Kisah Kesusahan Hidup Pengasas RPWP Jadi Iktibar Untuk Anak-anak Prihatin

image_pdf

PENGALAMAN DI SEKOLAH RENDAH

Dari hujung desa terpencil, Kampung Paya Besar, beliau BERJALAN KAKI sejauh 20 km pergi dan balik dari Sekolah Rendah Kampung Melayu Raya, Segamat. Perjalanan beliau bermula dari menyusuri jalan balak di celah belukar, seterusnya melalui jalan tanah merah berdebu dan selut, meredah 12 bukit dan paya, merentasi 2 desa dan 2 estate getah tua dan kelapa sawit muda. Sewaktu darjah 5 baru beliau mula berbasikal.

Beliau harus bertolak gelap pagi dan pulang meredah terik mentari petang. Kadang kala terpaksa mengharungi hujan ribut sendirian. Minum air parit dan sungai menjadi biasa baginya buat penghilang dahaga.

Beberapa anak sekampung yang sebaya ke sekolah yang sama samada naik kereta sewa atau tidak ke sekolah sama sekali. Dalam kesusahan itu beliau berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah beliau dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Beliau juga berjaya sebanyak 7 kali menjadi johan qari tilawah al-Quran di peringkat daerah dan berjaya 3 kali masuk pertandingan ke peringkat negeri.

PENGALAMAN DI SEKOLAH MENENGAH

Dari tingkatan 1-3, beliau terpaksa mengayuh basikal sekitar 45 km setiap hari. Ini kerana beliau terpaksa, berulang-alik ke bandar Segamat untuk menghantar bekalan makanan buat kakak beliau di asrama sekolah Arab di Kg Gubah, atau membantu urusan keluarga di bandar dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Datuk Bentara Dalam. Balik dari sekolah menengah, beliau harus mengulangi perjalanan mengayuh basikal lagi ke sekolah Agama di Kg Melayu Raya.

Di sebelah malam, beliau sering berbasikal sejauh 20 km lagi, meredah kegelapan untuk belajar ilmu persilatan di ladang Labis Baru. Setiap bulan Ramadhan beliau terpaksa mendampingi ayahnya menjadi bilal Terawih. Bahkan beliau sering tidur di Masjid sepanjang Ramadhan untuk mencari “LailatulQadar’, biarpun terpaksa bersahur dengan lebihan juadah mureh atau mi segera.

Wang Biasiswa Kecil Persekutuan berjumlah RM20 sebulan tidak beliau sentuh dari tingkatan satu hingga ke tingkatan 5. Selepas SPM beliau serahkan wang terkumpul untuk perbelanjaan keluarga sepenuhnya.

Di setiap cuti hujung tahun, bermula dari darjah 6 lagi, beliau sudah menjadi buruh kasar di estate berdekatan melakukan pelbagai jenis kerja sebagai penggali parit, penyembur racun, pemotong buah & pelepah sawit serta menoreh getah. Beliau juga pernah menumpang lori balak, sebelum lebuhraya Kuantan-Segamat siap hanya untuk bekerja sebagai penebas belukar di Karatong, Pahang bagi mencari wang belanja persekolahannya.

Hasilnya, daripada 10 pelajar aliran sains yang mendapat grade 1 SPM tahun 1979 di sekolah beliau, 8 darinya adalah pelajar CINA dan hanya 2 pelajar MELAYU, dan beliau adalah seorang daripadanya. Di samping aktif sebagai qari Tilawah al-quran, beliau turut menjadi komanden kawad Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) mengetuai 350 ahli dan aktif juga di beberapa persatuan sekolah.

Dari 10 adik-beradik, beliau adalah satu-satunya ahli keluarga yang berjaya melangkah ke Universiti dan menempa kejayaan selanjutnya bagi membela insan lain. Begitu juga daripada kurang 10 rakan sebaya dari kampung terpencil itu, hanya beliau yang mampu meniti ke Menara Gading.

AWAL KERJAYA

Setelah 2 tahun makan gaji dengan syarikat Multinasional, beliau menubuhkan syarikat sendiri & menjelajah ke serata dunia dengan kepakaran yang ada untuk membela adik beradik yang tidak ke Universiti agar semua dapat turut merasai kejayaan beliau. Kini adik beradiknya hidup senang.  Beliau pula mengabdi diri, mewakafkan segala hasil kesenangan yang beliau capai, menjadi buruh sukarela tanpa gaji di RPWP.

Bermacam-macam bidang perniagaan termasuk bidang pembuatan serta impot dan ekspot telah beliau jalani, termasuk membuka beberapa cawangan di luar negeri. Sering beliau mengikuti pameran dan jualan promosi produk keluaran beliau di dalam dan luar negara bersama MATRADE. Kejayaan beliau sering menjadi bahan tulisan akhbar sepenuh mukasurat dan rencana TV.

MENYUSUR JEJAK

Anak-anak RPWP telah dibawa menziarahi kampung halaman beliau dan masing-masing ingin mencuba berjalan kaki menyusuri laluan perjalanan beliau ke Sekolah Rendah Kg Melayu Raya. Malangnya mereka hanya mampu berjalan setakat 20% jarak perjalanan saja. Bakinya harus diteruskan dengan kenderaan. Begitulah gambaran keperitan yang pernah dilaluinya.

Itulah pengalaman getir kehidupan yang dilalui oleh pengasas RPWP, Dr Hj Masjuki Mohd Musuri. Beliau telah melawan ujian hidup sejak kecil lagi.

Bapanya seorang suku JAWA, bertugas sebagai bilal kampung, guru silat, guru kompang, guru marhaban, berzanji dan al-Quran, seorang peneroka tanah, penebang hutan, tukang rumah dan tukang gunting rambut sambilan.

Ibunya juga seorang wanita JAWA, yang menjadi bidan Kampung, juga tukang urut yang cekal dan pemurah. Beliau banyak mengambil anak angkat dari kalangan asnaf, juga menjadi bilal wanita dan guru al-Quran wanita di desa itu.

Rumah asal beliau berupa rumah kayu bertanggam, tiang kayu bulat, berlantaikan tanah liat di dapur dan lantai kayu belah bahgian lantai atasnya. Dinding rumah dari kulit kayu dan beratapkan rumbia.

Untuk makanan harian, keluarga beliau harus cucuk tanam dahulu. Ikan sebagai sumber protin harus tangkap di tengah paya. Buah harus dipetik di hutan. Beliau belajar dengan pelita minyak kerana desa itu tiada bekalan letrik. Beliau mandi dan minum dari air telaga yang berlumut kerana tiada bekalan air paip.

Terlalu banyak untuk dikongsikan. Mungkin sebahgian foto ini mampu meneruskan penceritaan.

Pelajaran yang kami dapati, kejayaan beliau mengharungi kepayahan itu menjadikan beliau insan yang sangat prihatin, kreatif, berani, mandiri dan tidak gusar berhadapan dengan kesusahan. Lebih penting lagi, pengalaman itu mampu dijadikan motivasi kepada anak-anak di RPWP agar TIDAK MUDAH MENGALAH dan merasa lemah mengharungi kehidupan yang penuh dengan pelbagai pancaroba. Pengalaman itu jugalah yang memberi kekuatan dan inspirasi kepada kesemua pengasas bersama RPWP ini.

Semuga kisah ini juga boleh dijadikan motivasi kepada para ibu bapa, khususnya dalam soal memanjakan anak dengan pelbagai kesenangan hidup, juga pelajaran buat anak-anak yang mungkin sedang menghadapi kesukaran hidup.

Yakinlah, “Di mana ada kemahuan, Di situ ada jalan”.

Perkongsian oleh
WARGA PRIHATIN

2 thoughts on “Kisah Kesusahan Hidup Pengasas RPWP Jadi Iktibar Untuk Anak-anak Prihatin”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *