Wirid 3 : Solidariti & Uniti

image_pdf


Sepanjang pemerhatian kami terhadap Orang Melayu di luar negara, bilangan mereka tidak ramai tetapi yang baiknya ialah mereka menyatu tanpa mengira fahaman politik mereka. Ini semua berlaku kerana bilangan mereka yang kecil dan mereka rasa bersatu akan membuatkan mereka semua menjadi kuat. Ada KEPERLUAN untuk menyatu KITA MEMANG MAMPU BERSATU. Ini terzahir bagaimana komuniti Melayu yang sangat bersatu di Cheetam Hill, Manchester, juga di Dublin, Southampton dan tak kurang juga di Newcastle yang sangat bersatu walaupun warna mereka ada yang “hijau” ada juga yang “merah”.

Begitu juga dengan Orang Cina yang datang sahaja ke Malaysia terus bernaung di bawah “Kongsi” seperti dahulu yang terkenal seperti Kapitan Yap Ah Loy, Gee Hin & Hai San. Sekarang pun masih banyak kongsi-kongsi mereka dalam bentuk persatuan yang betul-betul bersatu.

Lain halnya dengan persatuan Melayu yang lebih banyak dari persatuan Cina tetapi kadangkala ia tidak bersandar langsung pada matlamat asal yang sangat baik. Yang ahli ASYIK nak cuba jadi Presiden supaya nanti ada kapasiti untuk jadi calon pilihanraya ataupun mendapat gelaran “Datuk”. Kemudian, sunyilah persatuan sehingga AGM yang satu lagi. Banyak meeting dan banyak politik tetapi kerja tak berjalan, misi tidak tercapai seperti dah jadi sebati dengan persatuan Melayu yang beragama Islam. Kalau tak puas hati tak dapat kuasa atau pendapat ditolak…BUKA LAGI PERSATUAN BARU. Nama sahaja PERSATUAN baru tetapi persatuan itu memecahkan persatuan lama kepada dua. Kelak ada juga orang yang keluar dari persatuan baru itu lalu membentuk persatuan baru dan baru dan baru dan baru. Hilang terus solidariti kita dan tak perlu nak salahkan orang lain.

Bagi kaum Cina, bukanlah kerana mereka kuat, tetapi Cina MASIH BERSATU walaupun sudah sampai ke peringkat mereka sangat kuat dari segi ekonomi, akademik, teknologi dan sebagainya. Sedikit yang menyatu lebih baik dari RAMAI yang berpecah-pecah. Apa lagi jika Orang Cina sangat bersatu dan mereka juga kuat sementara orang Melayu masih ada golongan yang berpecah. Ada yang PAS, ada PKR, ada juga UMNO. Sedangkan Orang Cina, jika dah “Kongsi” sepakat PRU kali ini kita sokong MCA, maka solid juga sokongan mereka kepada MCA. Jika PRU kali ini “Kongsi” telah sepakat memilih DAP maka solid juga perubahan mereka terhadap DAP. Itu tak masuk lagi cerita antara kongsi dengan kongsi bertemu dan BERPAKAT. Itulah yang jadi ‘Tsunami Cina’ walaupun anda perhatikan calon pilihanraya mereka tidak berceramah sangat pun seperti calon Melayu.

Orang Melayu masih lagi berfirkah-firkah (berpecah). Semua pijak memijak, kutuk mengutuk, saling menfitnah nak jatuhkan ‘seseorang’ supaya mereka boleh NAIK. Bukankah baik jika bersatu dan bersepakat. Kita ini, sudahlah ekonomi lemah kemudian taknak bersatu pula tu. Sampai bila Islam mampu dihormati jika penggalangnya semua masuk kategori ‘loser’. Loser disebabkan berpecah dan tidak solid.

Banyak lagi kes yang lain kalau nak dipetik jadi contoh.

Orang Yahudi contohnya, bukannya kuat sangat, sedikit saja bilangan mereka, itupun baki-baki yang tidak Adolf Hitler bunuh semasa Holocaust dahulu. TETAPI mereka sangat bersatu, sedangkan Palestin masih lagi nak berpecah dengan Fatahnya dan juga Hamasnya.

Di Mesir, mudah sahaja Barat nak takluk negara yang tersenarai antara yang mempunyai kekuatan ketenteraan terbaik dunia. Mereka kucar kacirkan kesatuan ummatnya, lalu mereka memasukkan campurtangan mereka dan melantik pemimpin kesukaan mereka yang mampu ikut telunjuk.

Sejarah Perang Badar juga orang Musyrikin kalah kerana ada 1000 lebih tentera tetapi tidak bersatu berbanding solidnya 313 orang tentera Rasulallah Muhammad SAW. Takkan lah kita masih tak Nampak kepentingan menyatu tanpa mengira ideologi politik.

Ayuh ketepikan segala perselisihan. Orang Melayu patut bersatu atas nama Islam. Bagi yang kata parti A itu sesat dan lebih kafir dari orang agama lain tu perlu ingat-ingatkan juga, shahadah mereka masih laku dan mereka masih patut dibantu keIslamannya. Bagi yang kata Parti B ni kolot dan tidak sesuai pendekatan Islam untuk negara demokrasi, negara moden, bawa-bawalah berunding untuk dilihat dari sudut manakah penyatuan boleh dipateri kukuh. Yang Parti C memperjuangkan keadilan atas seorang ikon individu, belajarlah memafkan kerana semua musuh-musuh politik kamu masih belum “syirik” lagi. Mereka berhak dapat pengampunan jika pun benar mereka bersalah.

Jika anda ikhlas ingin berjuang, tebaslah keinginan untuk jadi pemimpin, agar pendapat, nasihat anda kepada sesiapa saja yang anda lihat buruk kepimpinannya dapat diterima pakai. Bersyukurlah kerana ada insan lain yang sanggup menggalas amanah berat memimpin. Gesaan TURUN.. TURUN.. JATUH JATUH.. LETAK JAWATAN.. TUMBANG TUMBANG… akan semakin menambah ketegangan sesama kita.

Sebaliknya, siapa yang dinaikkan menjadi pemimpin pula, wajibkanlah diri mengikuti nasihat dan pandangan yang ikhlas. Jangan jadikan kepemimpinan satu veto individu, sebaliknya pimpinlah melalui praktik syuro bainahum (meeting dan secara kolektif, bukan semata-mata melaksanakan keputusan peribadi). Cantas juga rasa fanatik menyalahkan orang lain dan kembali melihat ke dalam diri sendiri apakah yang boleh kita lakukan untuk menyelamatkan Islam yang semakin parah kini.

Besatulah agar kita mampu berdiri dan dihormati. Kita MEMANG HEBAT cuma kita tidak bersatu dan tidak solid penyatuannya. Tolak hijau, tolak merah, tolak biru, tolak hitam – mari kita ambil yang putih sahaja.

Suasana Rmaadhan memang panas (sesuai dengan istilah nya “Ramadh = Panas”). Panas itu perlu di siram dengan air (sifat WAHYU itu mengalir seperti air) yang pasti turun dan mengalir bagi kita yang benar-benar berpuasa, berterawih dan berwirid (secara ritual & actualnya) dan aliran wahyu itu dari Al-Quran yang dikaji (iqra) akan menggantikan air-air beku (idea dan ilmu yang buntu) pada malam yang lebih baik dari 1000 bulan atau dipanggil Lailatulqadar. Pokok Bicara kita akan tunduk kepada Pokok Bicara Allah. Bermakna, apa sahaja isu pokok (yang utama) semuanya akan tunduk kepada isu pokok yang utama dari Allah. Dalam konteks ini, pokok bicara Allah mentitahkan penyatuan. Siapa kita nak kata Allah itu salah atau berdalih-dalih lagi tanpa dalil dan nas? Semoga Ramadhan kali ini menjadi nuzul Quran (turun hidayah) dalam cara mengutamakan perpaduan dan mengetepikan perpecahan dan perselisihan. Dengan adanya wahyu (air ) dari Allah yang lama kita biarkan tidak berguna, kita gunakannya dan nescaya tiada satu sentiment amarahpun yang mampu membahang dan membakar kita JIKA kita meletakkan Allah di hadapan.

Alangkah indahnya jika kita dapat pakaian (sistem) persaudaraan yang baru, yang indah bersama Islam di pagi raya ini, saling bermaafan sebagai SEBUAH KELUARGA yang sangat bersaudara dan berkasih sayang. Tolak sistem MERAH, tolak sistem HIJAU, tolak sistem BIRU TUA tetapi hanya berpaksi dengan sistem Allah sahaja sebagai PAKAIAN harian kita. Hiduplah kita bukan berpakaian sistem berbalah tetapi berpakaian sistem yang bersatu dan menguatkan.

Nak merasa cerdik, buanglah rasa pandai yang memandai-mandai. Gunapakailah ILMU ALLAH yang telah dihadiahkan kepada kita (Quran). Nak merasa kekuatan dan keperkasaan Allah? Buang rasa hebat, buang keAKUan, kerana AKU itu milik mutlak Allah, ayuh bersatu sebagai KAMI, cipta saf yang mengumpulkan HAMBA HAMBA (UBUDIAH) ALLAH yang merendah diri sebagai ‘KAMI’. Nescaya Islam akan kuat dan dunia akan turut menikmati RAHMAT keperkasaan Islam itu. INSYAALLAH.

Hanya 1 jalan untuk menjadikan dunia aman tanpa peperangan iaitu menjadikan diri kita orang Islam yang mengikut Islam yang sebenar. Bukan Islam sandar menyandar kepada individu yang masih tidak kita ketahui statusnya ahli neraka ataupun syurga TETAPI Islam yang hakikatnya bersandar pada Allah & Rasulnya.

Hasil wirid terawih
WARGA PRIHATIN

Bersambung….

RUJUKAN (terlalu banyak, kami petik beberapa saja):
Firman Allah dalam surah

42. Asy Syuura 13. “Dia telah mensyari’atkan bagi kamu tentang agama …Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada orang yang kembali (kepada-Nya)”

>>> Boleh tak kita terima bahawa orang yang menolak penyatuan itu akan jatuh Musyrik berdasarkan ayat ini?

3. Ali ‘Imran 103. “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu kamu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”.

>>> sudahkah kita merasa benar benar NIKMAT PERSAUDARAAN itu, jika masih lagi bermusuhan, saling menfitnah dan jatuh menjatuh? janganlah kita tipu diri kita sendiri.

Kami petik juga beberapa Hadis Rasulullah s.a.w.

“..Bersatu adalah rahmat, bercerai berai adalah azab“. (Riwayat Baihaqi)

“..Apabila dua orang muslim berkelahi menggunakan pedang masing-masing, maka si pembunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka” – Dari Abu Bakrah r.a. (Riwayat Muslim)

Dalam hadith yang lain disebut, “tidak dikalangan kami (bukan umat Nabi) orang yang mengangkat senjata sesama Islam“.

>>> Tariklah nafas, tenangkanlah hati, rehatkan minda (itu hakikat Terawih = rehat), fikir dan sama-sama zikirkan berulang kali.

Salam Nuzul Qur’an buat semua Warga Dunia Yang Prihatin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *