dihidang. Kerana anak-anak mereka biasanya tidak diasingkan dahulu. Sehingga begitu sekali orang Jawa menghormati tetamu melebihi anak sendiri.

Masjid Ar-Raudhah, Kampung Ulu Teris yang dibina atas tanah yang diwakafkan, dengan kos kira-kira RM300,000 berdasarkan perkongsian setiap ahli qariahnya yang terdiri dari 98% Orang Jawa. Berada di kampung ini merasakan kami teringat kemesraan komuniti zaman dahulu yang telah hilang diambil alih dek facebook, twitter, ipad, game, psp, tv dan lain-lain lagi. Kampung sekecil itu yang kurang dari 300 keluarga di dalamnya juga mampu untuk membina masjid yang indah tanpa bantuan dari kerajaan.

Program hari raya kami di sana juga sangat meriah dan dijayakan sepenuhnya oleh anak-anak qariah sendiri.

BUDAYA REWANG DAN SYARIKAT

Semasa berada dalam keraian yang mereka buat sempena hari raya ini, kami dapat rasakan semula satu budaya yang telah mati iaitu budaya REWANG. Kami sangat rindukan suasana begitu. Tiada katering dan tiada pelayan berbayar sebaliknya semua dilakukan oleh orang kampung dan anak-anak mereka.

Dalam rewang juga, seorang lelaki diperhatikan oleh ibu dan bapa yang mempunyai anak gadis sebagai satu profiling. Ada yang malas memang jarang-jarang Nampak dalam kenduri ataupun jika adapun hanya berlakon seperti bekerja tetapi tidak sebenar-benarnya bekerja. Si Lelaki pula boleh lihat calon-calon isteri ataupun calon ibu bapa mertua mereka.

Apapun, rewang ialah satu budaya yang kian dilupakan kini. Jiran sebelah menyebelah pun kadangkala kita tak bertegur dan tidak pula kita kenali. Seperti ada Tembok Besar China (Great Wall) yang memisahkan antara rumah teres yang berkongsi dinding yang sama dengan jiran.

Itu tidak lagi masuk Sistem Syarikat yang mereka amalkan. Contohnya jika ada 100 buah rumah dalam satu kampung. Setiap rumah akan menyumbangkan RM100 (biasanya yang KAYA akan beri lebih), bahan makanan mentah dll keperluan setiap seorang setiap kali ada keramaian  atau kenduri kendara seperti perkahwinan atau majlis bercukur jambul. Mudah bukan? Sekiranya hari ini kami mahu menjalankan sebuah kenduri, sudah tetap ada RM10,000 untuk kami belanjakan dengan sistem syarikat ini. Bagi yang tak menyumbang, akan hilang kelayakan mereka untuk mendapat kemudahan begitu. Bukan setakat itu, kuali, periuk juga pinggan mangkuk, khemah kanopi, meja, kerusi semua itu tak perlu disewa kerana telah ada dengan sistem syarikat itu.

Kebersamaan ini juga memupuk kemuafakatan sehingga beberapa orang dari kami juga dahulu semasa nak ke universiti dahulu mendapat bantuan sehingga wang terkumpul sampai ke angka RM5000 keseluruhannya. Pada mereka, hari ini hari mereka, lain kali mungkin hari kita pula.

Masih ada banyak baki yang mahu diceritakan tentang Orang Jawa. Jika sebelum ini kami coretkan sebuah artikel dengan tajuk Raya yang Hilang tapi kali ini selepas kami berkunjung ke Kampung Ulu Teris, Sepang malam Sabtu lalu, kami bolehlah katakan Raya itu masih belum hilang. Sekurang-kurangnya kami mampu rasakannya di Kampung Orang Jawa ini.

BERAT UNTUK MENUTUP CAWANGAN SG PELEK

Nampaknya niat kami untuk menutup cawangan di Sg Pelek terpaksa dipertimbangkan semula walaupun Kos pengurusan dan pengangkutan terlalu tinggi. Tambah pula kami tidak maklum bahawa rumah yang diwakafkan masih ada lebih RM100,000 baki hutang lagi. Apapun kami Tidak sampai hati melihat pengharapan yang tinggi penduduk di sana terhadap anak anak kami. Baik di peringkat sekolah rendah, sekolah agama, mahupun menengah, Anak-anak RPWP telah menjadi uswah akhlak anak-anak di sana.  MEREKA istiqomah mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah, mengaji, bertuisyen. Semuga Allah berikan kami kekuatan untuk meneruskan apa yang telah kami mulakan di sana.

Yang ingin kami ketengahkan ialah budaya beraya yang bersifat Islamik dari masyarakat JAWA ini, bukan Bangsanya.

Kesuwon kabeh!

Salam sedulur untuk semua.
WARGA PRIHATIN

 

9 thoughts on “Budaya Islamik JAWA Beraya”

  1. saya juga anak Jawa walaupun x fasih berbahasa jawa…mmg ada kelainan terutama waktu yg muda memohon ampun dan maaf dari yg tua…cara duduk dan tertibnya nampak sesungguhnya yg tua diutamakan dan dihormati…

  2. Alhamdulillah.enek sing weroh. Nek iso guyup kabeh ummah muslimin kan yho apik..ukhwah & sillaturrahmi selawase.

    Kesuwon admin

    Nizam (pak yam)
    Persatuan Anak Jawa Selangor.

  3. REWANG & KEJUBUS
    SAMBATAN
    MANGAN RA MANGAN PADA NGUMPUL
    SUSAH KEPENAK DILAKONI BARENG-BARENG
    MUNJUNG
    BARA’AN
    MUYI & PUPUTAN
    BANCA’AN

    Ini antara adat kebiasaan Jawa yang masih di kekalkan di kalangan orang-orang Jawa Malaysia

  4. Semoga tradisi ini terus dipelihara dan dikekalkan oleh golongan masyarakat masa kini. Men budoyo seng apik terus dadi cekelan anak2 waris kito.

    Seni Pelita
    Admin – JAWIL (Jawa Kuala Lumpur)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *