Amanah Ramadhan & Puasa Dr. Haji Masjuki, Pengasas RPWP

image_pdf

Kelmarin anak-anak Warga Prihatin dijemput ke sebuah majlis Amal Ramadhan MMU di Cyberjaya. Sebuah bas dan sebuah van dihantar untuk menjemput anak-anak kami.

Keunikan yang ingin kami kongsikan dalam majlis ini ialah,

1. Kesungguhan pihak MMU menjemput kami dengan menghantar wakil di kalangan pegawai tinggi Universiti bertujuan meninjau keadaan rumah dan menjemput secara peribadi.

2. Kesungguhan penyambut tetamu majlis yang menyambut ketibaan dan atur gerak para jemputan, khasnya pihak RPWP di majlis itu.

3. Pengisian majlis yang sangat bermakna. Hadirin disaji dengan majlis ilmu, tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Zaharum Ridzuan (UKM).

4. Kehadiran dan layanan mesra rakyat oleh para pegawai HEP dan Y. Bhg Professor Dato’ Dr. Muhammad Rasat bin Muhammad,Presiden MMU sendiri.

5. Tempat yang ‘humble’ di masjid kampus dan juadah yang sangat sederhana berupa nasi impit, lodeh dan rendang sahaja namun amat enak masakannya. Kata orang jika sajian dirasakan enak, itu tanda keikhlasan ‘penjamu’ yang sangat tinggi.

6. Jumlah sedekah yang ‘amat tinggi’ nilainya pada penilaian RPWP (walaupun mungkin tidak pada penilaian sesetengah pihak, kerana RPWP sudah biasa dengan situasi PUASA dan berjimat cermat).

7. Hubungan silah yang menjalin kasih sayang secara hakiki (silatulrahiim). Sehingga pulangnya kami dihantar semula oleh 3 orang pegawai MMU dari bahagian Hal Ehwal Pelajar, menyambung tinjauan mereka Rumah kami sehingga jam 12 malam.

Biasanya Pengasas RPWP, Dr. Haji Masjuki (Mesra dipanggil “Ayah”) tidak turut serta dalam majlis-majlis sebegini disebabkan kekangan kerja pembangunan di RPWP yang beliau sendiri terpaksa tangani. Walaubagaimanapun, dengan undangan yang sangat berprotokol (beradab), Ayah mencuba sedaya upaya untuk turut hadir juga walaupun terpaksa bergegas pulang selepas habis jamuan serta berterawih bersama co-founder yang lain yang tidak turut serta atas urusan kerja.

Sewaktu melafazkan akad dan membacakan doa sedekah (tradisi Nabi kami teruskan dengan mengakad dan mendoakan semua penyumbang), hadirin kelihatan sebak, bahkan ada yang menitiskan airmata menghayati isikandungan doa yang dibacakan secara spontan itu. Semuga Allah memperkenankan segala doa beliau untuk MMU pada malam itu.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur dan jemaah petugas majlis di MMU itu dari kami semua. Semuga Allah meredhai dan memberkati segala amal baik mereka.

Sewaktu berdipan-dipan selepas bekerja, pengasas RPWP sering mewasiatkan agar semua co-founder meneruskan hakikat PUASA walaupun sudah ada pihak-pihak yang menderma, khasnya di bulan Ramadhan ini. CO-FOUNDERS yang menginfakkan 10% daripada pendapatan bulanan mereka diminta meneruskan amalan itu. Yang mewakafkan diri sebagai sukarelawan sepenuh masa, walaupun tanpa gaji, namun digesa bukan saja meneruskan amalan berjimat cermat, bahkan meneruskan usaha mengembangkan wang sedekah itu melalui perniagaan yang diusahakan oleh RPWP, agar berpanjangan faedah sedekah itu dan lebih ramai insan dapat merasai keberkatannya.

“Jangan amalkan rezki harimau” ujar beliau. Tanggungjawab menanggung kesejahteraan anak-anak ini masih panjang. Sebaiknya kami harus mampu menabung sehingga minima 7 tahun kemarau. Tambahan pula belanja pembangunan rumah yang sedang rancak dijalankan sekarang memerlukan belanja yang sangat besar dan berterusan.

Kami di RPWP ini sangat kenal tabiat makan Ayah (Dr Hj Masjuki), selaku Pengasas dan Pengetua RPWP. Beliau hanya makan setelah merasa lapar, dan berhenti sebelum kenyang. Selalu juga kami lihat beliau makan hanya SEKALI sahaja sehari.

Setiap hari beliau makan makanan yang sama dengan juadah anak-anak RPWP . Sepinggan (1 tupperware) makan berdua bersama isteri kesayangan beliau Cikgu Shakirah (mesra dipanggil Mak Ibu) sambil beliau meneruskan kerja-kerja ringan, di workstation beliau. Tidak keterlaluan jika kami katakan yang biasanya Mak Ibu akan MENYUAPKAN makanan kepada Ayah sendiri. Begitulah gambaran mesranya pasangan suami isteri ini. Ini kerana beliau ingin memanfaatkan setiap saat sisa umur beliau untuk kerja kerja kebajikan di RPWP ini dan tidak mahu sesaatpun terbazir.

Soal makan minum anak-anak adalah sentiasa menjadi keutamaan beliau. Sesekali bila kami dapat sedekah makanan, buah-buahan atau ketika ibu-ibu TERKURANG masak, beliau akan tanyakan samada anak-anak dan sahabat co-founder keseluruhannya yang bekerja sudah makan atau belum. Jika belum beliau akan mengutamakan mereka terlebih dahulu.

Bersama gambar ini kami perlihatkan makanan sahur dan buka puasa Ayah. Tupperware itu sudah sekian lama menjadi bekas makanan beliau suami isteri. Tidak ada pinggan porselin mahal dari Italy, tiada juga pinggan kaca yang mewah walaupun anak-anak kami merasai kemewahan Ramadhan bila dijamu berbuka puasa di majlis-majlis di hotel dan sebagainya. itulah juga rupa makanan ‘simple’ beliau sejak 8 tahun kami hidup bersama beliau. Amat terkesan dalam hati kami semua dengan sifat wasato (besederhana) beliau yang asalnya merupakan seorang hartawan dengan perniagaan bernilai jutaan ringgit tetapi pada tahun 2005 telah mewakafkan segala harta yang beliau ada termasuk rumahnya dan dirinya sendiri serta menjalankannya menjadi RPWP sekarang. Subhanallah.

Bila difikir-fikir semula, macam mustahil bagi seorang hartawan yang berada dipuncak kemewahan mahu melabur leburkan kesemua harta kesayangan yang dicari bermati-matian itu dan kembali berlumpur, berselut, bersimen konkrit, bersakit mata membuat kimpalan, bersakit pinggang mengangkat yang berat dan banyak lagi.

Puasa pada hari ini kami kira belum pun sempat terasa betul-betul lapar dah berbuka. Itu kerana sahur sahaja sudah makan dengan sangat banyak. Nikmat puasa itu hadir apabila kita betul-betul merasai KELAPARAN itu. NIKMAT bersedaqah juga apabila kita MEMBERI SEHINGGA TERASA pemberian itu dan kita redhainya. Jika sekadar mengambil baki syilling dalam saku, mungkin sukar untuk memahami perasaan nikmat ini. Sebab itu, beliau bertindak untuk memberikan keseluruhannya kepada RPWP dan nikmat yang beliau rasakan, mungkin sukar untuk diungkap oleh sesiapapun.

Ada pelajaran besar yang ingin kami kongsikan melalui kisah ini. Semoga anda mampu menilai sendiri pelajaran yang terselit dari kisah ini sebagai ISLAH PUASA anda. Semuga kita mampu memahami dan merasai nikmat AMAL SOLEH dalam puasa kita.

Perkongsian oleh
WARGA PRIHATIN
25 Julai 2013

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *