Kita Semua Sama Saja – Satukanlah kelebihan

image_pdf

Kami adalah saintis, golongan PENYELIDIK & PEMBANGUN (R&D), bukan orang politik dan tidak berminat sama sekali menyertai politik, berpolitik dan jauh sekali untuk politiking.

DI SAAT kita baru selesai berpuasa, konon nak kembali fitrah (jadi patut/wajar) sebagai insan MUSLIM yang bersaudara, sama-sama beraya dan bermaaf maafan, entah apa maksud tujuannya, ramai pula yang hantar mesej minta Warga Prihatin dedahkan video DS Najib, DS Rosmah dan beberapa pak menteri menyanyi & menari dalam majlis sambutan hari raya sesama mereka.

Penyanyi berambut panjang berbaju Melayu tanpa songkok (tabiat berpakaian yang paling kami benci di RPWP) dengan Lagu “Aku Anak Kampung” yang didendang dalam klip itu menarik juga.


Kami berterima kasih atas KESUDIAN anda yang prihatin untuk merujuk KES itu kepada kami yang jahil dan kerdil ini. Itu menunjukkan yang anda ada sedikit kepercayaan dan harapan kepada kami untuk menimbang & mengenengahkan situasi masyarakat kita. Kami kembalikan kesyukuran itu kepada Allah, ALHAMDULILLAH.

Kami mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi seruan anda untuk upload atau share video itu. Ini bukan bermakna kami menyokong aktiviti itu. Kami ada cara kami yang tersendiri untuk membantu penyelesaian kepada apa yang anda lihat sebagai berleluasanya GEJALA hiburan di kalangan pemimpin ini. Betul kata anda, hiburan berlebihan akan melalaikan dan kelalaian akan membawa celaka.

Apapun, izinkan kami kongsikan sedikit mengenai usul anda itu seperti berikut.

FENOMENA UMUM

Falsafah di sebalik kajian yang murni ialah untuk tidak memasukkan unsur asing yang boleh mempengaruhi hasil kajian. Ini menjadi pencemaran dalam proses R&D. Dalam hal ini unsur itu ialah sikap prejudis, sakit hati dan berat sebelah.

Secara tepatnya, pasangkan niat dan hala tujuan R&D anda dengan penuh berprinsip, iaitu meletakkan usaha itu atas NAMA ALLAH, dengan mengguna methodologi yang Allah ajarkan. Insyaallah hasilnya akan sangat sejahtera (SALAM). – rujuk artikel Sains Fatihah #1 dalam artikel kami sebelum ini di www.prihatin.net.my

ISU MENYANYI, MENARI DI MAJLIS?

Dengan bukti di foto hiasan yang kami paparkan dan dengan berbagai-bagai gambar & video yang diupload untuk tujuan menfitnah oleh PARA PENCACAI kedua2 belah pihak, rasanya sangat jelas. Anda tahu semua mereka pernah terlibat.

FOKUS KHUSUS

Ingin kami senaraikan beberapa fakta untuk anda sendiri belajar berfikir dan menilai. Tarik nafas, beristighfar dan berbasmallah sebelum menilai semuanya. Pasangkan niat menganalisa atas NAMA ALLAH, bukan atas nama pemimpin, individu & parti.

•          Video yang dikirimkan menunjukkan PM dan isterinya menyanyi dan menari dalam sebuah majlis yang dirakamkan di Sri Perdana. Majlis itu dihadiri oleh kenalan rapat PM dan juga keluarga. Sekali sekala seperti kita melepas gian berkaraoke dalam majlis kahwin anak beranak kita juga. Cuma kerana beliau ialah PM, maka semua yang dibuat menjadi perhatian umum

•          Semua orang marah, mengutuk dan mengaitkan DS Rosmah yang tidak bertudung. Kami dapat input dari pihak dalaman yang PM sedar tentang kewajipan beliau dan telah menasihati isterinya agar menutup aurat. Namun  masih belum seruan itu disambut oleh Datin Seri Rosmah sendiri.

•    DS Najib sedar, rakyat marah, mengutuk, menghina isteri beliau dalam hal ini. Ini salah satu kelemahan beliau.

•    Kami  mengajak anda bersimpati dengan DS NAJIB, turut menghargai & jika boleh cari jalan untuk membantu usaha beliau. Ini satu petanda baik yang harus kita bantu atas Nama Allah. Malah ramai lagi suami yang mengalami delema begini.

•          Datuk Seri Najib seperti yang kami karangkan sebelum ini merupakan seorang yang berpendidikan tinggi tetapi kekurangan beliau ialah kurang berdamping dengan masyarakat marhaen secara telus. Jika beliau turun padang, atau dalam majlis yang merakyat di Sri Perdana sekalipun, semua dikekang dengan pelbagai protokol yang rigid. Di pejabat apatah lagi. Insyaallah keadaan ini akan berubah sedikit masa lagi. Tunggulah.

•          PM masih merasa Negara ini aman dan semua rakyat dalam sejahtera kerana pandangan beliau tidak tembus dan telus. Pandangan beliau harus lebih merata dan fokus ke dasar masyarakat. Kitalah yang harus main peranan memberikan gambaran sebenar itu.

•          Keterbatasan pendidikan agama juga mungkin menjadi sebab PM dilihat pro kepada hiburan-hiburan seperti PSY, K-Pop dan konsert-konsert hiburan dalam memenangi hati pengundi. Pada kami, itu satu kejahilan beliau dan seharusnya penasihat-penasihat Agama di sekeliling beliau mampu memberikan jalan-jalan lebih baik dari itu.

•          Walaubagaimanapun, dari iqra kami sendiri melihat PM yang kelihatan telah terpesong itu benar-benar sedang mencari jalan kembali. Masalah besar beliau ialah tidak ramai yang mahu tampil membantu dengan ikhlas dan telus, atau hanya ada di kalangan orang yang bekerja di bawah pentadbiran beliau saja  yang dalam keadaan separuh gementar sekali sekala cuba membantu. Malah barangkali, beliau sendiri tidak sedar itu adalah satu masalah.  Nah, sekali lagi ini juga menjadi tanggungjawab bersama.

•          Masalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pula bermula dari isu pemecatan beliau dan beliau disumbat ke dalam penjara katanya atas konspirasi politik. Maka bermula satu legasi yang mengangkat beliau menjadi ikon keadilan yang memperjuangkan keadilan untuk diri beliau dan mahu membersihkan sistem kehakiman Negara.

•          Walaubagaimanapun, DSAI pernah satu ketika dulu (zaman ABIM) mengharamkan nyanyian, sekalipun lagu patriotik negara, sampai sanggup pijak bendera – sekarang apa sudah jadi?  Di sana sini kita lihat beliau menyanyi sekarang.

– Dulu DSAI juga tak pakai baju yahudi, kot & tali leher ni, begitu lama beliau bertahan dengan baju putih walaupun sudah jadi menteri pelajaran, pertanian dll tetapi sekarang apa sudah jadi? Mana lebih buruk, orang yang berkata menyanyi haram lalu ikut menyanyi atau orang yang jahil menyanyi? Jadi mari sama sama kita ingatkan DSAI, kembalikan ketegasan prinsip hidup beliau yang dahulu. Kami kesian dia.

•      Dulu DSAI bersenang wenang dengan PINK FORM, guna duit sebanyak mungkin dari KEMARUK SAHAM zaman itu. Syarikat RM2 digunakan untuk menjadikan kroni beliau kaya raya, Alhamdulillah. Namun anda tahukah berapa ramai yang hancur dengan kemewahan itu? Berapa banyak wang diguna untuk maksiat, malah merasuah jawatan?

–    kami ada bukti hidup, cuma tidak berminat untuk mendedahkan aib ini. Jadi jangan sewenang2 taksub dengan TUDINGAN rasuah dari orang yang kita tidak tahu juga sejarahnya.

–    Menjadi tugas kita untuk menyedarkan semua, bahawa rasuah menjahanamkan negara. Ironinya, Masyarakat juga masih laparkan rasuah dari pemimpin, kerana itu kita juga terlibat mencipta pemimpin berasuah. Ini berlaku di kedua belah pihak. Juga banyak bukti hidup.

•      Anak isteri DS Anwar sudah bertudung, Alhamdulillah, kami juga sama, sangat gembira dan sejuk hati melihatnya.

– Soalnya: mana lebih teruk, orang yang masih jahil, tidak bertudung menyanyi dengan orang yang sudah bertudung menyanyi & menari di khalayak ramai?

– Satu hal lagi ialah apabila wanita bertudung mula berceramah sana sini, mula menunjuk memek muka dan lontaran kata yang tidak wajar.

– Bukannya nak katakan yang tak bertudung itu lebih baik, tetapi kita nak perlihatkan bagaimana pula persepsi terhadap Islam bila yang pakai tudung menari meliang liut tubuh diperhatikan orang, itu adalah satu yang tidak wajar dan menimbulkan fitnah.

– Jadi tugas kita untuk menasihati DSAI agar yang sudah baik di kekalkan dan cari jalan untuk mengelakkan fitnah.

•      DSAI nampak Islamik dan fasih membaca quran. Alhamdulillah

– TAPI mengapa  biarkan beliau 3 beranak bersama DS Dr. Wan Azizah dan anak perempuannya Nurul Izzah (yang sedang menari di gambar hiasan itu) kesemuanya menjadi pemimpin tertinggi dalam parti? Tidakkah anda fikir ada suatu yang tidak kena? Sedarkah kita berdasarkan hudud, di mana harus duduknya wanita muslimah? Siapa lebih layak memimpin, lelaki atau wanita?

– Nah ini juga tugas kita untuk menasihati DSAI dan keluarganya. Sedih juga melihat anak isteri beliau terpaksa keluar siang malam, berhimpit dalam sesak manusia, sampai terpaksa di dakap oleh `bodyguard’,  bersalam sana sini tidak kita siapa, berceramah sana sini hingga menimbulkan fitnah seorang muslimah. Mereka seharusnya berada di rumah menjalankan tanggungjawab seorang isteri dan ibu. ITU SAJA KEWAJIBAN MUSLIMAH yang ditetapkan alQur’an dan Sunnah.

– Bagi yang membenci DSAI pula sedarlah, DSAI banyak jasa merencana & membangun banyak institusi Islam sewaktu beliau menjadi menteri pelajaran, bersama Tg Razaleigh, Tun Musa Hitam dll – penubuhan UIA contohnya. Itu kehebatan beliau yang harus kita hargai. Cuma DSAI juga manusia biasa, hanya dengan berjemaah & saling menasihati dengan penuh semangat persaudaraan saja yang boleh menjamin kebaikan.

•      BAGI anda yang terlalu fanatik dengan ber`idolakan politikus & parti, KAMI HARAP hentikanlah. (idol dalam Bahasa Inggeris, Melayunya kita panggil Pujaan atau Sembahan), mari kita ubah sentimen itu, gantikan segala unsur TAKSUB yang asobiyah dan pecah belah kepada unsur TAUHID yang berasal dari kata SATU dan MENYATUKAN dalam polafikir dan setiap saranan kita. NOTA:

– Salah seorang dari jemaah kami yang kecil ini pernah BERSAMA seorang pemimpin tinggi PKR semasa bertanding sebagai MPP di universiti atas tiket PMI. Beliau adalah seorang Juara Pidato Antara Universiti tajaan PAS. Setelah sekian lama dalam PAS, beliau ikut ‘bos AKA idola’ beliau yang melompat ke dalam UMNO. Lepas itu ikut pula DS Anwar dalam PKR. Mendengar ucapan mereka anda akan telan semuanya kerana mereka ada bakat. Hati2lah dengan idola yang pandai berkata-kata begini.

– Berapa ramai yang berbudayakan lompat parti sana sini, termasuk menubuh pelbagai parti baru dengan berbagai maksud. Mengapa kita masih mahu fanatik lagi? Ingatlah sentimen parti membawa pecah, pisah -partitioned.

• Terlalu banyak fakta yang kami tidak sanggup keluarkan takut anda semakin pening. Fitnah semakin menjadi-jadi.

• Dalam mesej yang kami terima ditanyakan, “ke mana Mufti kerajaan yang tidak menasihati PM yang menyanyi dalam video itu bersama isteri, menghabiskan wang rakyat saja”. ?  pihak 1 lagi pula kata, “Ke mana TGNA, TGHA dan begitu ramai alimin dalam Majlis Dewan Ulamak PAS, mengapa tidak nasihatkan DS Anwar & keluarganya ini”. ?

• Kerana itu kita rumuskan MEREKA SEMUANYA SAMA SAHAJA. Kita yang berpecah-belah, yang tidak meneliti dan terlalu fanatik ini menjadikan mereka berbeza.

FOKUS UMUM

Kami sayang kesemua mereka DAN menyayangi anda semua juga. Masing masing kita ada kelemahan, kekurangan dan kelebihan. Masing-masing diperlukan oleh negara dan rakyat. Masing-masing memerlukan bimbingan & nasihat tanpa prejudis dan kepentingan peribadi.

DS Anwar boleh jadi komanden perang yang baik dengan kelantangan dan emosi pidatonya. Jika DSAI tidak hebat, Tun Mahathir tidak mungkin pilih beliau. DS Najib anak bangsawan yang cemerlang pendidikannya, bijak dan mampu memikir kedepan untuk membina tamadun bangsa. TGNA, TGHA ada asas agama yang boleh dijadikan kayu pengukur dan hakim berpandukan alQuran dan Sunnah. Tidakkah anda fikir mereka wajib disatukan? Agar kita yang lebih sudu dari kuah ini boleh bersatu juga?

KESIMPULAN:

Mari Cari Redha & Cinta Allah. Jauhkan Diri Dari Dibenci Sebenci-Bencinya Oleh Allah. Perhatikan firman Allah ini. SURAH 61. Ash Shaff

61:2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
61:3. AMAT BESAR kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan  (jika sebesar ini BENCI Allah, ke mana lagi kita nak mengadu?)
61:4. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Mereka semua genius belaka, berbagai sifat genius ibarat PASIR yang poros bertabur tidak mampu menyimpan air hujan, ibarat BATU yang keras kepala, ibarat BESI yang bersifat waja. Kesemuanya tidak kukuh untuk menjadi 1 bangunan secara sendiri, kecuali di ikat, dicetak dan disatukan dengan SIMEN, debu hitam dari tanah liat yang hodoh dan hina dina.

KAMI YANG HINA DINA INI RELA MENJADI & MEMBAWA FUNGSI SIMEN ITU.

Seklamat hari raya Eidulfitri. MAAF ZAHIR & BATIN.

Seruan ikhlas
WARGA PRIHATIN

NOTE : Beberapa rujukan tambahan atas NAMA ALLAH (BASMALLAH)

SURAH 7. Al A’raaf

7:198. Jika kamu menyeru mereka kepada petunjuk, mereka tidak mendengar; dan kamu melihat mereka memandang kepada kamu, dengan tidak melihat (buat bodoh).
7:199. Maafkanlah, dan suruhlah apa yang baik, dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.
7:200. Jika suatu provokasi daripada syaitan memprovokasikan kamu, berlindunglah pada Allah; sesungguhnya Dia Mendengar, Mengetahui.
7:201. Orang-orang yang bertakwa, apabila provokasi syaitan menyentuh mereka, mereka ingat, dan kemudian melihat (meneliti).
7:203. Dan apabila kamu tidak mendatangkan kepada mereka satu ayat, mereka berkata, “Mengapakah kamu tidak pilih sendiri?” Katakanlah, “Aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku daripada Pemeliharaku; inilah bukti yang nyata daripada Pemelihara kamu, dan petunjuk, dan pengasihan, bagi kaum yang mempercayai.”
7:204. Dan apabila al-Qur’an dibacakan, dengarkanlah ia dan berdiamlah; supaya kamu dikasihani.
7:205. Ingatlah akan Pemelihara kamu di dalam jiwa kamu, dengan merendahkan diri, dan rasa takut, dan ucapan yang tidak lantang pada waktu pagi dan petang. Janganlah kamu menjadi di kalangan orang-orang yang lalai.
7:206. Sesungguhnya orang-orang yang di sisi Pemelihara kamu tidak menyombongkan diri untuk menyembah-Nya; mereka melafazkan sanjungan-Nya, dan kepada-Nya mereka sujud.

Surah 4. An Nisaa’

4:82. Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur’an? Jika ia daripada selain Allah (penjelasannya), tentu mereka mendapati di dalamnya banyak perselisihan.
4:83. Apabila datang kepada mereka suatu urusan, sama ada daripada keamanan atau ketakutan, mereka terus menyiarkannya; dan jika mereka mengembalikannya kepada rasul, dan kepada orang-orang yang dalam urusan mereka, orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk menyelidikinya, tentu akan mengetahuinya. Dan sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu, dan pengasihan-Nya, tentu kamu akan mengikuti syaitan, kecuali sedikit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *