Kempen kesedaran seks di IPT

image_pdf

SUBANG JAYA: Masalah sosial berkaitan seks yang melanda pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sejak kebelakangan ini mendorong Taylor’s University menganjurkan kempen kesedaran yang diberi tema ‘You, Me and Sex!’.

Pengurus Pusat Khidmat Kaunseling dan Psikologi univesiti itu, Adnan Omar berkata, masalah pelajar IPT dilihat akan menjadi semakin serius sekiranya tidak dicegah dengan memberi pendedahan yang lebih terbuka.

“Ini kali pertama kita anjurkan kempen kesedaran sepenuhnya mengenai seks kerana pada tahun lalu ia hanya menjadi kempen sampingan kepada kempen penagihan dadah.

“Kita melihat masalah membabitkan seks ini semakin berleluasa bukan saja di IPT tetapi di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Pendidikan Seks di sini, semalam.

Kempen dirasmikan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Taylor’s University, Angela Pok.

Program itu mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Persatuan Antarabangsa Mahasiswa Ekonomi dan Perniagaan (Aiesec). Program yang berlangsung sehingga Khamis itu turut memberi penekanan kepada masalah seks seperti kelahiran tidak dirancang, pengguguran tidak selamat, pembuangan bayi, perhubungan sejenis dan penularan penyakit seperti HIV/AIDS.

Menurut Adnan, tanpa penyediaan medium secara terbuka bagi pelajar berbincang mengenai seks menyebabkan mereka kekurangan pendedahan dan mencuba sesuatu perkara dengan cara yang salah tanpa berfikir jauh.
Katanya penganjuran kempen kesedaran ini dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya perkara negatif akibat perlakuan seks selain mengakui kes seperti penagihan dadah, rogol dan bunuh diri akibat putus cinta pernah berlaku di Taylor’s University.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *