Puteri Umno bidas tindakan Majlis Peguam hilang arah

image_pdf

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno bidas tindakan Majlis Peguam yang dilihat semakin hilang arah apabila menjadikan hak asasi manusia terlampau sebagai agenda utama dalam perjuangan pertubuhan itu.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, melahirkan rasa kesal dengan tindakan Majlis Peguam yang mengagungkan program bercanggah daripada sudut agama, tata susila dan adat resam masyarakat Malaysia.
“Perkembangan terbaru, kita menyaksikan sokongan Majlis Peguam terhadap program Seksualiti Merdeka 2011 atau Perhimpunan Seks Bebas.

“Jelas menunjukkan perjuangan pertubuhan itu semakin tersasar dan lebih teruk, ia memalukan profesion perundangan yang kini dilihat menjadi penggerak kepada agenda seks bebas dan songsang,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.
Menurut Rosnah, tuntutan dibuat Majlis Peguam bersama 20 badan bukan kerajaan (NGO) dan individu lain berhubung program seks bebas itu seolah-olah mahu mencabar kerajaan, sekali gus menunjukkan mereka lebih berkuasa dalam menentukan corak masyarakat negara ini. “Mereka kini bertindak lebih jauh apabila menjadi penganjur untuk mempromosikan amalan seks bebas di kalangan rakyat, tanpa mengira agama yang dianuti,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *