SAINS PUASA PART 8 – BANYAKKAN MEMBACA AL-QUR’AN.

image_pdf

“Memang kita tak setaraf Imam Syafie : satu hari Ramadhan beliau khatam 2 kali. SEBULAN 60 kali” – statement seorang ustaz di wall fb.

Program Fikrah Ramadhan TV 3 pagi ini, ceramah Ramadhan semua para Ustaz dan pelbagai penceramah di masjid, tv, radio, juga status wall dan artikel rakan-rakan di fb dan blog banyak sekali menyebut tabiat Imam Shafi’e yang dikatakan menghabiskan (khatam) al-qur’an sebanyak 2x sehari, 60 kali sepanjang Ramadhan.

Warga Prihatin telah mencuba sedaya upaya ke arah itu dan mendapati ia tidak mampu dilakukan, walaupun kita tidak ‘berhenti membaca’ untuk urusan asas seperti makan minum, memasak, solat fardu, berterawih, bahkan untuk termenung buang air dan tidur sekalipun, yang mana itu menjadi wajib biologi dan diperintahkan Allah dalam al-Qur’an, iaitu minimum tidur 4 jam sehari atas fitrah keperluan biologi tubuh kita. Itu tidak termasuk lagi urusan kerja mencari nafkah, urusan kemasyarakatan, pengurusan jenazah dan fardu kifayah lainnya.

Untuk membenarkan apa yang kami nyatakan mudah saja, anda bukalah mana mana rakaman bacaan al-Qur’an dalam simpanan anda. Bagi kami, bacaan penuh nikmat dan tartil adalah dari Mahmoud Khalil Al Hussary. Tartil Bacaan itu sempat kita hayati maknanya (itupun jika kita mampu menguasai makna secara harfiah). Untuk khatamkan bacaan yang lancar oleh qari itu memerlukan 44 jam.

KESIMPULANNYA, UNTUK KHATAM SEKALI PUN MEMERLUKAN MINIMUM 2 HARI. BAGAIMANA BOLEH JADI 2 KALI SEHARI?

Jadi kami tidaklah silap jika terpaksa menghabiskan lebih lama dari itu sebab kami ini orang jahil dan tidak lancar membaca seperti qari. Lagipun kami didik anak-anak supaya sentiasa cuba hafalkan maknanya semasa membaca, supaya ada penghayatan. Penghayatan yang menghidupkan hati, itulah hasil sebenar yang Allah tuntut dari bacaan itu, bukan syair’nya.

Firman Allah di Surah 36. Yaasiin

69. “Dan Kami tidak mengajarkan syair (al-Qur’an) kepadanya, dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan.”
70. “supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya dia perbetulkan (dengan kepastian yang kukuh) perkataan atas orang-orang kafir.”

Untuk di percepatkan bacaannya, menyalahi disiplin membaca yang Allah sarankan pula. Contohnya dalam Surah 75. Al Qiyaamah 16. Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al Quran karena hendak cepat-cepat (menguasai)nya..

Akhirnya kami TERPAKSA untuk kembali AKUR kepada banyak saranan ALLAH yang ternukil dalam al-Qur’an dan ingin kongsikan hasil iqra’ kami untuk memutuskan kesahihan riwayat terhadap Imam Shafie itu atau samada untuk bertabiat mengikuti uswah itu atau sebaliknya, agar dapat sama sama kita fikirkan. Mungkinkah ada ‘rahsia’ di sebalik itu yang belum kita tahu?

Allah nyatakan bahawa al-qur’an itu mengandungi ‘perkataan’ atau kalam yang berat untuk difikirkan. Oleh itu ia harus dibaca dengan perlahan-lahan dan difikir-fikir berulang-ulang, sehingga kita ‘khatam memikirkan’ dengan tenang ‘setiap ayat’ yang kita baca tadi dengan hasil ‘furqon’ (dapat menentukan kebenaran ayat itu, berprinsip dengan kukuh dengan nya serta mampu menolak fahaman yang salah tentang hidyah Allah itu). Setelah itu, kita mampu memanjangkan mesejnya, sampaikan (silah) ia kepada yang lain sebagai bahan ‘doa’ atau ‘dakwah’ keIslaman kita..

Waktu yang paling tenang dan berkesan membaca al-qur’an merurut Allah pula ialah di malam hari.

Surah 73. Al Muzzammil, Allah berfirman,
4. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.
5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat.
6. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.

Itulah kaedah membaca dengan kaedah iqra’ yang kami rasakan tepat, amat berkesan untuk dapat merasakan getaran roh, agar ‘gementar’ hati dengan bacaan itu dan kita pasrah dan rela untuk melaksanakan apa saja hidayah yang kita perolehi dari bacaan itu keseluruhannya tanpa BANYAK BERTANGGUH DAN BERDALIH.

Ini dinyatakan Allah dalam surah 8. Al Anfaal,

2. Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila di`sebut’ nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ‘ayat-ayat’Nya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.
3. (yaitu) orang-orang yang (SEGERA) mendirikan shalat dan yang (RELA) menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.

Soalnya, jika kita baca laju-laju kerana nak mengejar khatam bacaan, sempatkah kita menikmati segala hidayah, menyerap hasil zikir dan furqon, termasuk menyediakan minda dan diri untuk melaksanakan apa saja yang kita baca dengan sepenuhnya?

Bagi kami, apabila di sebut saja `nama Allah’, itu adalah Basmallah (dengan nama Allah). Setiap surah di awali dengan Basmallah, maknanya segala ayat selepas Basmallah itu adalah representasi kaedah atau sistem kehidupan berdasarkan NAMA ALLAH itu.

Jadi jika KITA ingin melaksanakan dengan ‘Basmallah (Lillah Billah), apa saja sistem atau kaedah, gaya hidup YANG ALLAH SARANKAN dalam al-Qur’an harus kita guna pakai. Jika tidak, bermakna kita guna NAMA KITA, ikut suka kita, ikut cara kita sahaja. Boleh nampak tak maksud ‘Nama Allah’ tadi?

Jika kita guna nama BOMBA, kita buat ikut disiplin dan tujuan kerja BOMBA, nama POLIS, guna sistem dan urusan POLIS, nama HOSPITAL, guna kaedah dan maksud amal HOSPITAL. Kesemua contoh nama tadi membawa disiplin SISTEM, sarana, maksud yang berbeza. BOMBA urusan api, POLIS urusan jenayah, HOSPITAL urusan rawatan.

Nah jika ikut nama ALLAH, gunalah kaedah dan tujuan amal yang sesuai dengan apa yang Allah MAKSUDKAN, set matlamat, missi dan visi kita sesuai dengan apa yang Allah redo’i melalui segala kerjabuat (amal) dan carakerja sarananNya.

Itulah yang sering dilafaz oleh golongan sufi sebelum memulakan sebarang kerja. “Ilaahi, Anta maksudi, wa ridoka matluubi”.

Itulah sains Basmallah,
“Billah..- dengan Allah” , “Lillah..- untuk Allah”

IQRA’ adalah proses cerapan isi al-Qur’an ke dada manusia. Jika semua itu dalil naqli (ternukil) dari al-qur’an yang kami iqra’ dengan paparan dalil aqli (akal) yang kami ramai-ramai SERING bincangkan bersama. Fikirkan juga sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam proses iqra’ ini. Ayat 1-5 saja mengambil masa 2 tahun, SEBELUM diturunkan ayat seterusnya. Seberat itu untuk membuatkan Nabi faham, menyerap dan MEYAKINI SEPENUHNYA, sebelum ‘mentilawahkan bacaan sebenar’ hasil IQRA’ itu kepada para sahabat baginda.

Surah 2. Al Baqarah ayat 121. “Orang-orang yang telah Kami berikan Al Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan ‘bacaan yang sebenar’nya, mereka itu beriman (dengan sepenuhnya) kepadanya. Dan barangsiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Surah 29. Al ‘Ankabuut 49. “Sebenarnya, Al Quran itu adalah ayat-ayat yang nyata di dalam dada orang-orang yang diberi ilmu. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami kecuali orang-orang yang zalim.”

Sains gunaannya ialah, jika kita meletakkan al-Qur’an itu hanya di tulisan, di buku dan di bacaan bibir tanpa kefahaman yang jelas dan sangat meyakinkan, maka kita telah tersalah guna (mungkin menyalahgunakan) al-qur’an. Itu adalah satu keINGKARAN di sisi Allah.

Rasulullah hanya khatam (selesai) sekali seumur hidupnya. Tetapi ‘khatam ‘baginda yang paling BERMAKNA ialah KHATAM lafaz dan MAKSUD KALAM Nya, KHATAM perlaksanaan dan KHATAM penyampaian (di`silah’ kan, dakwahkan kepada seluruh umat baginda) KESELURUHANNYA.

Anda jawablah sendiri soalan ini. Apakah yang bakal mampu MENJAGA (Hafiz) Agama ini?.

Adakah LAFAZ yang kita hafalkan TANPA MEMAHAMI SUATU APA DARINYA itu, yang dengan itu kita TIDAK MAMPU MEMPERBAIKI (ISLAH’KAN) DIRI dan masyarakat dengan mengikuti arahan dari bacaan yang SEHARUSNYA telah kita fahami DENGAN JELAS itu?

Atau hafalan ‘kefahaman dan pelajaran dengan jelas’ yang dengan kefahaman itu kita amat yakin, bersemangat dan sanggup mengatur perlaksanaan kerja harian mengikut kehendak Allah secara kaaffah (menyeluruh)?

Jika paparan hasil iqra’ ini ANDA RASAKAN ADA KEBENARANNYA & boleh memperbaiki kefahaman dan keyaklinan anda terhadap kebenaran dan sains praktikal al-Qur’an dan sistem ISLAM itu, gunakan dan sebarkanlah.

Sabda Rasulullah SAW ;”Siapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang membaca mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun ia sudah tiada.” (HR. Muslim)

Jika tidak, kami alu-alukan sebarang PEMBETULAN & saranan balas. Atau boleh saja anda abaikan kesemuanya.

Salam kasih dan selamat berPUASA dengan membanyakkan BACAAN (iqra’) al-Qur’an. Semuga kita berjaya mendapatkn LAILATULQADAR Ramadhan ini dan berjaya memakai ‘baju’ (sistem kehidupan) baru yang membuatkan kita kembali fitrah dan bersih hati seperti bayi yang baru lahir di pagi raya Aidilfitri nanti.

Insya-Allah.

Hasil Rumus
WARGA PRIHATIN.

Bersambung …

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *