Hari Terbuka RPWP – KOSMO 1 Jun 2010

image_pdf
POSTED by Warga Prihatin on Tuesday, June 1, 2010 at 12:34pm
VARIA

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


KANAK-KANAK penghuni Rumah Pengasih Kajang mendapat khidmat rawatan gigi dari Klinik Ampang sempena Hari Terbuka Pusat Pengasih Sungai Ramal Kajang.

KASIH sayang, perhatian dan keprihatinan tidak hanya tercetus tatkala meraikan tarikh-tarikh tertentu. Mesej keakraban komuniti yang hendak disampaikan sebenarnya perlu dilanjutkan setiap hari dan sepanjang tahun.

Sempena sambutan Hari Ibu baru-baru ini, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Sungai Ramal, Kajang, Selangor mencerna beberapa objektif seiring penganjuran hari terbuka yang cukup bersejarah.

Hari Terbuka RPWP itu meraikan warga emas khususnya para ibu dan ibu tunggal. Majlis yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 3.30 petang itu dimeriahkan dengan pelbagai pameran dan program kekeluargaan seperti pameran cegah jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pameran antidadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia.

Pusat Darah Negara turut tidak ketinggalan menjayakan acara tersebut. Para hadirin disambut dengan penganjuran pameran dan berpeluang menonton tayangan video serta mendengar ceramah motivasi keluarga. Pada masa yang sama, orang ramai berpeluang menderma darah dan melakukan pemeriksaan gigi secara percuma.

Hari Terbuka yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr. Shafi’e Abu Bakar itu diadakan bertujuan merapatkan ukhuwah antara penduduk berhampiran dengan warga RPWP.

RPWP yang diasaskan oleh Dr. Masjuki Mohd. Musuri sering mengadakan aktiviti amal untuk mendidik dan membentuk masyarakat prihatin.


PENGHUNI Pusat Pengasih Sungai Ramal Kajang, Yaacoh Abd. Latif (dua dari kanan) dan pasangannya, Aminah Sulaiman mendapat kalungan selempang merah tanda kasih sayang daripada kedua-dua anaknya Hassan Basri (kiri) dan Syazwan.

Selain melibatkan seluruh ahli keluarga besar dan para pendokong RPWP, masyarakat setempat dan orang luar turut mendapat manfaat daripada kunjungan mereka ke kampung tersebut.

“Kami amat berbesar hati dengan kesudian sasterawan negara, Datuk A. Samad Said mendeklamasikan puisi ibu hasil nukilannya sendiri yang menyentuh hati.

“Puisi tersebut meruntun hati para hadirin sehingga mereka menitiskan air mata,” katanya yang selama ini giat mencurahkan idea dan kempen kekeluargaan seumpamanya.

Berikutan sambutan derma darah dan pemeriksaan gigi yang menggalakkan, RPWP mengambil keputusan untuk menjadikannya sebagai aktiviti rutin yang dijalankan antara tiga atau enam bulan sekali.

“Bangunan RPWP masih dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa setahun lagi. Ia dilakukan secara gotong-royong dan dibina selari dengan pembangunan sahsiah dan azam 20 buah keluarga yang bergabung untuk memperbaiki diri melalui konsep pelaksanaan kebajikan,” ujarnya.

Masjuki memberitahu, RPWP sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama yang berlandaskan konsep kasih sayang.

“Mereka yang dibantu oleh RPWP terdiri di kalangan penagih dadah, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya, orang miskin dan sebagainya.

“Di RPWP, tidak seorang pun akan rasa terasing, tidak kira sama ada mereka anak terlanjur, penagih atau sebagainya kerana semua adalah sama dan saling mendokong antara satu sama lain,” katanya.

Menurut salah seorang pendokong RPWP, Muhamad Yazid Abdul Majid, penghuni RPWP terdiri daripada pelbagai peringkat daripada golongan profesional hinggalah kepada fakir miskin dan asnaf yang menjalani hidup berkeluarga di bawah naungan RPWP.


RPWP di Sungai Ramal meraikan warga emas khususnya ibu tunggal.

“RPWP yang diasaskan oleh Dr. Masjuki Mohd. Musuri pada tahun 2006 dibina hasil daripada pendokong-pendokongnya secara gotong-royong pada setiap hujung minggu dan cuti umum sejak pelancarannya sehingga sekarang.

“Pembinaan dan pengurusannya menggunakan dana yang dikumpul hasil sumbangan bulanan oleh 12 keluarga daripada 20 keluarga yang berkemampuan,” katanya.

Lapan dari 20 keluarga jemaah itu terdiri daripada golongan asnaf yang tidak mampu menyumbang dana. Namun mereka turut membantu melakukan kerja-kerja pembinaan, pengurusan dan pendidikan anak-anak sepenuh masa.

Ujarnya, berprinsip untuk tidak meminta-minta kecuali diberi dengan ikhlas dan penuh kesedaran, 20 keluarga tersebut mengambil inisiatif sendiri dengan mendirikan dan mengurus RPWP.

“Apabila siap nanti, RPWP boleh menampung lebih 200 orang penghuni,” jelasnya.

1 Comment

  1. Noor Aswana Mustapha

    Wow.. rasanya tak payah tunggu lama2 kalau nak join ni 🙂 Tiada sebab nak rasa malu 🙂

    Reply

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *