Wakaf : Salah Konsep & Salah Tanggap Masyarakat

image_pdf

Pertama dan seawalnya ingin kami menyusun 10 jari dari 20 orang pendukung-pendukung Rumah Pengasih Warga Prihatin kerana kurangnya kemaskini dalam laman facebook ini. Ini disebabkan desakan alam yang menghambat kami semua bagi mempersiapkan kompleks RPWP yang kini masih dalam 65% penyiapan. Segalanya bermula dengan drastik semenjak Julai 2010 lagi. Kesemua pendukung tidak kira yang memandu teksi, bekerja kerani mahupun taukey-taukey perniagaan semuanya turun tangan setiap malam dan hari bagi membancuh konkrit, menganyam papan menjadi kompleks Prihatin yang bakal dibesarkan bagi memuatkan warga Prihatin sedia ada.

Apapun, kami masih manusia yang hanya mampu merancang sahaja. Dengan pendedahan tentang aktiviti kami di Channel NewsAsia, Singapura dan beberapa media massa tempatan menyebabkan permintaan untuk ditempatkan dalam keluarga besar kami terlalu meningkat. Kata mereka, konsep kekeluargaan dan kasih sayang yang membawa mereka ke RPWP. Maka, belum pun kompleks yang kami mahu siapkan itu habis dibina, kini kami terpaksa memikirkan bagaimana untuk mendapatkan tanah lot bersebelahan kami untuk dijadikan tapak bagi membesarkan operasi RPWP.

Tulang 20 kerat dah habis kami perah. Dah habis keringat, darah mereka juga kami perah dengan kerelaan dan pengorbanan mereka kini kami pula sibuk dalam menjalankan perniagaan automobil terpakai bagi mendapatkan dana bagi pembelian tanah suku ekar bersebelahan yang bernilai RM180,000.

Takdir dah disuratkan, kami terus menjalankan hidup dengan segala cabaran yang ada. Syarikat proksi kami Colours of Asia Sdn Bhd (pemilik jenama CandidSyndrome, Saiful Nang Photography, CS Film dan SNAP), Petronas Lavender Height dan 3Cubes Concept pun dalam keadaan gawat ekonomi telahpun semampunya berhabis-habisan dalam mewakaf dan juga memodalkan perniagaan automobil terpakai kami. Jika dilihat konsep perniagaan kami juga pun, namanya sahaja perniagaan automobil tetapi tidaklah kami menjadi pengimport kereta mewah. Malah konsep sama mengambil kereta-kereta terpakai dan juga kereta yang sudah tidak digunakan lagi lalu dengan sedikit kepakaran dari beberapa orang warga kami memulihara kereta-kereta ini dan dapat pula dijual dengan waranti kepada pembeli dengan harga lebih rendah dari harga pasaran.

Itulah antara mengapa kami terlalu sibuk dan menjadikan laman ini sunyi. Terkait dengan tajuk, kami ingin mengetengahkan satu perkara tentang konsep wakaf juga. Semasa kami memulakan perniagaan automobil kecil-kecilan ini, peranan wakaf sangat besar. Dengan untung jualan sebuah kereta hanya sekitar RM500-2000 sahaja tanpa mengambil apa-apa upah dan dananya terus dimasukkan dalam dana wakaf untuk pembelian tanah suku ekar bersebelahan RPWP tiada siapa yang mahu memberikan pinjaman kecuali dari kalangan warga prihatin yang mewakafkan kereta persendirian mereka untuk dijual sebagai modal.

Soal wakaf adalah satu perkara besar. Ramai orang fikir, bila kita wakafkan harta kita, kita akan menjadi miskin dan hilang layak untuk menggunakan barang wakaf itu. Tetapi sebenarnya tidak. Mari kita lihat rasional bagaimana RasulAllah mampu menggunakan kuda yang terbaik sebagai kenderaan baginda, begitu juga sahabat-sahabat baginda. Pada ketika itu, kuda-kuda itu tarafnya sehebat kereta-kereta mewah zaman sekarang. Tetapi wafatnya baginda dan sahabat-sahabat semuanya tidak meninggalkan apa harta kepada sesiapa pun. Kerana memang tiada harta yang dinamakan atas nama individu tetapi dinamakan atas nama Islam dan perjuangan baginda. Sama jadinya dengan RPWP apabila wakaf itu semua dinamakan atas RPWP tetapi pewakaf masih boleh menggunakannya malah, bila semua 20 orang warga melaksanakan wakaf (contohnya kereta), seorang yang mewakafkan 1 kereta lalu mendapat 20 buah kereta yang lain. Pelbagai jenis, pelbagai status dan nama. Contoh yang lebih mudah, jika seorang abid mewakafkan sebidang tanah kubur, matinya nanti boleh juga dikuburkan di tanah wakaf itu juga.

Nyata kita menjadi orang Islam tidak patut jumud. Hanya sekadar ke mana harta-harta yang kita usahakan itu hendak kita namakan. Saidina Abu Bakar mewakafkan segala hartanya dan masih lagi hidupnya dalam kekayaan di bawah naungan Islam.

Dengan konsep ini jugalah, kami masih berhempas pulas kerana sebahagian kami tidak mampu mewakafkan harta lalu kami mewakafkan diri, darah dan keringat kami untuk ditumpahkan mentadbir wakaf-wakaf warga-warga kami dan juga warga masyarakat yang lain. Dengan konsep ini juga lah, insyaAllah dengan perlahan-lahan, cukuplah RM180,000 yang sedang kami usahakan ini bagi membeli tanah suku ekar bersebelahan RPWP bagi tujuan pembesaran operasi RPWP. Dan dengan wakaf ini juga, kami akan teruskan membina dan membangun lagi tanah yang bakal kami perolehi insyaALlah dengan usaha dan keringat kami, dan juga pembeli-pembeli kereta kami serta penderma-penderma yang budiman.

Bayangkan sekiranya tiada lagi individualistik, semua orang merasa gembila bila berkongsi (wakaf), pastinya hidup kita dan dunia kita tak akan bersengketa dan berperang-perangan.

Alhamdulillah

 

WARGA PRIHATIN

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pengesahan Pengguna *