YAZID MAJID – THE UNSUNG HERO : CERITA KETAATAN ISTERI & ANAK-ANAKNYA

image_pdf

Hari ini kita rehat sikit dari Sains Puasa yang ada banyak nak dikongsi tetapi terbatas betul masa nak menuliskannya. Tangan kanan dan kiri, juga kaki kanan dan kiri (tulang 4 kerat) serta seluruh anggota badan yang lain sedang tergesa-gesa bermain dengan besi, kayu dan konkrit bagi menyiapkan kompleks RPWP (Rumah Pengasih Warga Prihatin) yang sudah 8 tahun dalam pembinaannya.

Di RPWP, semuanya terpaksa dilakukan sendiri dengan tulang empat kerat. Memandangkan hanya kami, lebih kurang 20 orang co-founders (TULANG 80 KERAT) saja yang mengerjakannya. Itu tak termasuk tulang femur founder kita Dr. Haji Masjuki Musuri yang dah hancur patah berganti besi akibat jatuh tangga di fasa pertama pembinaan rumah ini. Itupun beliau masih gagahkan diri dengan status OKU beliau itu, kerja tetap diteruskan walaupun kadangkala pernah sampai 48 jam terus menerus.

Hari ini, fb Warga Prihatin nak paparkan seorang personaliti yang tidak pernah dikenali dalam artikel-artikel kami. Beliau adalah salah seorang yang menjadi tulang belakang RPWP. Hakikatnya, anatomi tulang belakang kita ini pun kita tak nampak kerana tersimpan dalam kulit dan daging. Tapi kita tahu kita bertulang belakang kerana tegaknya kita dan mampunya kita berdiri.

Yazid Abdul Majid merupakan seorang Jurutera Civil, juga kontraktor binaan kelas F. Hidupnya sederhana bersama seorang isteri yang SANGAT TAAT dan bekerja sebagai Senior Engineer di ShinEtsu Shah Alam. Ketaatan isteri beliau sangat tinggi dan dijadikan idola isteri-isteri co-founders yang lainnya.

Pada ketika RPWP merasa ada keperluan untuk membeli sebuah tanah suku ekar di tanah belakang Prihatin sekarang, bagi membesarkan kompleks ini, Yazid hanya pulang ke rumah dan memberitahu isterinya Norhazidah (mesra dipanggil Kak Nor) tentang hasrat itu, lalu dengan pantas Kak Nor bertindak mengeluarkan kotak barang kemasnya dan menyerahkan kepada suaminya, Yazid dan berkata “Simpanan saya semua dah habis untuk membangunakan RPWP, yang tinggal barang-barang kemas ini sahaja kesemuanya, abang ambillah semua”.

Yazid memandang isterinya penuh rasa ‘terharu’ dan berkata “Jika Nor benar-benar ikhlas, abang redha, sekalipun isteri abang tidak memiliki barang kemas lansung dan kecantikan Nor bukan pada barangan itu lagi TETAPI pada akhlak Nor yang sanggup menyerahkan segala yang Nor ada ke Jalan Allah”.

Dijawab oleh isterinya “Saya pun redha, lagipun saya dah tutup aurat sepenuhnya, bila masa nak pakai barang-barang kemas ni lagi? dan abang pun dah pandang akhlak lebih cantik dari barang kemas, nak buat apa lagi ada barang kemas” (sambil tersenyum).

Sebagai Wanita Pantai Timur, barang kemas memang aset berharga. Yazid mengambil kotak itu dan mengambil cincin kahwin mereka berdua dan menyarungkan kembali kepada isterinya dan berkata “Yang ini awak simpan untuk kenangan“. Subhanallah… Setelah di nilai, kesemua barang kemas yang terkumpul itu bernilai lebih RM20,000.

WOWW…kami sendiri di sini tidak menyangka ada seorang yang masih begini hidup atas dunia ini. Maka, barang kemas isteri Yazid Majid menjadi sebahagian harta yang terbenam menjadi sebidang tanah suku ekar yang sedang dibangunkan sekarang dengan tulang 80 kerat kami sendiri.

Kami tak mahu bercerita tentang personaliti Yazid sendiri. JIKA kita kenali isterinya dan kami ceritakan tentang anaknya, MAKA anda semua patut kenal siapa Yazid itu sendiri. Nak kenal kualiti pemimpin, lihatlah kualiti pengikutnya dan itulah yang dipesan oleh Nabi.

Firman Allah mengenai proses penciptaan manusia ini. Surah 90. Al Balad ayat 3-4. “Dan /  demi bapak dan anaknya. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.”

Kesetiaan, ketaatan dan pengorbanan Kak Nor itu ditiru tanpa paksaan oleh anaknya Syufaat yang MEMINTA diwakafkan dirinya di RPWP sejak dari tingkatan 1 lagi. SYUFAAT kini TELAH MENAMATKAN Matrikulasi dengan jayanya dan beliau bakal ke IPTA mengikuti program ijazah di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka, intake yang akan datang.

Syufaat meninggalkan tempat tidur selesa serta berhawa dingin dan bilik yang private di Rumah batu dua tingkat, ke sebuah dorm di bumbung tingkat 3 Rumah RPWP yang sekadarnya sahaja, tiada bilik private, tiada katil dan aircond, tiada bilik air sendiri. Tiada cuti lagi untuk Syufaat selepas dari itu selain cutinya habis digunakan untuk membantu pembinaan RPWP tanpa disuruh oleh sesiapapun. Hatta, semasa artikel ini ditulis, Syufaat sedang berpanas di bulan puasa ini sedang membuat kerja-kerja formwork konkrit dengan statusnya sebagai seorang siswazah. Itulah rutin Syufaat sejak hari pertama balik dari Matrikulasi kira-kira 2 bulan lepas sampai September nanti dan begitulah seterusnya.

Lebih mengharukan lagi, beliau sendiri telah berikrar untuk kembali ke RPWP selepas habis pengajian tertingginya (insyaAllah PhD) dan akan berkhidmat di RPWP jika diperlukan, walaupun tanpa bayaran. Semuanya atas dasar kesedaran jiwa prihatin, demi memastikan usaha murni ibu bapa di RPWP tidak terbengkalai separuh jalan.

Sekarang…. Anda boleh dah kenal siapa Yazid Majid?

Jika belum, mari kami ceritakan pula siapa bapanya. Allayarham Abdul Majid, Warga Emas yang menyokong kuat kewujudan RPWP berasal dari Kampung Tanjung Rimau Dalam, Melaka. Merupakan seorang imam kampung yang mewakafkan tanah pusakanya untuk dibangunkan sebuah surau kampung. Beliau juga sepanjang hidupnya yang bukannya orang senang (bekerja dengan KTM) tetapi menggunakan tulang 4 keratnya membersihkan surau kampung dan memotong rumput di jalan kampungnya tanpa dibayar satu sen pun.

Hasil dusun Pak majid juga tidak dijual tetapi disedekahkan saja kepada penduduk kampung. Jika anda orang Kampung itu, mesti kenal Imam Majid. Pada beliau, mati kita tak bawa apa-apa. Yang ada masa hidup kalau dapat diberi, kita patutnya beri. Jangan dah mati baru menyesal tak sempat memberi. Pesanan Allayarham juga, jangan tunggu dah kaya untuk mula memberi. Allayarham mesra dikenali sebagai ATUK MAJID di kalangan anak-anak RPWP.

Kisah ‘perginya Atuk Majid meninggalkan dunia ini’ sangat menginsafkan. Beliau siap menyapu rumah, mengundurkan kereta ke tempat yang tidak menghalang laluan masuk ke rumah (rumah kampung kalau undur kereta macam tu seperti ada tetamu akan datang) 15 minit sebelum menghembus nafas terakhir. Beliau juga sempat buang air, mandi dan ambil wudu’ sendiri, kemudian bebaring sebentar menunggu Maghrib dan terus terlena selama-lamanya. Semasa pengurusan jenazah, semua seperti telah tersedia sebelum kematian Allayarham lagi. Subhanallah…

Jika suaminya begitu, isteri Pak Majid juga begitu (Mak Rom). Kak Nor, isteri Yazid Majid mengambil banyak pelajaran dari uswah ‘Isteri Solehah’ yang ditunjukkan oleh Mak Rom (ibu mertuanya) sehingga mampu menjadi orang yang meletakkan kepentingan orang lain melebihi diri sendiri.

Sekarang semua mesti dah kenal siapa Yazid Abd Majid ini dari pengenalan insan-insan yang terkait disekitarnya. Betul tak?

Jika anaknya meminta mewakafkan dirinya di RPWP, isterinya berhabis harta untuk RPWP itu semua terjadi kerana YAZID MAJID telah memberikan segala-gala yang beliau ada termasuk diri dan harta-hartanya kepada RPWP. Kenderaan (2 MPV dan 1 kereta) peribadi yang beliau gunapun akan diserahkan kepada RPWP utk disewakan bila ada permintaan.

PELAJARANNYA.

Jika tidak kerana suami, tidaklah isterinya menjadi sanggup. Jika tidak kerana ibu bapak, tidaklah anak menjadi sehebat itu.

Lagi satu, mungkin ruang ini akan menjadi sepanjang novel cinta jika kami nak ceritakan lagi tentang anak-anak beliau yang lain seperti Sarah Sofiah dan Abdah. Adab sopan mereka Subhanallah…, hanya orang yang tinggal bersama saja mengetahuinya.

Cukup sekadar kami beri sedikit gambaran tentang anak sulongnya, Syafaat yang menang ‘2 tahun berturut-turut ‘Anugerah Sahsiah Tertinggi Peringkat Sekolah’ pada tingkatan 4 dan 5 nya. Kini beliau menjadi ikutan anak-anak lain yang setakat ini masing-masing bertekat untuk saling bahu membahu. Itulah kebahgiaan berkeluarga, keuntungan dan ISLAH dari amal soleh di RPWP.

Selamat membaca. Kongsikanlah kerana individu ini bukanlah seorang yang kaya dan riwayatnya boleh dibaca selalu di suratkhabar. Tetapi hakikatnya, seorang yang lebih kaya dari Bill Gates. Kerana Bill Gates hanya mampu beri 50% kekayaannya kepada orang lain, tetapi Yazid Majid dan Kak Nor mampu berikan kesemuanya 100%.

BELIAU TAKKAN SEKALI-KALI CERITAKAN KISAH PERIBADI BELIAU INI UNTUK LAMBAKAN PUJA DAN PUJI, APATAHLAGI UNTUK MERAYU PROJEK. TAPI RPWP MERASAKAN PERLU ME’RAWI’KANNYA KERANA DUNIA INI PERLUKAN LEBIH RAMAI ORANG SEPERI INI. CUKUPLAH KALAU ANDA SHARE UNTUK MEMBERI INSIPIRASI CERITA INI KEPADA ORANG LAIN DAN AKAN MEWUJUDKAN LEBIH RAMAI INSAN SEPERTI INI.

Mereka tidak kaya, tetapi mereka lebih gembira dari kebanyakan orang kaya.

FIRMAN Allah, surah 8. Al Anfaal 65. “Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berjuang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan jika ada 100 orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan 1000 dari pada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.”

Ingatlah, berbuat sesuatu secara ikut-ikutan tanpa ilmu adalah larangan Allah (QS:17/36, QS:10/36). Jika kita ingkar (bahasa Arabnya Kafir) akan larangan itu, maka jumlah yang ramai pun tidak akan membuahkan hasil besar dan berpanjangan. Hilang dilaut ibarat buih saja.

Kisah diriwayatkan oleh
WARGA PRIHATIN

Bersambung kisah pada co-founder yang lain pula…

2 Comments

  1. nurul ain

    salam..sy tersentuh mbaca cerita ini,dan sbgai saudara baru sy sgt ingin punya akhlak sifat keperibadian sbgni..bole ke sy mjadi sbhagian sukarelawan pihak tuan

    Reply
    1. ADMIN (Post author)

      ALAIKUMSALAM WBT.

      SUBHANALLAH. Jangan minta izin Nurul Ain. Saudara baru adalah asnaf yang juga ingin kami bela. Datanglah bersilatulrahim. Hubungi mana mana admin yang tersenarai di menu ALAMAT. Terima kasih.

      Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *