Sofiah Wali – Pengorbanan Melewati Batasan

image_pdf


Kira-kira 7 tahun dulu, seorang Ibu yang kesakitan seluruh anggota, tidak mampu bangun dan melakukan sebarang kerja kerana mengidap Generalised Rheumatism & Arthritis, terpaksa bergantung harap pada suaminya, seorang pemandu lori untuk mengurus 4 orang anak yang masih bersekolah.

Nasib bertambah malang apabila suami yang bekerja tanpa EPF & Socso sebagai pemandu lori, terpaksa pula mengangkat besi naik dan turun sendirian tanpa pembantu telah hilang upaya akibat sakit parah pada tulang belakang. Sang suami dibuang kerja oleh majikan yang tidak berperi kemanusiaan, tanpa sebarang pampasan.

Akibat kesempitan hidup dan tiada pihak yang sudi membantu, Ah Long telah dipilih dan situasi bertambah rumit bilamana beliau terpaksa ‘lari malam’ bagi mengelakkan ugutan Ah Long yang sudah mula menyimbah CAT MERAH dan menampal salinan IC berukuran A3 merata rata. Demi menjaga kebajikan mereka, khususnya nasib makan minum serta persekolahan 4 orang anak itu, Warga Prihatin yang ketika itu masih terlalu jauh dari mampu terpaksa melakukan sesuatu.

Alhamdulillah, walaupun seadanya saja, anak-anak mereka dapat kami tanggung sepenuhnya. Kini yang sulung sedang belajar di IPT, bakinya masih bersekolah di bawah tanggungan RPWP selaku Asnaf.

Ibu Sofiah pemegang Kad OKU yang berstatus kekal ini insan yang sangat ringan tangan. Biarpun sakit, berkerusi roda, beliau tetap berusaha bangun seawal jam 4 pagi untuk membantu ibu ibu lain memasak makanan anak-anak. Beliau juga suka menjaga anak-anak kecil di siang hari sebagai melupakan kesakitan yang ditanggungnya.

PEMBEDAHAN TULANG

Setahun lalu beliau telah menjalani pembedahan lutut dengan belanja lebih RM9 Ribu dibantu oleh Pusat Zakat. Beberapa minggu lalu beliau dimaklumkan oleh pihak Hospital yang beberapa pembedahan selanjutnya terpaksa dilakukan dan Pusat Zakat tidak akan menghulurkan bantuan bagi mereka yang pernah menerima pembedahan kali pertama.

Di samping menangis akibat menanggung kesakitan dan kesukaran menjalani hidup seharian yang amat sangat, beliau juga sering menangis kerana sedih melihat rakan-rakan Warga Prihatin yang telah banyak berkorban terpaksa pula menanggung kos perubatan beliau.

Orang tua Sofiah juga telah meninggal dunia akibat kesakitan yang sama, dan sejak akhir akhir ini beliau sering saja meluahkan perasaan untuk ‘give up’ atau ‘pasrah’ saja dengan keadaan itu. Kami agak sedih kerana baru saja ditinggalkan oleh Allahyarham Khairi, seorang dari OKU Asnaf kami yang baru saja meningal sebelum Ramadhan lalu.

Oleh itu, Jemaah Co-founders Warga Prihatin membuat keputusan untuk menjalankan kutipan di malam raya sebagai penutup HARAKAH RAMADHAN kali ini, iaitu sewaktu meraikan anak-anak yang tidak berkeluarga. Untuk mencapai maksud itu masing masing digesa agar meneruskan ‘puasa’ melalui penjimatan perbelanjaan raya untuk disumbangkan hasil penjimatan itu untuk membiayai kos pembedahan beliau.

Lebih memilukan hati ialah anak-anak sebulat suara sanggup mensedekahkan duit raya mereka, biarpun sedikit, untuk memberi sokongan MORAL dan bantuan pendanaan pembedahan beliau. Apa tidaknya, itulah ibu Prihatin yang mewakafkan diri sejak 7 tahun dulu memasak makanan buat sajian mereka.

Dakapan erat bersulam linangan air mata di malam raya menjadi saksi kepada nilai persaudaraan dan kasih sayang ini. Ikrar anak-anak dan ibu bapa co-founders untuk berkorban apa saja bagi membiayai kos insan yang telah banyak berkorban untuk anak-anak jagaan kami ini juga menampakkan kesungguhan semangat ingin saling membantu. Jelas sekali kesakitan yang di alami oleh Ibu Sofiah turut dirasai oleh yang lain, sebagaimana kami merasai kesakitan Allahyarham Khairi, ibarat sebatang tubuh gamaknya.

Di majlis malam raya itu kami dapat kumpulkan RM 2,500. Doakanlah kami agar mampu berusaha menyempurnakan pengumpulan dana pembedahan beliau. Demi mengenang jasa beliau terhadap kebajikan anak anak selama ini, kami akan hanya mampu redo melepaskan beliau kembali ke Rahmatullah (jika itu ketentuannya) setelah kami berusaha semaksima mungkin. Bagi anda yang ada kenalan dengan BaitulMal atau Pusat Zakat, atau yang ada peruntukan zakat masing-masing dan ingin menyerahkan zakat anda secara terus, juga kami alu alukan.

Perkongsian oleh
WARGA PRIHATIN

Nota : Gambar beliau yang bukan saja masih ikut menguruskan persiapan juadah raya walaupun di atas kerusi roda, malah masih mampu tersenyum dalam program memantai kelmarin.

2 thoughts on “Sofiah Wali – Pengorbanan Melewati Batasan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *